Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapakah hukum (keinginan dan kepastian untuk sesuatu perkara) itu dibolehkan pada permulaan, manakala Tafwid dan Istithna’ pula diwajibkan selepas menyempurnakannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Imam al-Qurthubi berkata:  Firman Allah SWT dalam ayat yang lain “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” yang bermaksud  “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”. [al-Zumar:11]. Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Hal ni kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)

Daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لكل امْرِئ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung ( العبادة  المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.

Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafi’i dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al Nawawiyyah, hlm. 13).

Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 6). Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan di sini kenyataan Imam al-Ghazali di mana beliau berkata:

“Hal ini kerana ketiadaan bahaya ketika permulaan, kerana ketika detik permulaan itu, tiada sebarang situasi genting ke atas dirimu, manakala ketika detik akhir pula, wujud keadaan yang bahaya, ia bakal hadir dan berlaku dalam keadaan yang beransur-ansur.

Bahaya yang dimaksud di sini ada dua macam:

  • Bahaya kebarangkalian tidak sampai, kita tidak tahu sama ada mampu atau atau tidak untuk sesuatu amal dan pekerjaan itu terlaksana?
  • Bahaya kerosakan amal, kerana kita tidak tahu sama ada amalan itu terdapat kebaikan, atau tidak?

Oleh kerana itu, dalam memulakan suatu pekerjaan, wajib mengucapkan insya-Allah, dan menyerahkan segala sesuatunya kepada Allah SWT.

Jika telah ada syarat-syarat di atas, maka kemahuan itu menjadi niat yang terpuji, dan bererti seseorang itu bebas daripada sifat Tul al-Amal beserta bahaya-bahayanya. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 204)

Antara perkara utama amalan diterima adalah dengan takwa. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Maidah: 27)

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini: (Sesungguhnya Allah SWT hanya menerima amalan) daripada golongan yang bertaqwa kepada Allah dalam melakukan amalan tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/85)

Marilah sama-sama kita mengikhlaskan diri dalam beribadat kepada Allah agar amalan kita diterima. Begitu juga kita berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *