#7069: Menasihati Kawan yang Suka Mencarut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mencarut dan bagaimana sebagai seorang kawan dapat menasihati dengan cara yang paling efektif kepada rakan-rakan yang suka mencarut? Terima Kasih Dato’ Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mencarut, menyumpah atau melaknat bukanlah sifat Muslim yang baik. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. melaporkan hadith secara marfu’:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Maksudnya: “Bukanlah sifat mukmin sejati yang banyak mencela, suka melaknat, dan yang berbuat keji serta bercakap kotor.”

Direkodkan oleh Imam At-Tirmidzi (1977) Direkodkan oleh Imam Ahmad (3829) Ibn Hibban (192) dan Al-Hakim (22) Dinilai oleh At-Tirmidzi sebagai hadith hasan gharib.

Imam al-San’ani menjelaskan bahawa perkataan-perkataan yang bersifat keras, carutan dan provokatif adalah haram sama ada dalam bilangan yang banyak mahupun sedikit. Hadis di atas juga memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa melaknat dan mencarut bukan daripada sifat seorang Mukmin yang sempurna imannya, namun larangan ini terkecuali kepada laknat ke atas orang kafir, laknat ke atas peminum arak dan juga kepada sesiapa yang dilaknat oleh Allah dan rasulnya. (Lihat Subul al-Salam, 4/360)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum mencarut adalah haram dan bukanlah sifat Mukmin yang baik. Namun, mutaakhir ini, mencarut itu sudah menjadi tabiat sesetengah orang, lazimnya ketika bermain game di telefon, PC, laptop, bergaduh dan seumpamanya. Oleh itu, hakikatnya perkara ini amat sukar untuk diubah, namun tidak mustahil untuk berubah kerana hanya diri sendiri yang mampu untuk mengubahnya. Sebagaimana firman Allah SWT:

اِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوْا مَا بِاَنْفُسِهِمْۗ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

(Surah ar-Ra’d: 11)

Menurut Imam al-Suyuti: (Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum) ertinya Dia tidak mencabut dari mereka nikmat-Nya (sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri) dari keadaan yang baik dengan melakukan perbuatan derhaka.  (Lihat Tafsir al-Jalalain, 4/225)

Justeru, anda boleh menasihatinya sebagai rakan dengan cara yang baik seperti tidak di hadapan orang ramai dan dengan cara yang baik. Selain itu, antara cara yang lain adalah dengan kita sendiri mengubah sikap kita kepada yang lebih baik. Hal ini secara tidak langsung, menyebabkan orang berkenaan segan untuk mencarut. Maka, perkara sebegini tidak boleh untuk diubah dengan hanya satu dua hari dan memerlukan masa untuk berubah dari semasa ke semasa.

Kami menasihati sebagai pesanan Rasulullah SAW dalam hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Riwayat al-Bukhari (6018)

Seseorang itu hendaklah berfikir dahulu apabila bercakap tentang hukum sesuatu. Jika dia mengetahui dan mendapat gambar yang jelas, barulah dia bercakap. Sebaliknya jika tanpa mengetahui hakikat sesuatu, lebih baik dia diam, kerana keselamatan itu adalah pada yang diam. (Lihat Hilyah Talib al-Ilmi, hlm. 16)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *