Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami dalil orang bukan Islam tidak dikenakan zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para ulama Islam sepakat bahawa zakat hanya diwajibkan ke atas seorang Islam dewasa yang berakal, merdeka dan memiliki kekayaan dalam jumlah tertentu dengan syarat tertentu. Zakat diwajibkan berdasarkan ayat-ayat dan hadis-hadis sahih; yang kesemuanya menegaskan bahawa zakat itu hukumnya wajib. Perkara ini sudah diamalkan oleh generasi demi generasi. Sejarahnya dapat dijejaki berupa pendapat tentangnya dan pelaksanaannya dan dinyatakan oleh ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu, bagi orang yang telah lama mengenali Islam tetapi tidak menerima kewajipan zakat maka bererti orang itu telah kafir dan telah membuang Islam dari tanggungjawabnya.

Para ulama juga sependapat bahawa zakat tidak wajib ke atas bukan Muslim kerana zakat adalah rukun Islam yang paling utama. Oleh itu, orang kafir tidak mungkin diarahkan untuk melaksanakannya. Zakat juga bukanlah hutang yang harus dibayar setelah masuk Islam. Para ulama berpendapat demikian berdasarkan dari hadis Ibn Abbas yang terdapat di dalam kedua-dua kitab hadis sahih Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika mengutus Muaz ke Yaman, Baginda bersabda:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ، فَإِذَا عَرَفُوا اللَّهَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ، فَإِذَا فَعَلُوا، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ فَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً تُؤْخَذُ مِنْ أَمْوَالِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ، فَإِذَا أَطَاعُوا بِهَا، فَخُذْ مِنْهُمْ وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan mendatangi satu kaum Ahlu al-Kitab. Hendaklah perkara yang pertama sekali kamu dakwahkan kepada mereka adalah supaya mereka menyembah Allah (makrifat Allah). Setelah mereka telah mengenal Allah, maka beritahukanlah kepada mereka bahawasanya Allah mewajibkan solat lima waktu atas mereka sehari semalam. Setelah mereka telah menegakkan solat maka beritahukanlah kepada mereka bahawasanya Allah mewajibkan zakat yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberi kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka. Jika mereka mematuhinya maka ambillah daripada mereka, dan mengelakkan daripada kamu mengambil harta yang paling bernilai di sisi tuannya.”

Riwayat al-Bukhari (1458)

Menurut Imam al-Nawawi dan lain-lain, hadis ini menunjukkan bahawa ibadat zakat hanya diwajibkan di dunia setelah seseorang itu memeluk Islam, dan perkara ini disepakati.

Para ulama mengatakan bahawa oleh sebab zakat adalah salah satu rukun Islam, maka zakat adalah tidak wajib bagi orang kafir, sebagaimana solat dan puasa. Imam al-Syirazi mengemukakan hujah berdasarkan sepertimana yang diperakukan oleh Imam al-Nawawi dalam mazhab Syafie, iaitu zakat tidak dibebankan ke atas orang kafir asli, sama ada kafir yang memusuhi Islam (harbi) atau pun yang hidup di bawah naungan Islam (zimmi). Kedua-dua golongan ini tidak dikenakan kewajipan zakat semasa kafir. Mereka juga tidak perlu membayar zakat pada ketika mereka kafir dahulu apabila mereka memeluk Islam. (Lihat al-Majmu’, 5/327)

Apabila zakat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam, maka zakat itu juga tidak sah seandainya dibayar oleh orang kafir. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak memenuhi syarat pertama iaitu beragama Islam. Allah SWT berfirman:

 وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا

Maksudnya: Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

(Surah al-Furqan: 23)

Namun demikian, amal kebajikan itu akan meringankan azab mereka di akhirat kelak. Hukuman adalah tanda penghinaan sedangkan ganjaran adalah tanda penghargaan. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 70-71)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply