Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan dengan ulama yang berpendapat zakat perhiasan tidak wajib dan apakah hujah mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, persoalan ini adalah antara perkara yang sering diperselisihkan oleh para ulama sejak zaman sahabat dan seterusnya. Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah ﷺ menunjukkan bahawa segala perselisihan harus dikembalikan kepada sumbernya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya ﷺ. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: “Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, di mana ketika menjelaskan berkenaan antara ulama’ yang tidak mewajibkan zakat ke atas perhiasan, menyatakan seperti berikut:

Ibn Hazm menyebutkan di dalam kitabnya Al-Muhalla: Jabir bin ‘Abdullah dan Ibn Umar berkata: “Tidak dikenakan zakat pada barang perhiasan. Ini merupakan pandangan Asma binti Abu Bakar r.a, dan diriwayatkan secara sahih daripada Sayidatina Aisyah r.a. Ia merupakan pandangan al-Sya’bi, ‘Umrah binti Abdul Rahman, Abu Ja’afar Muhammad bin Ali, dan diriwayatkan juga dari Tawus, al-Hasan, dan Sa’id bin Musayyib. Walau bagaimanapun ianya berselisihan dengan pandangan Sufyan al-Thauri yang mengatakan dalam satu pandangan bahawa diwajibkan zakat bagi barangan perhiasan, tetapi dalam pandangan yang lain pula dikatakan tidak ada zakat padanya. (Lihat al-Muhalla, hlm. 176)

Ini juga merupakan pendapat Al-Qasim bin Muhammad, anak saudara ‘Aisyah, juga Imam Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, dan ia adalah yang terkuat di antara dua pandangan Imam Syafie seperti yang disebutkan oleh Al-Khattabi. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 3/176) Ia juga merupakan pandangan Abu ‘Ubaid yang akan diterangkan kemudian.

Hujah Pandangan Ini

Hujah-hujah yang diambil kira oleh golongan ini dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, seseorang itu pada asalnya bebas daripada tanggungjawab hukum syarak selagimana tiada dalil syarak yang sahih yang mensabitkan tanggungjawab baginya. Dalam hal ini, tidak ada dalil yang mewajibkan zakat barang perhiasan, sama ada daripada nas mahupun qias.

Kedua, zakat hanya diwajibkan pada harta yang berkembang atau yang mampu dikembangkan, dan barang perhiasan tidak memenuhi ciri-ciri ini. Hal ini kerana setelah emas atau perak diproses dan dibentuk sebagai perhiasan lalu dipakai dan dimanfaatkan, maka ia tidak lagi berkembang. Oleh itu, tidak diwajibkan zakat bagi barang perhiasan. Perkara ini sama dengan apa yang kita nyatakan terhadap zakat unta dan lembu yang terlibat dalam aktiviti penyiraman dan pembajakan. Ini menyebabkan mereka terkeluar daripada elemen pengembangan, maka gugur kewajipan zakat.

Ketiga, hujah ini disokong oleh beberapa orang sahabat yang mengatakan bahawa tidak wajib mengeluarkan zakat ke atas perhiasan. Imam Malik meriwayatkan dalam Kitab al- Muwatta daripada Qasim bin Muhammad (Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar bin Ibn Akhi Aisyah yang merupakan salah seorang daripada tujuh fuqaha Madinah) bahawa:

أَنَّ عَائِشَةَ زَوْجُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ تَلِيَ بَنَاتَ أَخِيْهَا يَتَامَى فِي حُجْرِهَا لَهُنَّ الْحُلِيِّ ، فَلَا تُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاةَ.

Maksudnya: “Aisyah isteri Nabi SAW memelihara anak saudara perempuannya yang yatim dalam keadaan mereka memakai perhiasan. Beliau tidak mengeluarkan zakat daripada perhiasan mereka.” (Lihat al-Muwatta’, 1/250)

Diriwayatkan daripada Nafi’ bahawa ‘Abdullah bin Umar ra pernah memakaikan anak perempuannya dan hamba-hambanya perhiasan emas dan kemudian dia tidak mengeluarkan daripadanya zakat.

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Qasim: dahulunya wang kami disimpan di sisi Aisyah, dan ia mengeluarkan zakatnya, kecuali barang perhiasan. Daripada ‘Amrah pula, dia berkata: dahulunya kami merupakan anak-anak yatim dibawah penjagaan Aisyah. Kami memiliki perhiasan, dan Aisyah tidak menunaikan zakatnya.

Ibn Abi Syaibah, Abu ‘Ubaid dan lain-lain telah meriwayatkan perkara yang sama daripada Jabir bin Abdillah dan Asma binti Abu Bakar, di samping riwayat Aisyah dan Ibn Umar. (Lihat al-Musannaf, 4/28; al-Amwal, hlm. 443)

Daripada Abu Zubair dan dari Jabir, dia berkata: tidak ada zakat pada perhiasan. Aku berkata, harga perhiasan itu ialah 1000 dinar, lalu dia berkata ia dipinjam dan dipakaikan, manakala menurut satu riwayat menyatakan ia terlalu banyak. Daripada Asma’, bahawa dia tidak mengeluarkan zakat ke atas perhiasan. Kata Imam Syafie: “diriwayatkan daripada Ibn Abbas dan Anas bin Malik (dan aku tidak tahu riwayat yang lebih kuat daripadanya) pandangan mereka dengan makna: tidak diwajibkan zakat pada barang perhiasan. (Lihat al-Umm, 2/41)

Al-Qadhi Abu Al-Walid Al-Baji menyebutkan di dalam syarahan Al-Muwatta: Inilah mazhab yang paling kuat dalam kalangan sahabat, dan yang paling mengetahui dalam masalah ini ialah Aisyah karana dia merupakan isteri Rasulullah SAW yang tentunya cakna tentang masalah ini.

Begitu juga ‘Abdullah bin Umar ra meriwayatkan saudara perempuannya yang bernama Hafsah adalah isteri Nabi SAW tentang persoalan perhiasannya sudah tentu tidak terlepas daripada penglihatan Nabi SAW dan juga tidak tersembunyi hukumnya. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 2/107)

Bukti yang menunjukkan bahawa pandangan ini tersebar dalam kalangan sahabat dan tabiin adalah apa yang disebutkan oleh Yahya bin Sa’id: Aku menanyakan ‘Amrah tentang zakat barang perhiasan, maka dia menjawab: aku tidak pernah melihat seorang pun menunaikan zakatnya. (Lihat al-Musannaf, 4/28; al-Amwal, hlm. 442)

Daripada Al-Hasan, dia berkata: kami tidak mengetahui seorang pun dalam kalangan khalifah yang mengatakan hukum zakat barang perhiasan adalah wajib.

Keempat, Ibn Al-Jauzi meriwayatkan di dalam Al-Tahqiq dengan sanadnya daripada ‘Afiyah bin Ayyub daripada Al-Laith bin Sa’d daripada Abi Al-Zubair daripada Jabir daripada Nabi SAW, baginda bersabda: tidak ada zakat bagi perhiasan.

Kata Al-Baihaqi, ‘Afiyah adalah perawi majhul, manakala Ibn Al-Jauzi berkata: kami tidak mengetahui sebarang kecacatan padanya. Sheikh Taqiyyuddin Ibn Daqiq Al-‘Eid menyebutkan: Aku melihat tulisan guruku al-Mundziri yang mengatakan: Tiada sebarang fakta yang aku temui yang memestikan untuk menghukum dhaif terhadap periwayatan ‘Afiyah bin Ayyub.

Kelima, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَلَوْ مِنْ حُليِّكُنَّ.

Maksudnya: “Wahai para wanita, sedekahkanlah walaupun dari perhiasanmu.”

Riwayat Bukhari (1466)

Ia diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmizi dan selainnya. Kata Ibn al-‘Arabi: hadis ini secara zahirnya menafikan kewajipan zakat pada barang perhiasan berdasarkan sabda nabi ‘bersedekahlah walau daripada barang perhiasanmu’, kerana jika ianya wajib, maka tentulah Nabi tidak menyebutnya sebagai contoh dalam hadis yang menggalakkan sedekah sunat. (Lihat Syarh al-Tirmizi, 3/130) Maksudnya, jika dikatakan: “sedekahlah walau daripada unta yang digembala atau hasil pertanian seperti gandum atau tamar,” pasti ia tidak tepat kerana ia merupakan barang- barang yang difardukan zakat. Lebih tepat jika dikatakan sedekahlah walau daripada susu lembumu, atau daripada makanan dan bekalanmu dan yang sejenis dengannya yang tidak difardukan zakat padanya. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/262 – 264)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply