#7150: Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Khadijah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami asbab perkahwinan Baginda SAW dengan Khadijah R.Anha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: Maka, kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Ibn Kathir berkata: “Dalil ini menunjukkan had bilangan isteri yang boleh dimiliki oleh seorang lelaki, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abbas dan jumhur fuqaha. Hal ini menunjukkan kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada seorang lelaki.”

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri: Ketika baginda pulang dan sampai di Mekah, Khadijah melihat sifat amanah baginda dan keberkatan hasil daripada perniagaan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Dia memberitahu Maisarah tentang akhlak yang dimiliki oleh baginda antaranya akhlak yang baik, pemikiran yang bernas, kata-kata yang benar, dan memiliki sifat amanah. Dia menemui calon yang diimpikan. Di samping itu, para ketua dan pemimpin kabilahnya menggalakkannya untuk berkahwin dengan Muhammad.  Walau bagaimanapun, Khadijah tidak mahu menggunakan mereka sebagai perantara. Dia menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada rakannya bernama Nafisah binti Munyah. Rakannya itu berjumpa dengan baginda dan memberi dorongan supaya Muhammad berkahwin dengan Khadijah. Muhammad menerimanya dengan baik dan memberitahu bapa-bapa saudaranya. Mereka berjumpa dengan bapa saudara Khadijah dan meminangnya. Hasil daripada itu, perkahwinan berjaya dilangsungkan. Bani Hasyim dan Mudhar menghadiri majlis itu. Majlis itu diadakan selepas dua bulan baginda pulang dari Syam. Baginda memberikan kepadanya 20 ekor unta muda. Umur Khadijah ketika itu adalah 40 tahun. Dia adalah sebaik-baik wanita dari segi keturunan, harta, dan akal. Dia adalah wanita pertama yang dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak berkahwin dengan wanita lain sehingga Khadijah meninggal dunia. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/189; Fiqh al-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, hlm. 59 dan Talqih Fuhum Ahl al-Athar, hlm. 7)

Khadijah telah menyatakan suara hatinya kepada rakannya Nafisah binti Munabbih. Wanita ini pun pergi menemui Muhammad SAW untuk berterus-terang kepadanya dan memintanya agar setuju untuk berkahwin dengan Khadijah. Baginda kemudian menyatakan persetujuannya.

Setelah itu, Baginda SAW memberitahu perkara tersebut kepada bapa-bapa saudaranya. Lalu Abu Talib, Hamzah dan lain-lain pergi menemui bapa saudara Khadijah, iaitu ‘Amr bin Asad. Ini kerana, bapa Khadijah telah meninggal dunia dalam Peperangan al-Fijar. Mereka pun meminang anak saudara ‘Amr bin Asad itu untuk Baginda SAW. Mereka turut membawa mas kahwin sebanyak 20 ekor unta muda.

Ketika dalam majlis perkahwinan Khadijah dengan Nabi SAW, Abu Talib menyampaikan ucapan, “Sesungguhnya jika Muhammad dibandingkan dengan mana-mana pemuda Quraisy, pasti Muhammad terbaik dari sudut kemuliaan, kehebatan, kelebihan dan kecerdikan, walaupun dia kurang harta. Sesungguhnya, harta itu umpama bayang yang akan hilang dan barang pinjaman yang mesti dipulangkan. Dia suka kepada Khadijah, manakala Khadijah juga begitu.”

Wali Khadiijah, iaitu bapa saudaranya, ‘Amr bin Asad pun membalas, “Muhammad seumpama unta jantan yang tidak terpotong hidungnya (dengan maksud seorang lelaki sejati yang tiada apa-apa kekurangan).” Kemudian beliau menikahkan Khadijah dengan Nabi SAW.

Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata: Selepas berkahwin, Muhammad SAW memulakan semula kehidupan biasanya, iaitu kehidupan berfikir tentang ketuhanan dan beruzlah. Baginda SAW juga menjauhkan diri daripada kebiasaan orang Arab yang sukakan majlis hingar-bingar yang penuh dengan ketagihan, sia-sia, perjudian dan perkelahian. Tetapi cara hidup tersebut tidak menghalang Baginda daripada menguruskan perniagaannya, mengatur kehidupannya, mencari rezeki dan berjalan-jalan di pasar. Sesungguhnya kehidupan lelaki bijak di tengah-tengah kelompok manusia yang membabi-buta (masyarakat Jahiliyah) memerlukan sikap waspada dan berhati-hati. Terutamanya jika lelaki itu mempunyai akhlak yang mulia, di samping berlemah-lembut dan bermanis muka.  (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 95-86)

Nabi Muhammad SAW tidak berkahwin dengan perempuan lain ketika Baginda bersama Khadijah R.Anha sehinggalah Khadijah wafat iaitu tiga tahun sebelum hijrah dan tahun yang sama Abu Talib wafat. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/351-353)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *