Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah disyariatkan untuk memberi salam kedua dalam solat jenazah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)
Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51).
Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).
Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa salam merupakan rukun dalam solat termasukalah solat jenazah. Oleh itu, tidak sah solat seseorang itu tanpa melakukannya. Para ulama telah bersepakat mengenai kewajipan salam pertama, namun mereka berbeza pendapat mengenai salam kedua: adakah ia wajib atau sunat. Hanafiyyah berpendapat bahawa ia wajib seperti salam pertama, manakala Malikiyyah, Syafi‘iyyah, dan Hanabilah berpendapat bahawa ia disyariatkan tanpa kewajipan.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Yang masyhur di sini adalah bahawa disunatkan memberi dua salam. Al-Furani berkata bahawa ini adalah nasnya dalam kitab al-Jami‘ al-Kabir. Dalam kitab al-Umm pula, dinyatakan salam pertama dimulakan ke arah kanan dan diakhiri dengan berpaling ke arah kiri. (Lihat al-Majmu’ Syarh Muhazzab, 5/239-240)
Selain itu juga al-Syairazi al-Syafi‘i menyatakan bahawa: Ucapandoa pada takbir yang keempat adalah: “اللَّهُمَّ لا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ، وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهُ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ” dan kemudiannya memberi salam dua kali. (Lihat al-Tanbih, 1/51)
Begitu juga dalam mazhab Hanbali, al-‘Allamah Ibn Qudamah al-Hanbali menyatakan dalam kitab al-Mughni (2/366) bahawa: al-Qadhi memilih bahawa yang sunat adalah dua salam, namun satu salam sudah memadai, dan ini juga pendapat al-Syafi‘i dan para ahli ra’yi, dengan mengambil qiyas kepada solat-solat yang lain.
Para fuqaha yang memilih pandangan yang demikian adalah bersandarkan dengan apa yang telah thabit daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda melakukan dua kali salam dalam solat jenazah. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatakan daripada Abu Ma’mar bahawa beliau menayatakan:
أنَّ أمِيرًا كانَ بمَكَّةَ يُسَلِّمُ تَسْلِيمَتَيْنِ فَقالَ عبدُ اللهِ: أنّى عَلِقَها . قالَ الحَكَمُ في حَديثِهِ: إنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ كانَ يَفْعَلُهُ
Maksudnya: “Seorang pemerintah di Makkah pernah mengucapkan salam dua kali, lalu Abdullah bertanya: Dariamana ia mendapatkan hal itu? Al-Hakam berkata dalam hadithnya: Rasulullah SAW pernah melakukannya ”
Riwayat Muslim(571)
Berdasarkan hadith ini Imam al-Nawawi menyatakan dalam Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (5/83): yang demikian merupakan dalil bagi mazhab al-Syafi‘i dan majoriti ulama daripada kalangan salaf dan khalaf bahawa disunatkan untuk memberi dua salam ketika solat. Yang demikian juga termasuklah ketika melakukan solat jenazah.
Justeru, berdasarkan pandangan para ulama yang telah dibawakan di atas, dapat kita fahami bahawa mereka bersepakat mengenai pensyariatan salam kedua dalam solat jenazah. Namun, mereka berselisih pandangan sama ada ia termasuk dalam perkara sunat ataupun wajib. Oleh itu, kami lebih cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa ia adalah sunat, sebagaimana yang dikemukakan oleh mazhab al-Syafi‘i, kerana pandangan ini lebih selari dengan dalil-dalil yang sahih serta amalan kebanyakan ulama daripada kalangan salaf dan khalaf.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)
Wallahua‘lam