Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada maksud dan makna takwa yang disebut dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi takwa di sisi para sahabat dan ulama:

  • Saidina Ali R.A berkata:

التَّقْوَى هِيَ الخَوْفُ مِنَ الْجَلِيْلِ، وَالْعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ، وَالْقَنَاعَةُ بِالْقَلِيْلِ، وَالاِسْتِعْدَادُ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ

Maksudnya: “Taqwa ialah merasa takut dan gerun kepada Allah Yang Maha Agung, beramal dengan apa yang terkandung dalam al-Quran, bersikap qana’ah dengan sedikit dan persediaan bagi hari Akhirat.” (Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad oleh al-Solihi al-Syami, 1/421)

  • Al-Nasr Abadzi berkata:

التَّقْوَى أَنْ يَتَّقِى الْعَبْد مَا سِوَاهُ تَعَالَى.

Maksudnya: “Yang dimaksud dengan takwa adalah seorang hamba yang tidak takut kepada apa pun kecuali hanya kepada Allah SWT.”

  • Sahal berkata:

مَنْ أَرَادَ أَنْ تصحّ لَهُ التَّقْوَى فَلْيَتْرُك الذُّنُوب كُلّهَا.

Maksudnya: “Barangsiapa yang menginginkan agar takwanya benar, maka dia hendaklah meninggalkan semua perbuatan dosa.”

  • Ibn ‘Ata’ berkata:

لِلتَّقْوَى ظَاهِرٌ وَبَاطِنٌ، فَظَاهِرُهُ مُحَافَظَةُ الْحُدُودِ، وَبَاطِنُهُ النِّيَّةُ وَالْإِخْلَاصُ.

Maksudnya: “Taqwa terbahagi kepada dua, iaitu taqwa zahir dan taqwa batin. Taqwa zahir adalah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dilarang. Manakala taqwa batin adalah niat dan ikhlas.”

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Ghazali, katanya:

Menurut guru kami, takwa bererti membersihkan diri dari perbuatan dosa yang belum dilakukan, sehingga timbul niat yang kuat untuk meninggalkannya, dan tidak mengerjakannya. Sebab, niat merupakan penghalang antara manusia dengan maksiat. Di dalam al-Qur’an, takwa mengandung tiga pengertian:

1 – Takwa dengan erti takut:

وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ

Maksudnya: “dan hanya kepada Allah kamu harus bertakwa (merasa takut dan waspada).

(Surah al-Baqarah: 41)

 وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ

Maksudnya: Dan berwaspadalah dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu sekalian dikembalikan kepada Allah.

(Surah al-Baqarah: 281)

2 – Takwa bererti patuh dan tunduk:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya.

(Surah Ali ‘Imran: 102)

Ibn ‘Abbas menjelaskan ayat di atas, “Taatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar ketaatan.”

Mujahid ibn Jabr mengatakan, “Wajib bagi kita taat kepada Allah, tidak membantah, sentiasa mengingati-Nya, mensyukuri nikmat-Nya, dan tidak kufur kepada-Nya.”[1]

3 –  Takwa bererti membersihkan diri dari segala dosa. Dan inilah hakikat takwa, sebagaimana firman Allah:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Maksudnya: Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan takut kepada Allah serta bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”

[Surah al-Nur: 52]

Di atas Allah berfirman tentang taat, takut, kemudian menyebut tentang takwa.

Jadi, takwa, selain mengandungi erti taat dan takut, juga bererti membersihkan diri dari perbuatan maksiat, sebagaimana kami sebutkan di atas. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 190-193)

Betapa mulianya takwa, sehingga dia boleh menjadi semulia hamba Allah di sisi Allah. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ibn Kathir berkata: “Kamu semua berbeza keutamaan di sisi Allah hanya dengan takwa, bukan kerana kedudukan dan nasab.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/101)

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah gugurnya segala titik-titik perbezaan dan gugurnya segala nilai-nilai dan ukuran-ukuran. Hanya nilai taqwa sahaja satu-satunya neraca yang tegak. Inilah satu-satunya neraca dan satu-satunya nilai untuk menjadi asas rujukan kepada umat manusia yang berbagai-bagai warna dan jenis itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/112)

Abu Sa’id al-Khudri menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan meminta nasihat. Lalu Baginda SAW bersabda:

عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللَّهِ : فَإِنَّهَا جِمَاعُ كُلِّ خَيْرٍ، وَعَلَيْكَ بِالْجِهَادِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ : فَإِنَّهَا رَهْبَانِيَّةُ الْمُسْلِمِينَ، وَعَلَيْكَ بِذِكْرِ اللَّهِ وَتِلَاوَةِ كِتَابِهِ : فَإِنَّهُ نُورٌ لَكَ فِي الْأَرْضِ، وَذِكْرٌ لَكَ فِي السَّمَاءِ.

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, kerana taqwa itu menghimpunkan segala kebaikan. Dan hendaklah kamu berjihad kerana ia adalah ibadah bagi umat Islam. Dan hendaklah kamu lazimi diri kamu dengan zikrullah serta bacaan al-Quran kerana ianya adalah cahaya untuk kamu di bumi dan sebab sebutan namamu di langit.”

Riwayat Abu Ya’la (1000), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (949) dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (7/392). Hadis ini dinilai Sahih li Ghairihi dalam kitab Sahih al-Targhib (2969)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Nota Hujung:

[1] Abu Nu’aim al-Isfahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (7/238), al-Baihaqi di dalam al-Zuhd al-Kabir (878) secara mauquf daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA, manakala al-Hakim di dalam al-Mustadrak (2/293), Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (8/163) menerusi hadith Ibn Mas’ud RA secara marfu’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *