#7141: Bernazar untuk Botak Kepala kerana Dapat Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum kalau kita sudah bernazar. Saya rambut panjang dan saya bernazar kalau saya ada anak,saya akan potong botak tetapi sekarang sudah 8 tahun saya belum ada rezeki anak, tetapi rambut saya sudah ada yang rosak. Soalan saya, bolehkah saya potong rambut ini sedikit untuk potong mana yang rosak itu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Nazar

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.”

(Surah al-Hajj: 29)

Diriwayatkan daripada  Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

Riwayat al-Bukhari (6696)

Rukun-Rukun Nazar

Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar, iaitu:

  • Sighah(bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيۡنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمّٗى فَٱكۡتُبُوهُۚ وَلۡيَكۡتُب بَّيۡنَكُمۡ كَاتِبُۢ بِٱلۡعَدۡلِۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan nazar itu menjadikan suatu itu wajib, serta hanya  terjadi kepada perkara yang mentaati Allah SWT seperti solat, puasa, zakat, sedekah dan seumpamanya. Maka, perkara yang membawa kepada maksiat tidak termasuk dalam nazar.

Oleh itu, berkenaan membotakkan kepala, ia tidak termasuk dalam perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, puasa zakat, sedekah dan seumpamanya, maka tidak wajib untuk anda membotakkan kepala dan tidak berdosa. Oleh itu,  tidak mengapa untuk anda memotong rambut anda untuk kekemasan dan kebersihan diri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *