Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakai pakaian jenama “Fear of God.” Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan  firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah : ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A‘raf : 32)

Ayat ini merupakan hujah daripada Allah SWT bagi menolak sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan atau minuman atau pakaian menurut pendapat mereka sendiri bukannya syariat daripada Allah SWT. Perhiasan dan benda-benda yang baik ini Allah SWT telah jadikannya buat orang-orang yang beriman kepada-Nya di atas dunia, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari akhirat kelak, kenikmatan tersebut adalah khusus buat orang-orang beriman sahaja. Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana orang-orang kafir itu  tempat kembali mereka adalah neraka. Demikian juga, syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 3/1323).

Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90). Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Ini kerana pemakaian suatu pakaian berkait rapat dengan sesuatu adat dan budaya masyarakat setempat. Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A‘raf: 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).

Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah menutup aurat, lelaki tidak menyerupai perempuan atau sebaliknya, tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik) dan lain-lain.

Keduanya, berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami melihat pemakaian pakaian jenama seperti “Fear of God” perlu dilihat berdasarkan beberapa aspek. Di antaranya, sebagaimana diketahui, frasa “Fear of God” bermaksud “Takut kepada Tuhan,” ia boleh difahami sebagai penghormatan atau keagungan kepada Tuhan. Dalam konteks ini, ia tidak menunjukkan sesuatu yang bertentangan dengan akidah, kerana frasa tersebut mengajak kepada perasaan takut kepada Tuhan, iaitu konsep yang diterima dalam Islam.

Allah SWT berfirman:

فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ

Maksudnya: “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu).

(Surah al-Ma’idah: 44)

Al-Nasafi menjelaskan bahawa ayat ini bermaksud larangan kepada para hakim agar tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah dalam urusan penghakiman mereka, dan supaya tidak menjalankan keputusan yang berlawanan dengan apa yang diperintahkan iaitu keadilan, kerana takut kepada pemerintah yang zalim atau kerana bimbang disakiti oleh sesiapa. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/449).

Jadi, selagi mana pemakainya tidak berniat untuk menyelewengkan makna takut kepada Allah atau menggambarkan ketakutan kepada sesuatu selain Allah, maka ia adalah dibolehkan. Tambahan lagi, jika pemakai memilih jenama ini bukan dengan niat untuk menyelewengkan akidah atau meniru agama lain, tetapi hanya sebagai fesyen atau gaya, maka ia diperbolehkan. Ini selari dengan ajaran Islam bahawa tindakan seseorang bergantung kepada niat, seperti yang disebut dalam hadith:

‌إِنَّمَا ‌الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Berdasarkan hadith ini juga, ulama mengeluarkan satu kaedah fiqhiyyah yang utama:

‌الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 8).

Dapat difahami melalui hadith dan kaedah di atas bahawa setiap tindakan yang diambil oleh seseorang itu berbalik semula hukumnya kepada niat asalnya.

Selain daripada itu, dalam aspek pakaian juga kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani menyatakan, hadith ini menunjukan sesiapa yang menyerupai orang fasiq, atau orang kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diambil tindakan oleh pemerintah. (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak dikira sebagai kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Lihat Raudhah al-Talibin,10/69)

Oleh itu, penyerupaan yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu identiti (yang tidak baik) atau agama. Sekiranya perkara tersebut langsung tidak berkaitan dengan perkara khusus buat mereka, maka ia tidak termasuk dalamnya seperti jenis pakaian yang berbeza mengikut adat setempat (yang tidak berkaitan dengan unsur keagamaan), budaya-budaya yang baik dan lain-lain. Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Mughirah bin Syu‘bah bahawa :

أن النبيَّ ﷺ لبس جُبَّةً روميَّةً ضيقةَ الكمين

Maksudnya: “Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang mana kedua tangan bajunya sempit.

Riwayat al-Tirmizi (1768)

Dalam riwayat yang lain disebutkan jubah dari negeri Syam yang sempit kedua tangan bajunya, sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahihnya.[1]

Sebagaimana yang kita ketahui, Rom ketika itu adalah kerajaan Kristian. Begitu juga dengan negara-negara lain pada masa itu, masih belum lagi beragama Islam. Namun, Baginda SAW memakai pakaian mereka kerana pakaian tersebut bukanlah pakaian yang khusus untuk agama mereka.

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin menyatakan bahawa menyerupai orang kafir bermaksud seorang Muslim melakukan sesuatu yang telah menjadi ciri khusus buat orang kafir. Adapun apa-apa yang telah tersebar dalam kalangan orang-orang Islam dan perkara tersebut tidak menjadi ciri atau sesuatu (khusus) yang membezakannya dengan orang kafir, maka ia tidak dinamakan sebagai tasyabbuh (penyerupaan). Oleh itu, ia tidak lagi menjadi haram disebabkan oleh tasyabbuh, melainkan ia mungkin menjadi haram dari sudut yang lain. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasail Syeikh al-‘Uthaimin, 12/290).

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang menukilkan di dalam kitabnya bahawa sebahagian salaf (ulama terdahulu) berpendapat makruh memakai burnus (sejenis jubah yang ada penutup kepala) kerana ia adalah pakaian pendeta (rahib). Sesungguhnya telah ditanyakan kepada Imam Malik mengenai perkara itu. Jawabnya, tidak mengapa. Ditanyakan lagi kepadanya, bukankah ia pakaian orang Nasrani? Jawabnya, pakaian tersebut dipakai di sini (iaitu Madinah). (Lihat Fath al-Bari, 10/272).

Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ada juga menyebutkan bahawa sekiranya kita katakan larangan menggunakan pelana yang diperbuat daripada sutera disebabkan oleh penyerupaannya dengan orang bukan Arab (al-Tasyabbuh bi al-A‘ajim). Justeru, ia merupakan maslahah agama. Akan tetapi sekalipun dahulu ia merupakan syiar mereka (orang kafir), sekarang apabila ia tidak lagi menjadi sesuatu yang khusus dalam syiar mereka, maka maknanya telah hilang (yakni tidak lagi dianggap syiar). Oleh itu, hukum makruh tersebut juga hilang. (Lihat Fath al-Bari, 10/307).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa memakai pakaian berjenama “Fear of God” adalah dibenarkan dan diharuskan selagi mana pakaian yang dipakainya itu selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak (dalam konsep pakaian) seperti menutup aurat, tidak menyerupai agama lain, tidak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islam mahupun terdapat pada bajunya apa-apa yang boleh mencalarkan atau menjatuhkan maruahnya atau tidak dianggap pelik (libas syuhrah).

Demikianlah juga penamaan jenamanya sebagai “Fear of God” yang bermaksud “Takut kepada Tuhan,” tidak memberi apa-apa kesan dalam hukum keharusan memakainya, selagi ia tidak difahami sebagai menunjukkan perasaan takut kepada selain Allah seperti mana yang kami sudah terangkan di atas.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan bahawa sekiranya masih timbul perasaan waswas atau keraguan terhadap pakaian tersebut, maka meninggalkan perkara yang meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota hujung:

[1] Riwayat al-Bukhari (363) dan Muslim (274).

Leave a Reply