Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, adakah mala’ikah atau malaikat itu lafaz muzakkar atau mu’annath?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, lafaz mala’ikah (المَلَائِكَةُ) ini merupakan kata majmuk bagi malak (المَلَكُ), yang difahami dalam bahasa melayu sebagai malaikat. Menurut Ahli Bahasa, ia adalah kalimah bahasa Arab yang berasal dari kata dasar (أَلَكَ) yang bermaksud “membawa risalah.” Risalah yang dibawa ini pula disebutkan sebagai al-Aluk (الأَلُوكُ), dan malaikat pula dinamakan sedemikian kerana tugasnya selaku utusan kepada hamba-hamba Allah SWT yang lain, iaitu dengan menyampaikan risalah-risalah Allah kepada para Nabi. Beginilah pandangan yang dipersetujui oleh majoriti Ahli Bahasa. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 1/132; Kitab al-‘Ain, 5/409; Jami‘ al-Bayan, 1/447; al-Nukat fi al-Quran al-Karim, hlm. 125; Mukhtar al-Sihah, hlm. 298)

Iman kepada malaikat adalah rukun kedua daripada rukun-rukun iman. Tidak sempurna iman seseorang hamba itu kecuali dengan keimanan terhadapnya. Allah SWT telah memberitahu dalam kitab-Nya secara jelas bahawa sesiapa yang kufur kepada malaikat, maka dia telah jauh tersesat. Firman-Nya:

وَمَن يَكْفُرْ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 136)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, lafaz malaikat ini merupakan merupakan jama‘ taksir (جَمْعُ التَّكْسِيرِ) atau kata majmuk yang telah terpecah binaan kata tunggalnya. Oleh itu, apabila kita hendak menilai sama ada suatu kata nama itu adalah muzakkar (maskulin) atau mu’annath (feminin), maka perlu untuk kita kembali memerhatikan kepada kata tunggalnya terlebih dahulu.

Lafaz malak (المَلَكُ) ini merupakan kata nama muzakkar (maskulin), akan tetapi apabila binaan kalimahnya terpecah apabila berubah menjadi kata majmuk iaitu mala’ikah (المَلَائِكَةُ), maka ia akan mengambil hukum mu’annath (feminin). Kami membawakan contoh agar lebih jelas, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?’”

(Surah al-Nisa’: 97)

Di dalam ayat ini, noktah penting yang perlu dijelaskan pada potongan ayat tersebut:

  • (إِنَّ ٱلَّذِينَ): Sesungguhnya orang-orang yang,
  • (تَوَفَّىٰهُمُ): diambil nyawanya,
  • (ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ): oleh malaikat.

Imam Fakhruddin al-Razi membawakan pandangan al-Farra’, bahawa kalimah (تَوَفَّىٰهُمُ) ini boleh difahami sebagai fi‘il madhi (perbuatan yang telah berlaku), yang hanya tertumpu hukum dan perkhabarannya khusus kepada kaum-kaum tertentu dan telah meninggal dunia sahaja. Ia juga boleh difahami sebagai fi‘il mudhari‘ (perbuatan yang sedang berlaku atau akan berlaku), di mana hukum dan perkhabarannya lebih bersifat umum serta terpakai kepada mana-mana kaum yang mempunyai ciri-ciri seperti dalam ayat di atas.

Sekiranya kalimah (تَوَفَّىٰهُمُ) ini adalah fi‘il madhi (perbuatan yang telah berlaku), maka tidak menjadi masalah untuk menggunakan hukum muzakkar pada jama‘ taksir bagi lafaz mala’ikah (المَلَائِكَةُ) ini, kerana hukum mu’annath yang diimplikasikan pada mana-mana jama‘ taksir itu hanyalah dari sudut lafaz sahaja dan bukannya secara hakikat. Maka boleh sahaja dikatakan sebagai contoh:

  • Binaan ayat muzakkar (maskulin): تَوَفَّاهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ.
  • Binaan ayat mu’annath (feminin): تَوَفَّتْهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ.

Manakala, sekiranya kalimah (تَوَفَّىٰهُمُ) ini adalah fi‘il mudhari‘ (perbuatan yang sedang berlaku atau akan berlaku), maka hukum mu’annath perlu diimplikasikan padanya dengan menyebut: (تَتَوَفّاهُمُ المَلائِكَةُ). Kemudian, di sini akan masuk pula perbahasan Ahli Bahasa pada kalimah tatawaffahum (تَتَوَفّاهُمُ) kerana terdapat pengulangan dua huruf yang sama dengan baris yang sama, iaitu huruf Ta’ (تَ) pada permulaannya. Apabila situasi seperti ini berlaku, salah satu huruf Ta’ ini akan dihilangkan di sisi ulama Kufah dan juga Basrah, atas alasan kesukaran untuk dilafazkan oleh penutur Arab. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 11/195; al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/174; al-Insaf fi Masa’il al-Khilaf Baina al-Nahwiyyin wa al-Basriyyin wa al-Kufiyyin, 2/534)

Oleh sebab yang demikian, kita dapati dalam ayat lain, Allah SWT berfirman dengan mengekalkan kedua-dua huruf Ta’ (تَ) tersebut:

ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ ۖ

Maksudkan: “(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya).”

(Surah al-Nahl: 28)

Kata Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur, kata kerja (تَتَوَفَّىٰهُمُ) itu disertai dengan huruf Ta’ (تَ) yang menunjukkan fi‘il mudhari‘ tersebut bersifat mu’annath, kerana ia disandarkan kepada jama‘ taksir. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 14/139)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penerangan ringkas di atas, jelas bahawa lafaz mala’ikah (المَلَائِكَةُ) itu adalah kata majmuk bagi sebuah kata nama malak (المَلَكُ) yang bersifat muzakkar (maskulin). Adapun kata kerja  (تَتَوَفَّىٰهُمُ) yang ditulis dengan hukum mu’annath, kerana ia disandarkan kepada kata majmuk yang telah terpecah binaan kata tunggalnya.

Semoga penulisan ini dapat memberikan kefahaman dan manfaat kepada kita, seterusnya dapat menambahkan lagi minat untuk mentadabbur al-Quran dengan lebih mendalam. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply