Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya amat keliru, ada setengah orang kata orang bersyukur lebih afdhal dan ada setengah lain pula kata, orang yang bersabar lebih afdhal. Sebenarnya yang mana lebih tepat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan pandangan Imam al-Ghazali seraya berkata:

Jika engkau bertanya: Lebih utama yang mana, orang yang bersyukur atau orang yang bersabar?

Ketahuilah, ada yang berpendapat bahawa orang yang bersyukur itu lebih utama. Ini berdasarkan dalil firman Allah SWT:

وَقَلِيْلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya: “Dan sedikit sahaja dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih (bersyukur).”

(Surah Saba’: 13)

Maksudnya adalah, sedikit sahaja di antara hamba-hamba-Ku yang memurnikan tauhid kepada-Ku, mengikhlaskan ketaatan kepada-Ku, dan bersyukur terhadap nikmat-Ku kepada mereka. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/320)

Dia menempatkan orang yang bersyukur sebagai orang-orang yang lebih khusus daripada yang khusus.

Dia berfirman ketika memuji Nabi Nuh A.S:

إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Ia adalah seorang hamba yang bersyukur.”

 (Surah al-Isra’: 3)

Maksudnya adalah, Nuh adalah hamba yang banyak bersyukur kepada Allah atas nikmat- nikmat-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/447)

Demikian pula dengan apa yang pernah dimohon oleh Nabi Ibrahim A.S, seperti yang diceritakan dalam firman Allah SWT:

 شَاكِرًا لِّأَنْعُمِهِ

Maksudnya: “Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah..”

(Surah al-Nahl: 121)

Maksudnya adalah, Ibrahim mengikhlaskan dan memurnikan rasa syukur atas nikmat-Nya hanya untuk Allah. Dia tidak menjadikan bagi-Nya sekutu dari tuhan-tuhan dan tandingan-tandingan dalam mensyukuri nikmat-nikmat-Nya, seperti yang dilakukan orang-orang musyrik Quraisy. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/365)

Dan kerana syukur itu berada pada tahap nikmat dan keselamatan (afiyah), maka ada yang mengatakan, “Kalau aku diberi nikmat, kemudian aku bersyukur, maka hal itu lebih aku sukai daripada diuji kemudian bersabar.”

Tetapi ada pula yang berpendapat bahawa sabar itu lebih utama, kerana lebih berat untuk dihadapai. Bahkan, pahalanya juga lebih besar dan lebih tinggi kedudukannya. Ini disandarkan pada firman Allah:

إِنَّا وَجَدۡنَاهُ صَابِرًا ۚ نِّعْمَ الْعَبْدُ ۖ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba.”

(Surah Sad: 44)

Maksudnya, sesungguhnya Kami mendapati Ayyub sebagai orang yang sabar terhadap musibah. Ujian tidak mendorongnya untuk meninggalkan ketaatan terhadap Allah dan berbuat maksiat kepada-Nya. Sesungguhnya Ayyub sangat bersungguh-sungguh untuk mentaati Allah dan sentiasa kembali kepada redha Allah. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/183)

Firman-Nya dalam surah yang lain:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

(Surah al-Zumar: 10)

Maksudnya, Allah akan memberikan balasan di akhirat kelak kepada orang-orang yang bersabar terhadap apa yang mereka hadapi di dunia, ‘بِغَيْرِ حِسَابٍ’, “pahala mereka tanpa batas.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/303)

Allah SWT juga berfirman:

وَاللهُ يُحِبُّ الصَّابِرِيْنَ

Maksudnya: “Allah menyukai orang-orang yang sabar.”

(Surah Ali ‘Imran: 146)

Yakni, Allah SWT mencintai mereka dan yang semisal, dari kalangan orang-orang yang bersabar menunaikan perintah Allah SAW dan Rasul-Nya, dalam berjihad memerangi musuh-musuh-Nya, bukan orang yang lari dari musuh mereka dan kembali ke belakang dengan hina hanya kerana nabi mereka terbunuh, juga bukan orang yang lemah kerana kematian nabi mereka. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/10)

Imam al-Ghazali berkata: Aku katakan di sini: Orang yang bersyukur itu pada hakikatnya orang yang bersabar. Dan sebaliknya, orang yang bersabar itu pada hakikatnya juga orang yang bersyukur. Hal ini kerana, orang yang bersyukur di medan ujian tidak terlepas dari ujian yang ia bersabar terhadapnya dan tidak larut dalam kesedihan kerana syukur itu adalah mengagungkan Allah SWT dalam batas yang mencegahnya dari menderhaka terhadap-Nya. Sedangkan kesedihan yang berlarutan adalah suatu bentuk kederhakaan (maksiat). Dan orang yang bersabar tidak terlepas daripada nikmat, seperti yang telah kami sebutkan. Kesusahan-kesusahan itu pada hakikatnya merupakan nikmat, sesuai pengertian yang disebutkan di atas. Maka, pada hakikatnya bila mana seorang hamba itu bersabar terhadap ujian yang menimpanya, maka itu merupakan perwujudan daripada rasa syukur. Ini kerana, ia menahan hatinya daripada kesedihan yang mendalam, dengan cara mengagungkan Allah SWT. Pengagungan kepada Allah SWT itu juga mencegah dirinya daripada berbuat derhaka kepada-Nya.

Orang yang bersyukur itu juga mencegah dirinya daripada kekufuran, sehingga ia mampu bersabar untuk tidak melakukan maksiat, serta bersabar dalam ketaatan. Maka, pada hakikatnya ia pun menjadi orang yang bersabar. Orang yang bersabar itu dihormati oleh Allah SWT, dan penghormatan oleh-Nya itu mencegah ia daripada kesedihan yang mendalam ketika ditimpa musibah. Dan itu membawanya untuk bersabar. Dengan demikian, ia telah bersyukur kepada Allah SWT, sehingga secara hakikat ia menjadi orang yang bersyukur.

Dan taufiq serta perlindungan yang diberikan terhadap orang yang bersabar itu adalah suatu nikmat yang sangat disyukuri oleh orang yang bersabar. Sehinggakan, salah satu dari keduanya tidak terlepas dari yang lainnya kerana pencerahan yang membangkitkan kedua-duanya adalah satu, yakni pencerahan berupa istiqamah. Demikian, menurut perkataan sebahagian ulama kami.

Maka kami katakan, salah satunya tidak dapat dilepaskan dari yang lainnya. Jadi, pahamilah hal ini. Semoga Allah SWT memberikan taufiq. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 342-343)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Leave a Reply