Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya apakah hukum asal haiwan dan daging halal atau haram? Sebabnya ada saya terbaca mengatakan, hukum asal bagi haiwan adalah halal, dan ada juga yang mengatakan, hukum asal bagi haiwan atau daging adalah haram.  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa perbahasan.

Pertamanya, hukum asal bagi sembelihan atau daging adalah haram. Jadi, tidak halal suatu sembelihan itu kecuali kita mengetahui bahawa ia disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Di antara perkataan atau pendapat ulama dalam ketetapan hukum asal ini adalah sebagaimana berikut:

Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).

Begitu juga Imam al-Rafi‘i turut menyebutkan bahawa hukum asal bagi daging-daging adalah tidak harus. Tidakkah kamu melihat bahawa sekiranya haiwan yang sedang tenat (menunggu mati) disembelih, lalu timbul rasa syak pada pergerakannya ketika disembelih, adakah pergerakkannya seperti haiwan yang disembelih (nyawa-nyawa ikan) ataupun masih mempunyai nyawa (hayah mustaqirrah), maka dalam situasi ini hukum haram lebih mendominasi. (Lihat Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 1/280).

Selain daripada itu, Ibn al-Qayyim ketika membahaskan berkenaan istishab, beliau menyatakan, ia adalah sifat yang mensabitkan suatu hukum sehinggalah sabit hal yang sebaliknya, dan istishab ini adalah hujah. Misalnya, istishab dalam hukum taharah, hukum hadas, hukum kekalnya nikah sehinggalah sabit hal yang sebaliknya. Syarak telah meletakkan hukumnya tertakluk kepada hukum asal, sebagaimana sabda Baginda mengenai haiwan buruan:

وإنْ وجدْتَهُ غرِيقًا في الماءِ فلا تأكُلْ، فإنّكَ لا تدْرِي الماءُ قتَلَهُ أوْ سهمُكَ؟

Maksudnya:Sekiranya kamu mendapatinya tenggelam di dalam air, maka janganlah kamu memakannya kerana kamu tidak mengetahui adalah air yang telah membunuhnya atau anak panahmu?

Riwayat Muslim (1929)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

وَإِنْ خَالَطَهَا كِلاَبٌ مِنْ غَيْرِهَا فَلاَ تَأْكُلْ؛ فإنكَ إنما سمَّيتَ على كلبِكَ ولم تُسمِّ على غيرِهِ

Maksudnya:Dan jika anjing-anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain, maka janganlah engkau memakannya kerana sesungguhnya kamu telah menyebut nama Allah untuk anjingmu sahaja dan tidak menyebut nama Allah pada anjing yang lain.”

Riwayat al-Bukhari (5476, 5483, 5486) dan Muslim (1929)

Apabila hukum asal dalam sembelihan adalah haram, lalu timbulnya syak dan keraguan padanya; adakah syarat yang menghalalkannya dipenuhi ataupun tidak? Maka ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu haram untuk dimakan. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/339-340).

Tambahan lagi, Ibn Qayyim juga ada menyebutkan bahawa hukum asal dalam bab sembelihan adalah haram melainkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Jika ada pertembungan antara dua dalil iaitu dalil yang melarang dan dalil yang mengharuskannya, maka beramal atau berpegang dengan dalil yang melarang adalah lebih utama berdasarkan kepada tiga alasan:

  • Ia dikuatkan/disokong lagi dengan hukum asalnya iaitu haram.
  • Ia adalah lebih berhati-hati (ahwat).
  • Jika kedua-dua dalil saling bertentangan, maka kedua-duanya adalah terbatal dan dikembalikan kepada hukum asalnya iaitu haram. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/538-539).

Selain itu, Ibn Rajab al-Hanbali juga ada menyebutkan, apa-apa yang asalnya dilarang, seperti kemaluan (jimak) dan daging-daging haiwan, maka ia adalah tidak halal melainkan dengan diyakini akan kehalalannya melalui penyembelihan dan akad. Jika terdapat keraguan dalam hal ini disebabkan munculnya sebab lain, maka ia kembali kepada hukum asalnya dan berpegang pada hukum asalnya itu, iaitu jika hukum asalnya adalah haram, maka ia adalah diharamkan (tidak halal).

Oleh itu, Nabi SAW melarang memakan hasil buruan yang didapati oleh pemburu terdapat kesan anak panah selain anak panah miliknya, atau kesan anjing selain anjing miliknya, atau didapati jatuh ke dalam air; dan alasan larangan tersebut adalah kerana tidak diketahui sama ada ia mati disebabkan oleh faktor yang menghalalkannya atau faktor lain. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 93).

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyatakan dalam Manzumah al-Qawa‘id:

وَالْأَصْلُ فِي الْأَبْضَاعِ وَاللُّحُومِ *** وَالنَّفْسِ وَالْأَمْوَالِ لِلْمَعْصُومِ

Hukum asal bagi kemaluan (jimak) dan daging-daging

serta jiwa dan harta-harta yang terpelihara.”

تَحْرِيمُهَا حَتَّى يَجِيءَ الْحِلُّ *** فَافْهَمْ هَدَاكَ اللَّهُ مَا يُمَلُّ

Adalah haram sehingga datang kehalalannya

Maka fahamilah, moga Allah memberi petunjuk kepadamu atas apa yang dilalaikan.”

Kemudian beliau menjelaskan dalam syarahnya terhadap kaedah ini bahawa maksudnya adalah hukum asal pada perkara-perkara ini adalah haram sehingga kita yakin/pasti dengan kehalalannya. Justeru, hukum asal pada kemaluan (jimak) adalah haram. Perkataan al-Abdha‘ (kemaluan) merujuk kepada menyetubuhi wanita. Maka, tidak halal (melakukannya) melainkan dengan kepastian kehalalannya, sama ada melalui pernikahan yang sah atau memiliki hamba sahaya.

Begitu juga dengan daging-daging; hukum asalnya adalah haram sehingga kita yakin akan kehalalannya.

Oleh itu, jika terdapat dua sebab pada sembelihan; satu yang menghalalkan dan satu yang mengharamkan, maka yang haram akan mendominasi (diutamakan), lalu haiwan yang disembelih atau haiwan buruan tersebut adalah tidak halal. (Lihat al-Majmu‘ah al-Kamilah li Mu’allafat al-Syeikh al-Sa‘di, 1/142).

Selain itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga ada menyebutkan, hukum asal bagi binatang-binatang sembelihan dan penyembelihan adalah haram, sehingga kita mengetahui bagaimana binatang-binatang sembelihan disembelih, dan bagaimana proses penyembelihan itu dilakukan. Ini kerana salah satu syarat bagi menghalalkan haiwan (untuk dimakan) adalah ia disembelih mengikut cara yang dikehendaki oleh syarak. (Lihat Fatawa al-Soid, hlm. 26-27, disusun oleh Abdullah al-Tayyar).

Keduanya, terdapat sebahagian ulama menyatakan, hukum asal bagi haiwan adalah haram. Namun, yang dimaksudkan di sini adalah haiwan yang disembelih, di mana mesti ada bukti bahawa ia disembelih dengan cara yang sah, dan bukannya merujuk kepada haiwan yang masih hidup.

Di antaranya, kenyataan daripada al-Khattabi yang menyebutkan:

الْبَهِيمَةُ أَصْلُهَا عَلَى التَّحْرِيمِ، حَتَّى تَتَيَقَّنَ وُقُوعَ الذَّكَاةِ؛ فَهِيَ لَا تُسْتَبَاحُ بِالْأَمْرِ الْمَشْكُوكِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi binatang adalah haram sehingga kamu meyakini bahawa sembelihan telah dilakukan; maka ia tidak halal untuk dimakan jika ada keraguan.” (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/282).

Begitu juga al-Syatibi turut menyebutkan, hukum asal bagi kemaluan (jimak) adalah dilarang, kecuali dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh syariat, dan hukum asal bagi haiwan adalah tidak boleh dimakan sehingga terhasilnya sembelihan yang sah menurut syarak dan lain-lain perkara yang dibenarkan oleh syarak. (Lihat al-Muwafaqat, 1/401).

Ketiganya, adapun bagi haiwan yang masih hidup; hukum asalnya adalah halal melainkan apa yang dikecualikan; berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa hukum asal bagi sesuatu adalah diharuskan, dan termasuklah dalam perkara tersebut haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain, sehinggalah sabit  sebab yang membawa kepada pengharamannya, seperti terdapat larangan untuk memakannya, sebagaimana dilarang makan daging babi, keldai peliharaan (jinak), atau memakan setiap haiwan buas yang bertaring (yang digunakan untuk memburu), dan setiap burung yang mempunyai kuku mencengkam (yang digunakan untuk memburu), atau terdapat larangan untuk membunuhnya, seperti larangan membunuh burung hud-hud dan burung surad, atau terdapat perintah untuk membunuhnya, seperti perintah membunuh ular dan tikus, atau terbukti bahawa ia memudaratkan/berbahaya, atau dianggap menjijikkan; berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (18/336) dinyatakan bahawa jenis haiwan-haiwan yang boleh atau halal dimakan adalah sukar untuk dihitung, dan hukum asalnya adalah semuanya halal secara umum kecuali yang dikecualikan seperti berikut:

Pertama: Babi. Ia adalah haram berdasarkan nas al-Quran dan sunnah, serta berdasarkan ijma‘ ulama.

Namun, mereka berbeza pendapat berkenaan haiwan lain selain babi. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa haram memakan setiap haiwan buas yang bertaring, seperti singa, harimau, harimau bintang, serigala, anjing, dan sebagainya, serta setiap burung yang mempunyai kuku mencengkam seperti falkon, helang, hering, ‘uqqab (العقاب – sejenis helang), syahin (الشاهين – Peregrine falcon) dan sebagainya. Ini kerana Nabi Muhammad SAW melarang memakan setiap haiwan buas yang bertaring dan setiap burung yang mempunyai kuku mencengkam.

Kemudian mereka berbeza pendapat juga mengenai kehalalan dan keharaman beberapa jenis haiwan, seperti kuda, dubuk, rubah, pelbagai jenis burung gagak, dan lain-lain. Mazhab Maliki dalam satu riwayat berpendapat bahawa semua jenis haiwan boleh dimakan, dari gajah hingga ke semut dan ulat, dan apa-apa yang ada di antara keduanya, kecuali manusia dan babi, kerana kedua-duanya diharamkan secara ijma‘.

Demikian juga, dalam satu riwayat, tiada burung yang haram dimakan menurut mereka, dan ini juga merupakan pendapat al-Laith, al-Auza‘i, dan Yahya bin Sa‘id. Mereka berhujah berdasarkan dengan keumuman ayat-ayat yang mengharuskannya dan dengan pendapat Abu al-Darda’ dan Ibn Abbas bahawa: “Apa yang Allah diamkan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan.”

Kedua: Haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh seperti ular, kala jengking, tikus, dan setiap binatang buas yang berbahaya seperti singa, serigala, dan sebagainya.

Ketiga: Haiwan yang menjijikkan (mustakhbath): Ini adalah berdasarkan prinsip asas yang muktabar dalam penghalalan dan pengharaman, iaitu sesuatu yang dianggap baik-baik dan sesuatu yang dianggap buruk lagi jijik. Imam al-Syafi‘i melihatnya sebagai prinsip utama dan paling umum. Asasnya adalah firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Begitu juga firman Allah SWT:

سْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Penjelasan lanjut berkenaan ini, boleh rujuk al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (5/132-147), yang menjelaskan secara terperinci tentang haiwan darat, yang terdiri daripada tiga belas jenis, dengan menyebutkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai hal ini.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa terdapat perbezaan dari segi hukum asalnya antara haiwan hidup dan daging atau sembelihan, yang mana perbezaan tersebut sudah diketahui dan sabit. Hukum asal bagi haiwan hidup adalah halal, sedangkan hukum asal bagi daging atau sembelihan pula adalah haram.

Sehubungan dengan itu, sebenarnya tidak ada pertembungan dalam penetapan hukum asalnya bagi haiwan seperti yang diajukan dalam pertanyaan di atas. Ini kerana pendapat yang menyatakan bahawa hukum asal bagi haiwan adalah halal dan harus, adalah merujuk kepada haiwan yang masih hidup. Manakala pendapat yang menyatakan bahawa hukum asal bagi haiwan adalah haram pula sebenarnya adalah merujuk kepada haiwan yang sudah disembelih atau daging haiwan.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya berkenaan, apakah hukum asal bagi daging, halal atau haram? Beliau menjawab, hukum asal bagi daging adalah haram dan bukannya bagi haiwan. Ini kerana hukum asal bagi haiwan adalah halal, manakala hukum asal bagi daging adalah haram sehingga kita mengetahui atau mempunyai sangkaan yang kuat bahawa ia adalah halal. Maksudnya, jiika kita ragu-ragu mengenai haiwan ini, sama ada ia halal atau haram, maka ia adalah halal. Jadi, kita boleh menyembelih dan memakannya. Akan tetapi jika kita ragu-ragu mengenai daging ini, sama ada ia disembelih dengan betul (menurut syarak) atau ia bangkai, maka hukum asalnya adalah haram, sehingga kuat sangkaan kita bahawa ia adalah halal. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 234/9).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply