Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, batalkah wuduk antara ibu kafir dengan anaknya yang Muslim apabila anaknya menyentuh ibunya yang kafir itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman dalam Muhkam al-Tanzil menjelaskan hukum-hakam berkaitan ibadah wudhu’, firman-Nya:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمۡ سُكَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعۡلَمُوا۟ مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِی سَبِیلٍ حَتَّىٰ تَغۡتَسِلُوا۟ۚ وَإِن كُنتُم مَّرۡضَىٰۤ أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوۡ جَاۤءَ أَحَدࣱ مِّنكُم مِّنَ ٱلۡغَاۤىِٕطِ أَوۡ لَـٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَاۤءَ فَلَمۡ تَجِدُوا۟ مَاۤءࣰ فَتَیَمَّمُوا۟ صَعِیدࣰا طَیِّبࣰا فَٱمۡسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمۡ وَأَیۡدِیكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kalian mendirikan solat dalam keadaan mabuk sehingga kalian sedar dan waras dengan apa yang kalian katakan. Dan bukan juga dalam keadaan berjunub dan jangan juga memasuki masjid melainkan untuk melintas sahaja sehinggalah kalian mandi. Jika kalian ditimpa penyakit atau berada dalam sebuah permusafiran atau membuang air (besar atau kecil), atau menyentuh wanita; dan kalian tidak mendapati sebarang air maka bertayammumlah dengan tanah yang suci. Sapulah wajah kalian dan kedua-dua tangan kalian dengannya. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Semata-mata menyentuh kulit wanita yang boleh dinikahi tanpa sebarang lapik boleh membatalkan wuduk di sisi salah satu pendapat para ulama Salaf. Pendapat ini dipilih oleh Imam al-Syafi‘i. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, sebahagian ulama berpendapat, sentuhan antara kulit semata antara dua jantina sama ada dengan persetubuhan ataupun selain persetubuhan. Ini merupakan pendapat Ibn Mas‘ud, Ibn Umar, al-Sya‘bi dan al-Nakha‘i. Kemudian, fuqaha berbeza pendapat tentang hukum yang dikeluarkan daripada ayat ini; sebahagian ulama berpendapat bahawa sekiranya seorang lelaki menyentuh mana-mana anggota badan wanita (yang halal dinikahi) tanpa sebarang lapik; maka batal wuduk kedua-duanya (orang yang menyentuh dan yang disentuh). Ini merupakan pendapat Ibn Mas‘ud dan Ibn Umar R.Anhum. Inilah mazhab yang dipegang oleh al-Zuhri, al-Auza‘i dan Imam al-Syafi‘i. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/222)

Berhubung dengan soalan di atas, kami tegaskan bahawa ibu adalah mahram kerana nasab. Ibu haram dinikahi oleh seseorang kerana status dirinya sebagai seorang ibu kandung yang melahirkannya. Oleh yang demikian, menyentuh ibu tidak membatalkan wuduk; walaupun ibu tersebut merupakan seorang yang bukan beragama Islam. Demikianlah keumuman fatwa sekalian ulama mazhab. Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan: “Tidak batal wuduk (apabila menyentuh) mahram kerana nasab, atau kerana susuan, atau kerana persemendaan seperti ibu mertua kerana tiadanya kemungkinan untuk timbulnya syahwat.” (Lihat al-Minhaj al-Qawim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 37)

Tuntasnya, wuduk anak tidak terbatal apabila menyentuh ibunya; walaupun ibunya itu merupakan seorang yang bukan beragama Islam. Hubungan anak dan ibu kekal sebagai mahram, dan golongan mahram bukanlah sasaran syahwat. Menyentuh mereka tidak membatalkan wuduk di sisi mazhab al-Syafi‘i.

Namun, anak yang Muslim tersebut tetap dianjurkan untuk mengambil wuduk kerana disunatkan untuk mengambil wuduk selepas bersentuhan dengan orang-orang bukan Islam dan lain-lain. Hal ini seperti mana yang difatwakan oleh al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami dalam Syarah al-Muqaddimah al-Hadhramiyah bahawa sebahagian ulama menambah bahawa turut disunatkan untuk mengambil wuduk; selepas minum susu unta, selepas menyentuh orang kafir, selepas menyentuh berhala sembahan mereka, selepas menyentuh orang sakit sopak.” (Lihat al-Minhaj al-Qawim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 40)

Mengambil kesempatan di sini, sewajarnya umat Islam menyantuni ibunya sekalipun bukan Islam kerana inilah perintah Allah SWT:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ

Maksudnya:  “Dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *