Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, implikasi daripada sifat suka berangan-angan dengan panjang di samping apabila dapat mengatasinya, apakah kelebihannya? Mungkin kami perlu panduan dari Imam al-Ghazali.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan di sini penjelasan dari Imam al-Ghazali dengan panjang lebar berkenaan isu yang dibangkitkan di atas. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada kita semua.

Imam al-Ghazali berkata: Khayalan dan angan-angan akan mendorong seseorang melakukan empat perkara berikut:

  1. Tidak taat, dan lama-kelamaan meninggalkannya sama sekali. Lamunannya akan berkata, “Pasti aku akan taat, tetapi buat masa sekarang, aku belum dapat melaksanakannya lagi, dan hari masih panjang, sehingga aku pasti akan dapat melaksanakannya kelak nanti.”

Benar yang dikatakan oleh Daud al-Ta’i, “Sesiapa yang takut ancaman azab seksa, tentu yang jauh menjadi dekat. Dan sesiapa yang tinggi cita-citanya dan suka berangan-angan, nescaya akan buruk jua amalannya.”[1]

Yahya bin Mu’az al-Razi berkata, “Berangan-angan itu memutuskan setiap kebaikan. Tamak haloba bakal menghalangi yang haq, sabar membawa kepada keberuntungan, dan nafsu mengajak kepada kejahatan.”

  1. Akibat dari Tul al-Amal adalah orang akan menunda-nunda taubat dan meninggalkannya dengan dalih: ‘hari masih panjang’, ‘malam masih muda’, dan lain-lain. Mereka merasa dirinya masih muda dan telah memiliki banyak pengetahuan mengenai taubat. Hingga pada waktunya nanti mereka tinggal bertaubat semudah itu sahaja. Sesungguhnya, orang itu tidak sedar, bahawa ajal akan menjemputnya bila-bila masa sahaja sesuai dengan takdir. Dan bagaimana jika dia mati sebelum dia sempat bertaubat?!
  2. Akibat lain dari sifat Tul al-Amal adalah, seseorang itu gemar sekali menghimpunkan harta, mencintai dunia, dan melupakan akhirat. Mereka beranggapan jika tidak memupuk kekayaan mulai sekarang, khuatir mereka akan menjadi fakir pada masa tuanya, ketika sudah tidak mampu lagi berusaha. Untuk itu, mereka mulai sekarang sudah berusaha mencari lebihan harta untuk simpanan jika dirinya sakit, tua renta atau fakir.

Fikiran seperti itu akan mengakibatkan dia mencintai dan berasa tamak haloba terhadap kesenangan dunia, serta seluruh perhatiannya akan ditumpahkan hanya untuk berfikir tentang harta, harta, rezeki, rezeki.

Lamunannya akan membawanya berfikir seperti ini, “Apalah makanan dan minumanku nanti, bagaimana dengan pakaianku pada musim panas dan musim dingin nanti. Jika tidak aku himpun sejak sekarang, sedang mungkin aku berumur panjang dan keperluanku ketika itu sangat banyak. Maka, aku harus mengumpulkan kekayaan sebanyak-banyaknya.”

Fikiran seperti itulah yang akan melalaikannya daripada beribadah, meninggalkan kewajiban, dan berpaling daripada Allah. Dia lebih mencintai dunia dengan segala kekayaannya yang akan membuatnya bersifat kikir, tamak dan bakhil.

Atau paling tidak, akibat dari hal di atas akan membuatkan hati berasa bimbang dan membuang waktu dengan sia-sia. Kebimbangan yang terus menerus itu tidak akan bermanfaat sama sekali. Sebagaimana diriwayatkan daripada Saidina Abu Zar RA: “Aku terbunuh oleh kemahuan hati yang aku tidak akan dapat menggapainya.” Kemudian seseorang bertanya: “Bagaimana ertinya itu, wahai Abu Zar?” Beliau menjawab: “Kerana angan-anganku melampaui ajalku.”

  1. Selain itu, Tul al-Amal mengakibatkan hati seseorang keras dan melupakan akhirat. Hal ini kerana, jika seseorang menginginkan kehidupan kekal, tentu ingatannya tentang maut dan kubur menjadi hilang.

Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata:

إِنَّ اَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ اِثْنَانِ طُولُ الْأَمَلِ وَاتِّبَاعُ الهَوَى أَلَا وَإِنَّ طُوْلَ الْأَمَلِ يُنْسِي الآخِرَةَ وَاتِّبَاعَ الْهَوَى يَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang aku takutkan dari kamu ada dua perkara: perasaan masih jauh daripada ajal dan tunduk turut kepada nafsu. Sesungguhnya, Tul al-Amal melupakan akhirat, dan tunduk kepada nafsu akan menyesatkan orang dari kebenaran.”[2]

Adapun fikiran dan urusanmu yang dianggap besar hanyalah dongeng dunia semata, ia merupakan sebab-sebab sampingan kehidupan, dan masalah pergaulan yang menjadikan hati keras. Sedangkan lunak dan jernihnya hati itu adalah dengan mengingati mati dan alam kubur, mengingat pahala dan azab seksa, dan hal-ehwal akhirat. Jika tidak demikian, bagaimana mungkin hati seseorang akan lembut lunak dan jernih?

Allah SWT berfirman:

فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ

Maksudnya: Telah berlalu masa yang panjang kepada mereka, lalu bati mereka menjadi semakin keras.

(Surah al-Hadid: 16)

Jadi, jika seseorang merasa masih jauh dari kematian, nescaya, amal ketaatannya hanya sedikit dan dia akan terlambat untuk bertaubat, dia akan banyak berbuat maksiat, serakah, hatinya menjadi keras membatu, dan melalaikan Tuhan. Akibat dari semuanya itu akan ditanggungnya di akhirat kelak.

Sedangkan jika seseorang merasa dekat dengan kematiannya, saling mengingatkan saudara dan kerabat, bahawa mereka mati tanpa disangka-sangka, menyedari kemungkinan dirinya akan mengalami hal yang sama sedemikian serupa, maka jagalah diri agar tidak terkena ghurur.

Saidina ‘Auf bin Abdullah berkata, “Berapa ramai orang sihat yang sedang menjalani kehidupan paginya, namun tidak sempat menjalani detik petangnya. Dan berapa banyak orang yang menanti hari esok, tetapi tidak sempat mengalami waktu paginya.”[3]

Jika seseorang mengetahui ajal dan perjalanan hidupnya, tentu ia akan membenci terhadap angan-angan dan segenap tipu dayanya.

Tidakkah dikau mendengar bahawa Nabi Isa AS bersabda:

الدُّنْيَا ثَلَاثَةُ أَيَّامٍ: أَمْسٍ مَضَى مَا بِيَدِكَ مِنْهُ شَيْءٌ وَغَدٍ لَا تَدْرِي أَتدْرِكُهُ أَمْ لَا؟ وَيَوْمٍ أَنْتَ فِيهِ فَاغْتَنِمْهُ

Maksudnya: “Dunia itu ada tiga hari sahaja: Hari yang lalu, engkau tidak mampu mengulanginya. Hari esok, yang belum tentu engkau dapat mengalaminya ataupun tidak? Hari ini, yang engkau sedang alami, maka manfaatkanlah ia sebaiknya.

Abu Zar al-Ghifari juga berkata:

الدُّنْيَا ثَلَاثَةُ سَاعَاتٍ سَاعَة مَضَتْ وَسَاعَةُ أَنتَ فِيهَا وَسَاعَة لَا تَدْرِي أَتدْرِكُهَا أَمْ لَا

Maksudnya: Dunia ini terdiri daripada tiga masa: masa yang telah berlalu, masa yang sedang kamu berada di dalamnya, dan masa yang kamu tidak tahu sama ada kamu akan sempat mencapainya atau tidak.”

Maka, sebenarnya kamu tidak memiliki mana-mana masa dengan hakikatnya, kerana kematian boleh datang pada bila-bila masa.

Syaikh kami rahımahumullah juga berkata:

“Dunia ini hanya tiga nafas: Satu saat telah berlalu membawa amal yang dikau kerjakan pada nafas itu, dan satu nafas yang sedang engkau jalani kini. Dan satu nafas lagi, apakah engkau mampu sampai ataupun tidak. Sebab, ramai orang yang sedang menghirup nafas, lantas didatangi maut sebelum sempat bernafas sekali lagi. Jika demikian, bererti hanya ada satu nafas yang engkau miliki, bukan hari dan bukan pula saat. Untuk itu, bergegaslah melaksanakan ketaatan selama engkau masih bernafas. Sebelum ia pergi, segeralah bertaubat, sebab siapa tahu pada nafas yang kedua, barangkali engkau akan mati.

Untuk itu, janganlah mencurahkan perhatian hanya kepada rezeki, kerana kemungkinan engkau sudah tidak memerlukannya lagi jika engkau mati pada nafas yang sedang engkau jalani. Bererti, engkau mensia-siakan waktu, dan kebingunganmu akan bertambah. Untuk apa kita memeningkan kepala dan mengganggu minda semata-mata untuk memikirkan tentang rezeki, sedang rezeki itu hanya untuk sehari, sejam, atau satu nafas. Nabi SAW bersabda tentang sahabatnya:

ألا تَعْجَبُونَ مِنْ أُسَامَةَ الْمُشْتَرِي بِصَبْرِ شَهْرٍ؟! إِنَّ أُسَامَةَ لَطَوِيلُ الْأَمَلِ، واللهِ ما وَضعتُ قدمًا.. فَظَنَنْتُ أَنِّي أَرْفَعُها، وَلاَ لقمةً.. فَظَنَنْتُ أَنِّي أسيغها حتَّى يُدْرِكَنِي المَوْتُ، والذي نفسي بيدِهِ إنَّ ما توعدون لآتٍ وما أنتم بمعجزينَ

Maksudnya: “Tidakkah kamu merasa pelik dengan Usamah yang telah membeli (hamba) selama satu bulan?! Sesungguhnya Usamah mempunyai angan-angan yang panjang. Demi Allah, ketika aku melangkahkan kaki.. tidak aku sangka akan melangkah kembali. Dan ketika menyuap, tidak aku sangka mampu menelannya, kalau-kalau ajal maut tiba saat itu juga. Demi Allah, segala yang telah Allah janjikan pasti akan terjadi. Dan tidak sekali-kali manusia dapat mengalahkan kekuasaan dan kehendak-Nya.”

Riwayat al-Tabarani di dalam Musnad al-Syamiyyin (1505), al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (10080) menerusi hadith Abu Sa’id al-Khudri RA.

Jika seseorang sentiasa mengingat seperti itu, tentu angan-angannya tidak akan panjang. Dengan izin Allah dan saat itu juga ia bermuhasabah kemudian melazimi ketaatan dan segera bertaubat. Maka bersihlah ia dari maksiat, dan ia akan berzuhud daripada dunia dan seisinya. Sehingga, perhitungan dan tanggungannya menjadi ringan. Selain itu, hatinya akan selalu mengingat negeri akhirat dan azab seksanya. Hal itu kerana dari satu nafas ke nafas berikutnya, dia berjalan ke sana serta melihatnya satu demi satu. Akhirnya, hilanglah kekerasan hati dan tergantilah dengan kelunakan dan kejernihan hati. Pada saat itu juga akan tumbuh rasa takut terhadap Allah ta’ala. Kemudian, ‘ibadahnya pun menjadi lurus dan istiqamah, siap sedia menerima kematian, dan bakal tercapailah segala yang menjadi tujuan di akhirat sana. Semuanya, selepas kurniaan Allah, hanya akan digapai dengan Qasr al-Amal. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 216-220)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Abu Nu’aim al-Isfahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (7/357)

[2] Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (8/155), al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-Iman (10129) dan al-Zuhd al-Kabir (463) menerusi perkataan Ali bin Abu Talib RA.

[3] Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf (8/223), Abu Nu’aim al-Isfahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (4/243), al-Baihaqi di dalam al-Zuhd al-Kabir (592) menerusi perkataan ‘Auf bin Abdullah.

Leave a Reply