Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah di sana terdapatnya zikir khusus selepas solat sunat subuh?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Berzikir dan berdoa selepas Solat Fardu merupakan suatu amalan sunnah yang dituntut. Amalan ini diisyaratkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla di dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ (7) وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب
Maksudnya: “Dan apabila kamu selesai melaksanakan apa-apa sahaja urusan dunia, maka mulailah beribadah. Dan serahkan dirimu kepada Tuhanmu.”
(Surah al-Syarh: 7-8)
Ayat di atas ini merupakan dalil bagi pensyariatan berdoa serta berzikir kepada Allah SWT setiap kali setelah selesai melaksanakan solat-solat fardhu. Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan menerusi sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa beliau menafsirkan ayat di atas sebagai maksudnya adalah, apabila kamu telah selesai melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas kamu; maka mintalah kepada Allah; tumpukanlah sepenuh perhatian kepada-Nya dan tunduk penuh perhatian kepada-Nya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 24/497)
Sepertimana yang kita sedia maklumi, zikir-zikir dan doa-doa Nabi SAW selepas solat-solat Fardhu adalah merangkumi zikir-zikir dan lafaz-lafaz puja dan puji kepada Allah SWT sebagai sebuah adab sebelum memohon sebarang hajat permintaan kepada-Nya. Pokoknya, doa kepada Allah SWT itu seiring dengan zikir pujian ke hadrat-Nya.
Waktu selepas Solat Subuh adalah waktu Siang yang paling afdhal untuk berzikir. Imam Muhyiddin al-Nawawi berkata sedemikian:
اِعْلَمْ أَنَّ أَشْرَفَ أَوْقَاتِ الذِّكْرِ فِي النَّهَارِ، الذِّكْرُ بَعْدَ صَلَاةِ الصُّبْحِ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa waktu yang paling mulia untuk berzikir pada waktu siang; adalah berzikir pada waktu selepas Subuh.” (Lihat al-Azkar, hlm. 74)
Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:
وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِها
Maksudnya: “Dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya.”
(Surah Taha: 130)
Berhubung soalan di atas, kami bawakan zikir khusus selepas Solat Subuh bersumberkan daripada Imam Ibn Hajar al-Haitami daripada kitab al-I‘ab Syarh al-‘Ubab al-Muhit li Nusus al-Syafi‘i wa al-Ashab (1/346) dan juga Hilyah al-Abrar wa Syi‘ar al-Akhyar fi al-Talkhis al-Da‘awat wa al-Azkar oleh Imam al-Nawawi (hlm. 75-76); bahawa zikir-zikir khusus selepas Subuh adalah seperti berikut:
- Mengucapkan sepuluh kali Kalimah Tauhid dengan bentuk lafaz seperti ini:
لَا إِلَهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Tiada Tuhan yang benar selain Allah, satu-satunya Dia sahaja, tiada sekutu bagi-Nya. Hanya Milik-Nya Kerajaan, hanya bagi-Nya segala puji. Dia Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan. Dan Dia Maha Berkuasa melaksanakan segala sesuatu.” (10 kali)
Riwayat al-Tirmizi (3474); dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami‘ (5/461)
Zikir Kalimah Tauhid ini juga dibaca dengan bilangan yang sama selepas Solat Maghrib. Keutamaannya adalah sepertimana yang Rasulullah SAW jelaskan iaitu:
- Ditinggikan martabat sebanyak sepuluh kali ganda darjat,
- Dilindungi daripada segala keburukan,
- Dipelihara daripada syaitan,
- Dipelihara daripada melakukan dosa pada hari tersebut.
Ia perlu dibaca sebelum seseorang bercakap urusan duniawi dengan orang lain, dan dalam keadaan masih duduk bersimpuh secara tawarruk (duduk tahiyat akhir), tanpa mengubah posisi.
- Mengucapkan tujuh kali Doa Memohon Perlindungan Daripada Api Neraka seperti ini:
اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah diriku daripada api neraka.” (7 kali)
Riwayat Abu Daud (5079); dinilai soleh oleh Imam Abu Daud dalam al-Sunan (4/320) kerana beliau mendiamkannya, dinilai dha‘if oleh Syeikh al-Albani, dan dinilai hasan oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam tahqiq al-Azkar (75)
Zikir Doa Mohon Jauh Daripada Api Neraka ini juga dibaca dengan bilangan yang sama selepas Solat Maghrib sepertimana yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Daud di atas.
- Mengucapkan Doa Khusus Selepas Solat Subuh seperti di bawah:
اللَّهُمَّ بِكَ أُحَاوِلُ، وَبِكَ أُصَاوِلُ، وَبِكَ أُقَاتِلُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً، وَرِزْقاً طَيِّباً
Maksudnya: “Ya Allah, kerana-Mu aku berusaha, kerana-Mu aku berjuang, kerana-Mu aku berlawan. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu; kurniakanlah daku ilmu yang bermanfaat, amal yang diterima serta rezeki yang baik.”
Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (117); al-Darimi dalam al-Musnad (2485); al-Syasyi dalam al-Musnad (992); Ibn Jarir al-Tabari dalam Tahzib al-Athar (153) dinilai sahih sebagai doa bacaan Nabi SAW ketika Perang Hunain oleh Syeikh al-Albani dalam al-Ta‘liqat al-Hisan (7/137), Syeikh Hussain Asad menilainya sahih dalam tahqiq Musnad al-Darimi (3/85)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَ عَلَيَّ شِقْوَةً أَوْ ذَنْبًا فَامْحُهُ، فَإِنَّكَ تَمْحُو مَا تَشَاءُ وَتُثْبِتُ، وَعِنْدَكَ أُمُّ الْكِتَابِ، فَاجْعَلْهُ سَعَادَةً وَمَغْفِرَةً
Maksudnya: “Ya Allah, sekiranya Engkau telah tetapkan aku sebagai celaka atau akan melakukan dosa, maka padamlah ketentuan itu. Sesungguhnya Engkau yang berhak memadam dan mengekalkan segala perkara, dan sisi-Mu jualah Umm al-Kitab itu. Maka, jadikanlah aku tertulis di dalamnya sebagai bahagia dan beroleh keampunan.”
Wallahu a‘lam.