#7161: Kemelut Kehidupan Keluarga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang ayah kepada lima orang cahaya mata. Saya dan isteri kedua-dua bekerja bagi menampung perbelanjaan isi rumah bersama tetapi pendapatan isteri saya lebih tinggi daripada saya dan kebanyakkan perbelanjaan rumah banyak ditanggung oleh beliau. Pendapatan saya hanyalah sekadar menyediakan kecukupan perbelanjaan seperti tempat tinggal, barang keperluan dapur, dan perbelanjaan untuk tujuan kerja saya. Kadang-kadang saya merasa saya lebih banyak menguruskan Hal rumah dan anak-anak berbanding beliau disebabkan komitmen kerja beliau yang terpaksa di sambung balik sehingga ke rumah sehingga saya merasakan beliau telah sedikit sebanyak mengabaikan hal menguruskan rumah. Keadaan ini semakin menjadi kritikal sehinggakan saya bersikap kasar dan ganas dengan anak anak. Situasi ini membuatkan saya merasakan seperti diri saya gagal menjadi ketua keluarga yang sepatutnya menjadi bread winner bagi keluarga saya. Adakah saya di kategorikan sebagai seorang suami yg dayus. Dan apakah tindakan yang boleh saya lakukan dan solusi bagi permasalahan saya ini. Wallahu ‘alam.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan itu adalah suatu ikatan yang utuh, termeterai dengan sumpah taat setia untuk menempuhi kehidupan bersama, teguh menghadapi segala rintangan, memberi bantuan dan dorongan kepada pasangan supaya dapat bersama-sama melakukan tanggungjawab masing-masing dengan kemampuan yang terbaik.

Allah SWT menyifatkannya sebagai (مِّيثَـٰقًا غَلِيظًۭا) yang bermaksud ikatan yang kuat, ini sebagaimana firman-Nya:

وَأَخَذْنَا مِنْهُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًۭا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 154)

Perjalanan untuk menggapai kebahagiaan di akhirat itu perlulah melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan ujian. Oleh itu, dalam melayari bahtera rumahtangga ini, kuncinya adalah untuk saling bantu membantu antara satu sama lain ke arah kebaikan. Apabila seseorang dari pasangan kita melakukan kebaikan yang dibenarkan oleh syara‘, kita digalakkan untuk memberi dorongan dan bantuan agar mereka dapat berterusan melakukan amal kebaikan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Memahami firman Allah SWT ini, dapat disimpulkan bahawa jika salah seorang dari pasangan suami isteri itu melakukan perbuatan yang ditegah, sama ada tegahan yang membawa maksud makruh atau haram, maka pasangannya itu tidaklah dituntut untuk membantu mereka melakukan perbuatan tersebut. Terutamanya apabila perbuatan itu dengan jelas terdapatnya pengharaman di dalam nas-nas syara‘.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang ma‘ruf (baik).

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Antara bantu-membantu yang dituntut oleh Islam juga adalah saling membantu dalam mengerjakan ibadah dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Adakalanya seseorang itu akan merasa lemah dan lalai dalam melakukan ibadah. Oleh yang demikian, pertolongan dan galakan yang baik daripada pasangan dapat mendatangkan keazaman dan semangat dalam dirinya. Bukankah lebih indah kehidupan rumahtangga itu apabila galakan itu datang dari pasangan kita sendiri?

Tauladan yang baik telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah R.A, sabda Baginda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ رَشَّ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى فَإِنْ أَبَى رَشَّتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Allah memberi rahmat kepada lelaki yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Kemudian isterinya pula bangun menunaikan solat. Jika isterinya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah isterinya. Allah juga memberi rahmat kepada wanita yang bangun pada malam hari, lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan suami. Kemudian suaminya bangun menunaikan solat. Jika suaminya enggan bangun, dia merenjiskan air ke wajah suaminya.”

Riwayat Abu Dawud (1308), al-Nasa’ie (1610), Ibn Majah (1336) dan Ahmad (7404)

Rasulullah SAW mengajarkan bagaimana kita boleh membantu pasangan kita untuk bangun mendirikan solat malam dengan cara yang penuh kelembutan. Mereka bukan sahaja saling bantu-membantu untuk mengerjakan amalan ketaatan kepada Allah SWT semata, akan tetapi mereka turut sama mendapatkan rahmat Allah SWT atas perbuatan ehsan ini.

Suami dan isteri pastinya mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam rumahtangga, dan sebahagian darinya adalah melindungi ahli keluarga dari kerosakan moral dan sahsiah, atau kemusnahan yang boleh mengheret seseorang itu ke dalam neraka Allah SWT.  Antara bantuan yang dapat dimainkan oleh pasangan suami isteri adalah, dengan mengemudi keluarga mereka kepada ajaran Islam dan menjauhi larangan syara‘.

Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Qatadah ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa, hendaklah kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah SWT dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah SWT dan membantu mereka untuk menjalankan perintah tersebut. Jika kamu melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT, maka halang dan cegahlah mereka daripadanya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/522)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, pertama sekali saya ucapkan tahniah kerana walaupun anda sedang mengalami kesulitan, anda tetap sedar dan prihatin terhadap tanggungjawab anda sebagai seorang suami untuk menyara keluarga seadanya. Kedua, kami katakan anda bukanlah seorang suami yang dayus, akan tetapi terhimpit dengan masalah kewangan yang menyebabkan anda tidak dapat berfikir secara rasional dan bersikap kasar kepada anak-anak.

Oleh itu, dalam isu anda, apa yang boleh kami nasihatkan adalah pertamanya perkara ini perlu di bawa berbincang bersama isteri dari sudut pengurusan kewangan dan tolak ansur sesama pasangan dalam menerima Keputusan yang dibuat. Kedua, antara alternatif yang boleh dibuat untuk menambahkan side income adalah dengan menggunakan sepenuhnya media sosial seperti menjadi agen/ affiliate untuk produk. Antara aplikasi yang sedang melonjak naik pada hari ini adalah Tiktok. Oleh itu, anda boleh cuba untuk menjual melalui online sahaja bagi mendapat sedikit side income. Mudah-mudahan ia dapat membantu anda sekeluarga dalam melayari bahtera kehidupan.

Disebalik usaha dalam mencari rezeki, janganlah kita lupa untuk kembali dekat padanya seperti menjaga solat fardhu dengan sebaiknya, solat malam, sedekah meskipun sedikit kerana dengan cara itu, Allah akan menjaga kita dan melimpahkan rezeki kepada kita.

Justeru, layanilah keluarga anda dengan sebaiknya dan bersabarlah dalam menghadapinya kerana Allah SWT sedang melihat sejauh mana kesabaran hambanya itu untuk dinaikkan darjat di sisi Allah kelak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a‘lam

 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *