#7057:  Penipuan dan Penyalahgunaan Harta Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum penipuan dan penyalahgunaan harta wasiat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wasiat

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yg disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583)

Pensyariatan ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 106)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: “Allah SWT memberitahu dengan perintah yang terkandung untuk meminta kesaksian dua orang terhadap wasiat, apabila seseorang itu menghadapi tanda-tanda kematian. Maka dia disarankan untuk menulis wasiatnya dan menyaksikannya dengan dua orang yang adil yang mana kesaksian mereka diakui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.246)

Selain itu, ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Dalam Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin (3/460) menyatakan bahawa: Tidak sepatutnya seseorang itu membiarkan dua malam berlalu melainkan dia telah menulis wasiat yang ingin dia sampaikan. Sejak Ibn Umar R.A mendengar kata-kata ini daripada Rasulullah, dia tidak pernah melalui satu malam pun melainkan dia telah menulis wasiatnya.

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa individu yang diberi amanah untuk menguruskan harta wasiat atau penerima wasiat hendaklah menguruskan harta tersebut dengan sebaik mungkin, selaras dengan kehendak pewasiat. Tindakan menipu atau menyalahgunakan harta wasiat adalah satu bentuk pecah amanah yang harus dielakkan, lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan hak pewasiat.

Larangan pecah amanah adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Begitu juga disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mu’minin: 8)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)

Justeru, pelanggaran amanah dalam pengurusan harta pusaka boleh mengakibatkan tindakan undang-undang atau pertikaian dalam kalangan waris. Selain itu, ia juga boleh memberi kesan negatif terhadap hubungan antara waris dan pihak-pihak lain yang terlibat. Di akhirat, penyalahgunaan amanah ini boleh menerima balasan yang berat di hadapan Allah SWT kerana ia melibatkan hak orang lain yang perlu dihormati dan dilaksanakan dengan adil.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *