Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan secara ringkas sedikit pengenalan berkenaan anak-anak tiri Nabi SAW, iaitu anak-anak Khadijah R.Anha, hasil perkahwinannya yang terdahulu? Mengapa tiada apa-apa yang disebut dalam sirah tentang mereka? Adakah mereka memeluk Islam, atau mereka telah meninggal dunia, atau bagaimana? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas biodata Ummul Mukminin Khadijah R.Anha terlebih dahulu. Beliau ialah Ummul Mukminin Ummu al-Qasim Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurasyiyyah al-Asadiyyah. Beliau merupakan ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW, orang pertama beriman dengannya dan yang membenarkannya sebelum sesiapapun. Beliau juga ialah orang yang menenangkan Baginda ketika dalam ketakutan dan membawanya berjumpa sepupunya iaitu Waraqah. Di samping itu, kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Selain itu, beliau juga adalah salah seorang wanita yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah, dan termasuk dalam kalangan  ahli syurga. Bahkan Nabi SAW selalu memujinya, menyebut kelebihan dan kebaikannya berbanding Ummul Mukminin yang lain serta berlebihan dalam memuliakannya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/109-110).

Khadijah pada awalnya berkahwin dengan Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi, kemudian beliau berkahwin pula selepasnya dengan ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum, kemudian selepasnya beliau berkahwin pula dengan Nabi SAW. Beliau berkahwin dengan Nabi SAW ketika Baginda berumur 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu adalah 15 tahun lebih tua daripada Baginda SAW. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, hasil perkahwinannya dengan ‘Atiq bin ‘Abid, beliau telah dikurniakan seorang anak perempuan yang bernama Hindun. Manakala hasil perkahwinannya dengan Abu Halah al-Tamimi pula, beliau dikurniakan tiga orang anak; Hindun, Halah dan Tahir. Keempat-empat orang anaknya itu, mereka semuanya memeluk agama Islam dan mendapat kemuliaan sebagai seorang sahabat, serta telah disebut oleh para ulama dalam senarai para sahabat. Sebahagian mereka juga telah diberikan beberapa tugasan oleh Rasulullah SAW.

Adapun Hindun binti ‘Atiq, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, beliau ialah Hindun binti ‘Atiq bin ‘A’iz bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Ibunya ialah Khadijah, isteri Nabi SAW. Al-Daraqutni menyebutnya dalam kitab al-Ikhwah (mengenai saudara-saudara) dan mengatakan, beliau telah memeluk Islam dan berkahwin, namun tidak terdapat apa-apa hadith diriwayatkan daripadanya.

Begitu juga Ibn Sa‘d turut menyatakan, beliau berkahwin dengan Saifi bin Umayyah bin ‘A’iz iaitu sepupunya, dan hasil perkahwinan tersebut beliau telah melahirkan Muhammad bin Saifi. Anak-anak Muhammad dikenali sebagai “Banu al-Tahirah” kerana hubungan mereka dengan Khadijah. (Lihat al-Isabah, 8/347).

Adapun berkenaan Hindun bin Abu Halah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, beliau ialah anak tiri Nabi SAW. Ibunya ialah Khadijah, isteri Nabi SAW. Beliau ada meriwayatkan hadith daripada Nabi SAW. Al-Hasan bin Ali ada meriwayatkan daripadanya mengenai sifat-sifat Nabi SAW, yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi, al-Baghawi, al-Tabarani, dan selain mereka, melalui banyak jalan/jalur daripada al-Hasan bin Ali.

Al-Zubair bin Bakkar menyatakan, Hindun bin Abu Halah terbunuh bersama Ali pada hari peperangan Jamal. Al-Daraqutni juga menyebutnya dalam kitab al-Ikhwah (mengenai saudara-saudara) dan Abu Umar mengatakan, beliau ialah seorang yang fasih dan mahir dalam menggambarkan sifat-sifat Nabi SAW dengan sangat baik dan teliti. (Lihat al-Isabah, 6/436).

Adapun berkenaan Halah bin Abu Halah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa Abu Umar menyebutkan, beliau adalah sahabat. Begitu juga Ibn Hibban turut menyatakan Halah merupakan anak lelaki kepada Khadijah, isteri Nabi SAW, dan beliau adalah sahabat. (Lihat al-Isabah, 6/406).

Adapun berkenaan al-Tahir bin Abu Halah, Ibn al-Athir menyebutkan, al-Tahir bin Abu Halah, saudara lelaki  kepada Hindun bin Abu Halah al-Asadi al-Tamimi. Ibunya ialah Khadijah binti Khuwailid  R.Anha, isteri Nabi SAW. Nabi SAW telah mengutuskan beliau sebagai penguasa di beberapa kawasan di Yaman. (Lihat Usd al-Ghabah, 2/455).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga ada menyatakan, al-Tahir bin Abu Halah al-Tamimi al-Asadi, saudara lelaki kepada Hindun dan anak tiri Nabi SAW. Saif meriwayatkan dalam Awa’il al-Riddah daripada jalur Abu Musa, katanya: Nabi SAW mengutusku bersama empat orang lain ke kawasan-kawasan di Yaman. Mereka adalah aku, Mu‘az, Tahir bin Abu Halah, Khalid bin Sa‘id, dan ‘Ukasyah bin Thaur. (Lihat al-Isabah, 3/418).

Justeru, inilah sedikit sebanyak yang dapat kami jelaskan secara ringkas berkenaan anak-anak Nabi SAW, yang merupakan anak-anak Khadijah. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa para ulama tidak mengabaikan untuk menyebut tentang anak-anak Khadijah R.Anha, malah mereka menyebutkan sebahagian daripada kisah hidup mereka. Mereka semua telah memeluk Islam dan mendapat kemuliaan sebagai sahabat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

 

Leave a Reply