Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Kawan saya solat terus duduk tanpa berdiri dahulu. Apakah hukumnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan jawapan ini dengan menegaskan kewajiban melaksanakan solat sebagai seorang Muslim dan ia merupakan salah satu Rukun Islam yang paling utama, dengan membawa sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Dibina Islam itu di atas lima iaitu penyaksian bahawa sesungguhnya tiad Tuhan yang sebenar-benarnya layak untuk disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.”
Riwayat Muslim (16)
Dalam melaksanakan solat pula, kita harus memenuhi rukun-rukun solat yang wajib dilaksanakan. Berdiri ketika menunaikan solat merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilakukan dan dipenuhi. Imam Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa, rukun solat yang ke-3: al-Qiyam (الْقِيَامُ) iaitu berdiri ketika menunaikan solat, dan dalil bagi kewajibannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِینَ
Maksudnya: “Dan berdirilah (dalam solat) kerana Allah dalam keadaan penuh taat.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Kewajiban berdiri ketika solat ini juga merupakan ijma‘ (persepakatan) umat Islam, dan perkara yang begitu dimaklumi dan diketahui di dalam agama Islam ini.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/97)
Namun, syariat Islam juga datang dengan kemudahan dan keringanan. Allah SWT tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kalian.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak mampu untuk bersolat dalam keadaan berdiri, maka dia dibenarkan untuk melaksanakan solat dalam keadaan duduk. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Sekiranya seseorang tidak mampu berdiri, maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan duduk; bagaimanapun cara duduknya itu, berdasarkan ijma‘ para ulama dan hadith.” (Lihat ‘Ujalah al-Muhtaj ila Taujih al-Minhaj, 1/193)
Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya: “Aku diuji dengan penyakit buasir (بَوَاسِيرُ) lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu juga maka solatlah dalam keadaan baring secara mengiring.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Imam al-Khattabi berkata: “Makna hadith ini adalah pedoman bagi seseorang yang hendak melaksanakan solat-solat fardhu. Secara asalnya, dia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu berdiri dan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan-keadaan yang disebutkan selepas itu.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 1/630-631)
Situasi Dibolehkan Solat Secara Duduk
Solat secara duduk dibenarkan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Ini merupakan salah satu keluasan Islam dan sifat toleransi yang ditunjukkan oleh syariat. Para ulama telah membahaskan secara panjang lebar berkenaan ciri “tidak mampu” yang membolehkan solat dalam keadaan duduk.
Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesukaran yang begitu dahsyat atau bertambahnya kesakitan jika berdiri, ataupun seseorang yang berada di atas sampan takutkan kebarangkalian dirinya bakal tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa sakit kepala dan kepeningan; maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulangi solatnya itu.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab 4/310)
Selain itu, para fuqaha’ turut menaskan bahawa setiap kesusahan jika berdiri yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat, maka dibolehkan untuk seseorang itu solat dalam keadaan duduk. Ini adalah sebagaimana fatwa Imam al-Ramli, di mana beliau menyebutkan:: “Difatwakan di dalam bahagian tambahan kitab al-Raudhah: Antara ciri kesukaran yang dibenarkan solat duduk, adalah jika seseorang berhadapan dengan sebarang kesusahan atau kesukaran yang boleh mengganggu khusyuk jika berdiri.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/468)
Sebaliknya, Imam Ibn Hajar al-Haitami memandang pendapat ini sebagai pendapat yang dha‘if di dalam mazhab. Beliau memfatwakan: “Sesiapa yang mempunyai kesusahan yang begitu zahir dan jelas, maka dibenarkan untuk solat duduk… Manakala, pandangan yang menyatakan boleh solat duduk meskipun jika berdirinya seseorang itu bakal menyebabkannya berhadapan dengan kesukaran yang bakal mengganggu khusyuk adalah pandangan yang dha‘if (lemah).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/23-24)
Terus Solat Duduk
Berkenaan perkara di atas, kami simpulkan bahawa jika seseorang mengalami sakit yang menyukarkan dirinya berdiri lama, dia boleh bersolat dalam keadaan duduk namun dengan syarat, dia mestilah memulakan solat dalam keadaan berdiri dan hanya duduk selepas itu. Perkara ini adalah berdasarkan dalil kewajiban mentaati Allah dan melaksanakan arahan-Nya sedaya upaya mungkin yang termampu. Jika masih mampu berdiri sebentar, wajiblah berdiri walau sebentar ketika melakukan Takbiratul Ihram. Hal ini berdalilkan kaedah:
الْمَيْسُورُ لَا يَسْقُطُ بِالْمَعْسُورِ
Maksudnya: “Kewajiban melaksanakan perkara yang masih mudah dan mampu dilaksanakan, tidak akan gugur semata-mata kerana wujudnya kesusahan dan kesukaran.” (Lihat al-Ibhaj fi Syarh al-Minhaj oleh Imam Tajuddin al-Subki, 1/188)
Kaedah ini diambil berdasarkan pedoman Sunnah Nabi SAW menerusi hadith Abu Hurairah RA, bahawa baginda bersabda:
مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ, وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَافْعَلُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ؛ فَإِنَّمَا أَهْلِكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ, وَاخْتِلافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ
Maksudnya: “Semua yang aku larang, hindarilah ia. Semua yang aku arahkan, maka laksanakanlah ia semampu kalian. Umat terdahulu binasa kerana banyak mempertikaikan dan menyanggah arahan para Nabi mereka.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Sahih (7288) di dalam Kitab al-I‘tisam [الاِعْتِصَامُ] Bab: Biarkan Apa Yang Nabi Tinggalkan, Umat Terdahulu Binasa Kerana Banyak Pertikai Nabi حديث: دعوني ما تركتكم إنما هلك من كان قبلكم بسؤالهم; Muslim dalam al-Sahih (1337) di dalam Kitab al-Fadhail [الْفَضَائِلُ] Bab: Memuliakan Nabi dan Tidak Menyanggah Arahan Baginda Tanpa Keperluan [باب توقيره ﷺ وترك إكثار سؤاله عما لا ضرورة إليه]
Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi‘i berkata ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Syarah al-Arba‘in:
“Sekiranya seseorang itu tidak mampu melaksanakan beberapa rukun atau syarat dalam wudhu’ atau solat, atau hanya mampu melaksanakan mandi atau membasuh hanya beberapa bahagian wudhu’ atau tayammum sahaja, atau hanya mampu menutup sebahagian aurat sahaja, atau hanya mampu membayar sebahagian jumlah sahaja pada bayaran kafarah, atau hanya mampu membaca sebahagian Surah al-Fatihah sahaja, atau hanya mampu mencegah beberapa kemungkaran sahaja, wajib dia melaksanakan setakat apa yang termampu sahaja..” (Lihat al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba‘in, hlm. 274)
Adapun bagi seseorang yang tidak mampu berdiri atau berjalan langsung, maka dia dibenarkan untuk terus memulakan solat dalam keadaan duduk. Sama ada duduk di atas lantai atau duduk di atas kerusi. Allah SWT menghendaki kemudahan dan kesenangan buat sekalian hamba-Nya. Syariat Islam amat konsisten dan serius mengelak kesukaran dan kesusahan dalam apa jua sudut.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan! Jadikanlah daku dan zuriat keturunanku sebagai orang-orang yang mendirikan solat. Wahai Tuhan kami! Terimalah doa permohonan kami.”
Wallahu a‘lam.