#7135: Nama-Nama Nabi adalah ‘Ajam Kecuali Empat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah nama-nama Nabi dan Rasul yang masyhur hanya empat orang sahaja dari kalangan orang Arab, sedangkan selebihnya dari ‘Ajam yakni bukan Arab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Maksudnya: Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

(Surah al-Baqarah: 285)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Qadhi al-Qudhah Abu Abdillah Syams al-Din Muhammad bin Ibrahim bin Khalil al-Tata’i, seorang ulama’ bermazhab Maliki yang berkata: Nama nabi-nabi semuanya ‘ajam kecuali empat orang: Muhammad, Syu’aib, Hud dan Soleh. Hal ini dinyatakan dalam kitabnya Syarh al-Risalah al-Qairawaniyyah.

Sedangkan Ibn Naji menambah seorang lagi menjadikan lima iaitu Isma’il AS. Pendapat ini menjadi pertikaian kerana lafaz Ismail dikatakan daripada ‘ajam.

Untuk menghimpunkan dua pandangan ini, kata Syeikh Ibrahim al-Syabrakhiti bahawa Muhammad, Hud, Soleh dan Syu’aib, keempat-empat mereka, zat mereka itu dari bangsa Arab, begitu juga nama-nama mereka. Adapun Isma’il, zatnya Arab tetapi namanya dari kalangan ‘ajam. Wallahu a’lam. (Lihat al-Futuhat al-Wahbiyyah bi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 79)

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *