#7167: Mana yang Dahulu Usaha atau Doa?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Antara doa dan usaha yang mana perlu didahulukan. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 159)

Ibn Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahat dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali   Dia. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266).

Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Maksudnya: “Jika kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah SWT, pasti Dia akan memberikan kepada kamu rezeki seperti Dia memberi rezeki kepada burung. Ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.”

Riwayat al-Tirmizi (2344)

Dalam menjelaskan maksud hadith ini, Imam al-Munawi menyebutkan, perkara ini menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Sebaliknya tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.

Dalam hadith ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/8).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hakikatnya tidak ada yang perlu didahulukan dahulu, sebaliknya ia perlu seiring antara usaha dan doa serta diakhiri dengan tawakal kepada Allah SWT setelah berusaha dan doa dengan bersungguh-sungguh. Hal ini kerana yang menjadikan sesuatu itu lancar, cemerlang dan dipermudahkan adalah Allah SWT, bukan hanya usaha semata-mata tanpa meminta bantuan dari-Nya. Justeru, ia perlu seiring antara usaha dan doa, setelah itu barulah kita redha dan tawakal kepadaNya.

Kami juga berpendapat, ada masa didahulukan dengan doa seperti doa ketika musafir keluar rumah atau melakukan sesuatu pekerjaan dan ada masanya berlaku semasa usaha atau ketika sesudahnya usaha. Perkara ini adalah amat luas. Maka doa adalah amat penting dalam kehidupan kita. Benarlah firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Tawakkal tanpa usaha adalah sesuatu yang berlawanan dengan sunnatullah. Haiwan seperti burung sudah ditetapkan rezekinya di sisi Allah dengan usaha yang mereka usahakan, iaitu keluar di pagi hari dan pulang kembali di petang hari dalam keadaan kenyang. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 529)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *