Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar, hutang yang dilakukan hendaklah direkodkan serta ditulis serta perlunya adanya penyaksian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘فَاكْتُبُوهُ’ (“hendaklah kamu menulisnya”), iaitu menulis hutang tersebut bersama tempoh bayarannya, kerana ini lebih mengelakkan perbalahan.” Firman Allah, ‘وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ’ (“Dan hendaklah seorang penulis dalam kalangan kamu menulisnya dengan adil.) Ini adalah perintah kepada pemberi hutang dan penerima hutang untuk memilih penulis yang tidak berat sebelah, sebaliknya penulis yang sentiasa mengutamakan kebenaran dan keadilan.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/223)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Allah memerintahkan pendokumentasian hutang piutang. Perkara ini menjadi wajib apabila seseorang hamba bertanggungjawab memelihara hak seperti perwalian. Contohnya, harta anak yatim, wakaf, perwakilan, dan amanah. Kadangkala hampir wajib apabila hak itu milik penuh seorang hamba. Kadangkala lebih cenderung kepada wajib dan kadangkala kepada sunat, bergantung kepada keadaan yang dituntut dalam situasi tersebut. Pada asasnya, pencatatan ini adalah alat yang paling penting dalam menjaga urusan-urusan muamalat yang tertunda kerana ia mudah terdedah kepada kelupaan dan kesilapan. Ia juga merupakan langkah pencegahan terhadap mereka yang tidak amanah dan tidak takut kepada Allah.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 271)

Ayat di atas membicarakan secara terperinci berkenaan dengan perintah mencatat hutang beserta syarat-syarat saksi iaitu dua orang lelaki yang adil atau seorang lelaki beserta dua orang perempuan.

Para ulama berbeza pandangan tentang perintah tersebut sama ada wajib ataupun sunat. Ibn Kathir menyimpulkan bahawa majoriti ulama menyatakan bahawa ini perintah sunat. Amalan menulis hutang amat berguna terutamanya apabila berlaku kematian kerana boleh menjadi bukti yang menjaga hak pemberi hutang. Selain mengelakkan golongan yang tidak bertanggungjawab, menipu dan mendakwa bahawa si mati berhutang dengannya.

Tulislah hutang, walaupun nilainya kecil dan hanya melibatkan ahli keluarga. Amalan ini bukan disebabkan ketidakpercayaan kepada penghutang, tetapi kerana mengejar pahala sunat yang digalakkan oleh Allah.

Begitu juga, boleh jadi seseorang itu tidak mengetahui ajal mautnya. Tetapi jika sekiranya terdapat padanya nota atau buku catatan hutang, maka mudahlah waris memperkirakannya dan membayar hutang tersebut kepada yang berhak menerimanya sebelum dibahagi pusaka tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply