Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, pandangan ulama tasawwuf berkenaan dengan bahaya dan akibat buruk daripada sifat takabbur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagaimana sifat takabbur adalah dosa yang pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah bernama Iblis apabila enggan sujud kepada Adam AS kerana takabbur. Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan pandangan Imam al-Ghazali Rahimahullah, katanya:

Sifat al-kibr (sombong) paling tidak, akan menimbulkan empat bahaya:

  • Menghalang seseorang daripada melihat kebenaran, membutakan mata hati, sehingga seseorang tidak mampu mengenal ayat-ayat Allah, jua hukum-hakam-Nya.

Allah SWT berfirman:

سَأَصْرِفُ عَنْ آيَاتِيَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Maksudnya: Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda tanda kekuasaan-Ku.

(Surah al-A’raf: 146)

 Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman: (Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku) iaitu Aku akan mencegah hati orang-orang yang enggan taat kepada-Ku dan berbuat sombong kepada orang lain tanpa alasan dari hujah dan dalil yang menunjukkan kepada keagungan, syariat dan hukum-Ku. Sebagaimana mereka menyombongkan diri tanpa alasan yang benar, maka Allah menghinakan mereka dengan kebodohan. Sebagaimana Allah SWT berfirman: (Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Qur’an) pada permulaannya) (Surah Al-An’am: 110) dan (Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka) (Surah al-Saf: 5). Sebahagian ulama salaf berkata bahawa orang yang pemalu dan orang yang menyombongkan diri tidak memperoleh ilmu. Ulama lain berkata, “Barangsiapa tidak sabar terhadap kesulitan mencari ilmu, walaupun sebentar, maka dia tetap berada dalam hinanya kebodohan selamanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/261)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘سَأَصْرِفُ عَنْ ءَايٰتِىَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ’ (Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan diri daripada ayat-ayat-Ku) Yakni, Aku akan menghalang mereka daripada memahami kitab-Ku. Pendapat lain mengatakan, yakni Aku akan memalingkan mereka daripada keimanan kepada ayat-ayat-Ku. (Lihat Fath al-Qadir, 3/221)

Dan firman-Nya juga:

 كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

Maksudnya: Demikianlah Allah mengunci mati hati setiap orang yang sombong dan berbuat sewenang-wenangnya (menzalimi dan melampau).

(Surah Ghafir: 35)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah yang telah diturunkan kepada mereka dengan tujuan untuk menyalahkannya tanpa alasan dan dasar yang jelas. Mereka membesar-besarkan perdebatan mereka dengan penuh kebencian. Kemurkaan Allah dan kemurkaan orang mukmin sangat besar terhadap mereka. Al-muqtu adalah kemarahan yang sangat besar kerana mereka telah memperdebatkan Al-Quran dengan buruk dan penuh kesombongan. Seperti mana Allah telah menutup hati orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat-Nya, begitu juga Allah telah menutup hati orang-orang yang menyombongkan diri dan angkuh sebagai hukuman bagi mereka. Apabila hati telah sombong, maka sombonglah seluruh anggota badannya. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 331)

Demikianlah Allah mencap hati orang-orang yang sombong dan keras.

  • Sifat sombong mengakibatkan kemurkaan Allah.

Firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang meninggikan diri (sombong).

(Surah al-Nahl: 23)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Tidak syak lagi, seyakin-yakinnya, bahawa Allah mengetahui segala yang mereka sembunyikan dan segala yang mereka zahirkan, termasuk amalan-amalan buruk mereka. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong, bahkan Dia sangat membenci mereka dan akan membalas mereka dengan balasan yang setimpal dengan tingkah laku mereka. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk ke dalam Neraka Jahanam dalam keadaan yang hina-dina.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 442)

Nabi Musa AS bersabda: “Wahai Tuhan, siapakah orang yang paling Engkau murkai?” Lantas, Tuhan bertitah, “Setiap orang sombong hatinya, keji lisannya, tajam pula matanya, kedekut tangannya, dan buruk sekali akhlaknya.”

  • Sifat al-kibr (sombong) menjadikannya hina dan mendatangkan seksa di dunia dan di akhirat kelak.

Hatim al-Asham berkata,

“Jauhkan dirimu daripada mati di dalam tiga keadaan:

  • Dalam keadaan takabbur,
  • Dalam keadaan terlalu menginginkan (dunia),
  • Dalam keadaan ‘ujub (mengkagumi diri).

Orang yang takabbur tidak akan dikeluarkan oleh Allah dari dunia sebelum diperlihatkan kepadanya penghinaan keluarganya dan pelayan-pelayannya ke atas dirinya, dengan penghinaan yang begitu merendahkan.

Orang yang terlalu menginginkan (dunia) tidak akan dikeluarkan oleh Allah dari dunia melainkan diberinya dahulu sepotong roti dan seteguk air, dan ia tidak mendapatkan apa-apa rasa kenyang atau puas dari makanan atau minuman yang telah dirinya jamah.

Dan orang yang kagum akan dirinya tidak akan dikeluarkan dari dunia sebelum dirinya disimbah air kencing dan berlumuran dengan tinja.” (Lihat Minhaj al-Abidin, hlm. 196-197)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply