Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seorang sepupu (perempuan yang sudah berkahwin) berchat dengan suami orang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Mendekati zina itu adalah segala perbuatan yang mendorong ke arahnya. Perbualan dalam keadaan berdua-duaan merupakan salah satu mukadimah zina. Allah SWT melarang tegas dan keras perbuatan tersebut. Allah SWT berfirman dalam Muhkam al-Tanzil:

وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا

Maksudnya: “Dan janganlah kalian mendekati Zina, sesungguhnya ia merupakan seburuk-buruk perbuatan dan sekeji-keji jalan.”

(Surah al-Isra’: 32)

Imam al-Baidhawi berkata ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ayat “وَلا تَقْرَبُوا الزِّنا” (Janganlah kalian mendekati zina) yakni dengan keazaman atau melakukan perkara-perkara yang membawa kepada zina, apatah lagi melakukannya secara langsung. Sebabnya ada dinyatakan dalam ayat berikutnya: “إنَّهُ كانَ فاحِشَةً” iaitu satu perbuatan yang jelas keburukannya dan sangat keji. Begitu juga ayat: “وَساءَ سَبِيلا” iaitu jalan yang paling buruk, kerana ia melibatkan paksaan terhadap kehormatan, membawa kepada pemutusan nasab, dan mencetuskan fitnah. (Lihat Anwar al-Tanzil, 3/254).

Berhubung soalan yang saudara ajukan kepada kami ini, hukum berbual antara lelaki dengan wanita secara berdua-duaan sama ada secara realiti bersemuka atau atas talian (online chatting) dengan sengaja tanpa sebarang keperluan mendesak yang diiktiraf di sisi Syariat adalah haram dan dilarang oleh syarak. Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: “Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.”

Riwayat al-Bukhari (3006) dan Muslim (1341)

Imam Muhyiddin al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas ini menyebutkan, apabila bersendirian seorang lelaki ajnabi dan seorang perempuan ajnabiyah tanpa adanya orang ketiga bersama keduanya maka keadaan tersebut (berdua-duaan) adalah haram menurut persepakatan para ulama.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/101).

Apatah lagi yang berdua-duaan itu sama-sama berstatus suami orang dan isteri orang. Maka, pasti lebih dahsyat lagi larangannya. Mengganggu rumahtangga orang lain dan menimbulkan masalah antara isteri dengan suaminya, atau suami dengan isterinya adalah merupakan dosa al-Takhbib (التَّخْبِيبُ) yang dicela di sisi Syariat Islam.

Mengganggu rumahtangga orang lain seperti menggangu isteri orang atau suami orang, menyebabkan keretakan dan kegoyahan rumahtangga mereka; adalah perbuatan dosa dan haram bahkan mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya. Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma dan Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ عَبْدًا عَلَى سَيِّدِهِ

Maksudnya: “Bukan dalam kalangan kami orang yang mengganggu rumahtangga seseorang isteri (mahupun suami) dengan pasangannya. Bukan dalam kalangan kami juga orang yang mengganggu hubungan hamba dengan tuan majikannya.”

Riwayat Abu Daud (2175); al-Nasa’i (9214); Ahmad (9157); dinilai soleh oleh Imam Abu Daud kerana beliau mendiamkan hadith ini dalam al-Sunan.

Imam Ibn Raslan al-Syafi‘i mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan, dikatakan (yakni terdapat pendapat), maknanya adalah bukan di atas petunjuk dan pedoman cara hidup kita dengan sempurna. Kemudian lafaz “مَنْ خَبَّبَ” iaitu dengan huruf kha’ yang dibariskan atas dan huruf ba’ yang pertama disyiddahkan]. Manakala lafaz “امْرَأَةً” dalam hadith di atas pula bermaksud menipunya dan merosakkan hubungannya (dengan suaminya). (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 9/562).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami tegaskan di sini bahawa wajib ke atas lelaki yang sudah bergelar suami, juga wajib ke atas wanita yang sudah bergelar isteri untuk memelihara maruah mereka serta menjaga batas pergaulan bersama individu berlainan jantina yang bukan mahramnya. Perbualan secara berdua-duaan tanpa sebarang keperluan wajib dielakkan.

Jika intipati perbualan berkisar semata tentang kerja dan keperluan mendesak di waktu yang benar-benar memerlukan, maka ia hanya dibolehkan dengan syarat-syarat berikut:

  • Hanya fokus kepada tujuan asal iaitu kerja dan keperluan mendesak.
  • Tidak melencong kepada topik-topik lekeh seperti hobi, privasi peribadi, hiburan dan seumpamanya.
  • Tidak menggunakan laras bahasa yang kurang sesuai, lebih lagi kata-kata berbaur lucah atau seumpamanya.
  • Tiada unsur mengganggu rumahtangga mana-mana pihak.

Jika menyelisihi salah satu daripada syarat di atas, maka hukum chatting tersebut adalah haram secara mutlak dan meruntuhkan maruah pelaku.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply