Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Muqaddimah Sahih Muslim merupakan sebahagian daripada Sahih Muslim, atau ia berasingan daripadanya? Adakah penulis menulis muqaddimah ini secara berasingan, atau sebagai sebahagian daripada kitab tersebut? Apakah kandungan muqaddimah ini? Adakah ia dikenali sebagai muqaddimah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertama sekali, apa yang dikenali sebagai “Muqaddimah Sahih Muslim” merujuk kepada lembaran yang ditulis oleh Imam Muslim pada permulaan kitab “Sahih“-nya sebelum memulakan susunan hadith-hadith dalam kitab tersebut, dan bilangan halaman dalam naskhah cetakan adalah sekitar 30 muka surat.
Beliau tidak memberikan nama khusus kepadanya, sebaliknya memulakan muqaddimah tanpa tajuk, dengan menyatakan:
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ. وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى مُحَمَّدٍ خَاتَمِ النَّبِيِّينَ. وَعَلَى جَمِيعِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ. أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّكَ، يَرْحَمُكَ اللَّهُ بِتَوْفِيقِ خَالِقِكَ، ذَكَرْتَ أَنَّكَ هَمَمْتَ بِالْفَحْصِ (١). عَنْ تَعَرُّفِ جُمْلَةِ الأَخْبَارِ الْمَأْثُورَةِ . عَنِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فِي سُنَنِ الدِّينِ وَأَحْكَامِهِ. وَمَا كَانَ مِنْهَا فِي الثَّوَابِ وَالْعِقَابِ، وَالتَّرْغِيبِ وَالتَّرْهِيبِ، وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ صُنُوفِ الأَشْيَاءِ. بِالأَسَانِيدِ الَّتِي بِهَا نُقِلَتْ، وَتَدَاوَلَهَا أَهْلُ الْعِلْمِ فِيمَا بَيْنَهُمْ…
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, dan akhir yang baik bagi orang-orang bertakwa. Semoga Allah mencurahkan selawat kepada Nabi Muhammad, penutup para nabi, dan kepada seluruh nabi serta rasul.
Amma ba‘du, sesungguhnya engkau – semoga Allah merahmati engkau dengan taufik-Nya – telah menyatakan bahawa engkau berminat untuk meneliti hadith-hadith yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dalam urusan agama dan hukumnya, apa yang berkenaan dengan ganjaran dan hukuman, galakan dan ancaman, serta pelbagai perkara lain yang disampaikan dengan sanad-sanadnya, yang dijadikan rujukan oleh para ulama di antara mereka…” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, hlm. 2).
Namun, para ulama telah membiasakan untuk menamakan lembaran ini sebagai “al-Muqaddimah“, dan sebahagian daripada mereka menyebutnya sebagai “Khutbah al-Kitab“.
Kandungan muqaddimah ini merangkumi perkara-perkara berikut:
- Menyatakan sebab penulisan kitab Sahih Muslim.
- Menyatakan topik kitab Sahih Muslim.
- Menjelaskan metodologi beliau dalam kitab Sahih Muslim.
- Membincangkan beberapa isu dalam ilmu hadith yang perlu diketahui oleh pembaca kitab Sahih Muslim.
Adakah Muqaddimah Imam Muslim termasuk dalam kitabnya, Sahih Muslim?
Dari sudut riwayat dan penulisannya, muqaddimah ini tidak terpisah daripada kitab Sahih Muslim, kerana ia telah diriwayatkan, disalin, dan dicetak bersama dalam kitab tersebut. Ia tidak pernah diriwayatkan secara terpisah, maka ia sama seperti mana-mana muqaddimah atau khutbah pengenalan untuk sesebuah kitab.
Namun, dari sudut topik dan kandungannya, muqaddimah ini bukan sebahagian daripada kitab Sahih-nya, kerana ia hanyalah muqaddimah dan pengenalan sahaja kepada kitab tersebut.
Ini dapat difahami daripada tindakan Imam Muslim, apabila beliau berkata setelah selesai menulis muqaddimah:
“بِعَوْنِ اللهِ نَبْتَدِئُ، وَإِيَّاهُ نَسْتَكْفِي، وَمَا تَوْفِيقُنَا إِلَّا بِاللهِ جَلَّ جَلَالُه”
“Dengan pertolongan Allah kita mulakan, dan kepada-Nya kita memohon kecukupan, serta tiada taufiq bagi kita kecuali dengan Allah, Yang Maha Tinggi.” (Lihat Sahih Muslim, 1/28).
Selepas itu, beliau mula menyebutkan hadith-hadith dalam kitabnya.
Para ulama telah memahami perbezaan antara Muqaddimah Sahih Muslim dan juga Sahih Muslim. Jika mereka merujuk kepada hadith yang disebut Imam Muslim dalam al-Muqaddimah, mereka biasanya tidak akan mengatakan bahawa hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih-nya, sebaliknya mereka menyatakan ia diriwayatkan dalam Muqaddimah Sahih Muslim. Ini dapat dilihat daripada penulisan al-Mizzi dalam kitabnya Tuhfah al-Asyraf, dan selainnya daripada kalangan ahli ilmu.
Perbezaan ini jelas melalui kata-kata al-Mizzi dalam muqaddimah kitabnya Tuhfah al-Asyraf bi Ma’rifah al-Atraf:
“… Amma ba’du: Saya berazam untuk menghimpunkan dalam kitab ini, Insya-Allah, riwayat-riwayat daripada enam kitab yang menjadi rujukan utama umat Islam dan asas kebanyakan hukum, iaitu: Kitab Sahih Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih Muslim bin al-Hajjaj an-Naisaburi, Sunan Abu Dawud as-Sijistani, Jami’ Abu Isa at-Tirmizi, Sunan Abu ‘Abd al-Rahman an-Nasa’i, dan Sunan Abu Abdullah bin Majah al-Qazwini, dan yang seumpamanya seperti: Muqaddimah kitab Muslim…” (Lihat Tuhfah al-Asyraf, 1/3-4).
Begitu juga, mereka membezakan antara para perawi yang terdapat dalam muqaddimah dan para perawi yang Imam Muslim sebutkan hadithnya dalam isi kitab Sahih-nya.
Perawi yang hanya disebut Imam Muslim dalam muqaddimah, akan digambarkan sebagai perawi Muslim dalam al-Muqaddimah sahaja. Ini seperti yang dijelaskan oleh al-Mizzi dalam kitabnya Tahzib al-Kamal, di mana beliau menyatakan dalam muqaddimah kitabnya tentang simbol-simbol yang digunakannya:
“Tanda untuk hadith yang dikeluarkan Muslim dalam Sahih-nya: (م), dan tanda untuk yang dikeluarkan dalam Muqaddimah kitabnya (Muqaddimah Sahih Muslim): (مق)” (Lihat Tahzib al-Kamal, 1/149).
Begitu juga yang dilakukan oleh penulis-penulis kitab selepasnya dalam penulisan biografi perawi.
Ibn al-Qayyim berkata: “… Adapun pendapat kamu bahawa Imam Muslim meriwayatkan untuk Sufyan bin Husain dalam Sahih-nya, itu tidak seperti yang kamu sebutkan. Sebenarnya, beliau meriwayatkan untuknya dalam muqaddimah kitabnya, iaitu Muqaddimah Sahih Muslim. Imam Muslim tidak menetapkan syarat kesahihan yang sama di dalam muqaddimah seperti yang ditetapkan dalam kitabnya, maka ia berbeza dengan isi kitabnya. Ahli hadith tidak meragui perkara ini.” (Lihat al-Furusiyyah al-Muhammadiyyah, 1/183).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa muqaddimah dalam Sahih Muslim tidak dianggap sebagai sebahagian daripada kitab Sahih Muslim dari segi kandungan atau status kesahihannya. Walaupun muqaddimah ini dicetak dan disalin bersama Sahih Muslim serta tidak pernah diriwayatkan secara terpisah, para ulama membezakan muqaddimah ini daripada teks utama kitabSahih Muslim.
Hal ini kerana, Imam Muslim tidak meletakkan syarat yang sama untuk kesahihan hadith dalam muqaddimah berbanding yang beliau letakkan dalam Sahih Muslim itu sendiri. Oleh itu, hadith dalam muqaddimah tersebut tidak dirujuk sebagai hadith Sahih Muslim tetapi sebagai hadith dalam “Muqaddimah Sahih Muslim.” Secara ringkasnya, muqaddimah berfungsi sebagai pengenalan atau pembukaan kepada kitab Sahih Muslim dan syarat penulisannya tidak sama dengan kitab Sahih Muslim, manakala Sahih Muslim pula merujuk kepada pengumpulan hadith utama yang memenuhi syarat kesahihan yang ketat yang ditetapkan oleh Imam Muslim.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”