Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibenarkan membatalkan solat jika makmum sebelah kita jatuh pitam atau pengsan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”

(Surah Muhammad: 33)

Syeikh Sadiq Hasan Khan ketikan menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Janganlah kamu merosakkan amalan-amalan baikmu dengan maksiat. Al-Zuhri berkata: Dengan dosa-dosa besar, dan ini adalah yang lebih utama. Al-Kalbi dan Ibnu Juraij berkata: Dengan riak dan sum ‘ah. Mujahid berkata: Dengan mengungkit-ungkit. Ata‘ berkata: Dengan nifaq (munafik) dan syirik. Saya katakan: Yang jelas, larangan ini merujuk kepada semua sebab yang boleh membawa kepada rosaknya amalan, tanpa mengkhususkan kepada jenis tertentu. (Lihat Fath Bayan, 13/77)

Dalam menjawab persoalan tersebut, kami menyatakan bahawa seseorang yang telah memulakan solat tidak dibenarkan untuk membatalkannya dengan sengaja kecuali terdapat keperluan seperti bahaya atau keperluan untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Dalam situasi sedemikian, syarak membenarkan seseorang untuk menghentikan ibadah yang sedang dilakukan kerana menyelamatkan nyawa perlu diutamakan berbanding melaksanakan ibadah. Yang demikian adalah sebagaimana kaedah fiqh menyebutkan:

الحَاجَاتُ تُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَاتِ

Maksudnya: Keperluan mendesak dianggap sebagai darurat.

Di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (34/51) menyebutkan bahawa membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat.

Walaubagaimanapun, jika disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak dan keadaan yang mendesak dan kecemasan seperti menyelamatkan diri sendiri atau orang lain daripada bahaya contohnya, maka ia dibolehkan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الضَّرُورَةُ تُبِيحُ االمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.”

Selain itu, turut dinyatakan di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (34/51) bahawa: jika membatalkannya disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka hukumnya adalah dibolehkan, seperti membatalkan solat bagi membunuh ular atau menyuruh orang lain membunuhnya, atau khuatir akan kehilangan harta benda yang berharga sama ada harta benda sendiri atau orang lain, atau menyelamatkan orang yang meminta pertolongan, mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja.

Imam al-‘Izz Ibn Abd al-Salam menyebutkan bahawa: “Hendaklah didahulukan perbuatan menyelamatkan orang yang lemas diatas perbuatan solat. Ini kerana menyelamatkan orang yang lemas di sisi Allah SWT adalah lebih afdhal daripada menunaikan solat. Dan kedua-duanya boleh dihimpunkan iaitu dengan cara menyelamatkan orang yang lemas terlebih dahulu, kemudian mengqadha solatnya. Seperti yang sedia maklum, jika sekiranya terlepas maslahah untuk menunaikan solat pada waktunya tidak sama daripada mashlahah yang lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa manusia daripada kebinasaan.” (Lihat Qawa’id al-Ahkam fi Islah al-Anam, 1/96)

Justeru, dalam isu ini, seseorang yang sedang mendirikan solat dibenarkan untuk membatalkan solat apabila perlu menyelamatkan nyawa makmum lain, dan perkara ini hendaklah diutamakan. Islam menekankan prinsip keseimbangan antara tanggungjawab kepada Allah (ibadah) dan tanggungjawab terhadap manusia (menjaga nyawa). Prinsip ini menjadi panduan untuk mengutamakan keselamatan nyawa apabila berlaku pertembungan antara kedua-dua tanggungjawab tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Wallahu‘Alam

Leave a Reply