Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seorang yang benar-benar bertawakkal untuk membayar hutang akan diperkenankan oleh Allah dalam melaksanakannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya dan benar sama sekali. Tetapi ia hendaklah dengan kesungguhan untuk melangsaikan hutang yang dipenuhi dengan rasa takwa dan tawakkal. Benarlah firman Allah SWT:

 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 3-4)

Berkenaan persoalan di atas juga, kami katakan terdapat sebuah kisah menarik yang dipetik daripada Sahih al-Bukhari, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya: Bahawa Rasulullah SAW pernah menceritakan:

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ

Maksudnya: “Terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil. Orang yang meminjamkan berkata, “Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksinya.” Orang yang meminjamkan berkata lagi, “Datangkanlah seorang penjamin.” Peminjam berkata, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Orang yang meminjamkan berkata, “Kamu benar.”

Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya. Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya. Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.

Dia berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela. Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.” Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.

Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa wang yang dihutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.

Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, “Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.” Orang yang meminjamkan berkata, “Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata, “Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?” Orang yang meminjamkan berkata, “Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.”

Riwayat al-Bukhari (2291)

Kami tegaskan di sini bahawa sesiapa yang ingin berniat untuk membayar hutang pasti ditolong oleh Allah. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ: الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ، وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

Maksudnya: “Tiga golongan yang menjadi hak Allah untuk diberikan pertolongan: Seorang mujahid yang berjuang di jalan Allah, seorang hamba yang berusaha membebaskan diri dengan melangsaikan hutangnya, dan seorang lelaki yang ingin berkahwin untuk menjaga maruahnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1655), al-Nasa’ie (3218), Ibn Majah (2518) dan Ahmad (7410). Isnadnya hasan seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Zad al-Ma’ad (3/77).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply