Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sekiranya kita ada hutang, dalam masa sama kita ingin pergi umrah? Hutang memang setiap bulan kita bayar. Kita perlu selesaikan hutang bagi habis dahulu atau boleh sahaja pergi umrah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaaan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

Dalam isu ini kami berpandangan bahawa wajib ke atas setiap Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup mereka.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum melaksanakan ibadah umrah adalah dibolehkan dan diharuskan, walaupun hutang ptptn masih lagi belum dilangsaikan. Hal ini kerana jenis hutang ini terdapat dua jenis, iaitu Hutang yang perlu dilangsai segera dan hutang bertangguh.

Imam al-Nawawi berkata: Jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang sukar kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki sesuatu yang dituntutnya. Ketika itu, ia harus bermusafir tanpa izinnya. Begitu juga jika hutang itu bersifat bertangguh malah boleh ia bermusafir tanpa menjelaskannya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya. (Lihat al-Idhah, hlm. 18).

Kaedah mengatakan:

الجمْعُ بَيْنَ المَصْلَحَتَيْنِ أوْلى من إِبْطَالِ إِحْدَاهُما

Maksudnya: Menggabungkan perlaksanaan dua maslahah itu lebih utama daripada membatalkan salah satu daripada keduanya.

Namun begitu, pelaksanaan ibadah umrah yang ingin dilakukan mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit yang telah ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah umrah. Justeru, sesiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya, maka dia tidak boleh meneruskan untuk menunaikan umrah.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah haji ataupun umrah. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah syarat untuk dia menunaikannya disebabkan kekurangannya. Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk menguruskan hutang dan kewangannya dengan baik, serta pendapatannya stabil, maka diharuskan baginya untuk melaksanakan umrah ataupun haji. Walaubagaimanapun cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin mampu untuk menguruskan kewangannya dengan sangat baik sekembalinya dari Tanah Suci. Oleh itu, sekiranya anda mampu untuk melunaskan hutang setiap bulan dengan baik dan setelah pergi umrah juga dapat memberi komitmen yang stabil, maka harus untuk anda pergi menunaikan umrah. Hal ini kerana hutang itu hukumnya wajib untuk dibayar.

Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada hutang yang membelenggu hidup kita dan mampu untuk kita selesaikannya dengan secepat mungkin. Amin.

Kami titipkan di sini untuk kita lazimi doa yang Nabi SAW suruh kepada sahabatnya yang ditimpa dengan bebanan hutang iaitu Abu Umamah al-Bahili. Antara doanya ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Dawud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Wallahua`lam.

Leave a Reply