Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum bagi sebuah NGO pengurusan jenazah yang menerima sumbangan dana dan peralatan dari orang awam untuk tujuan pengurusan jenazah, seperti kain kafan dan kapas, lalu menggunakan dana dan sumbangan tersebut bagi menampung kos pengurusan jenazah (termasuk mandi, kafan, dan penghantaran jenazah) secara percuma, tanpa sebarang caj kepada waris? Ada pendapat yang menyatakan bahawa kain kafan dan kos pengurusan kafan sepatutnya diambil daripada harta peninggalan si mati. Mohon pencerahan, terima kasih. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

 (Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Firman Allah SWT lagi :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa: ayat ini menerangkan mengenai kewujudan makhluk daripada ketiadaannya, Allah SWT mewujudkan mereka bagi menguji dan menilai siapakah di kalangan mereka yang paling baik amalannya. Ibn Abi Hatim berkata: diriwayatkan daripada Qatadah berkenaan ayat ini, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالمَوْتِ وَجَعَلَ الدُنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ وَجَعَلَ الآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak-anak Adam dengan kematian, dan menjadikan dunia ini tempat dihidupkan (kehidupan sementara) dan kemudian tempat dimatikan, dan menjadikan akhirat sebagai tempat pembalasan dan tempat kekal abadi.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pada asasnya kos pengurusan jenazah hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati sebelum melaksanakan pembahagian faraid. Yang demikian adalah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa : Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, 180)

Namun, pihak tertentu atau NGO diharuskan mengumpul dana sumbangan daripada masyarakat untuk menampung kos pengurusan jenazah. Inisiatif ini sejajar dengan anjuran syarak yang menggalakkan amalan bersedekah, menderma, dan menyegerakan pelaksanaan kerja kebajikan. Hal ini berlandaskan firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Oleh itu, ahli waris tidak lagi perlu menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan pengurusan jenazah dan hal-hal berkaitan. Segala kos pengurusan dapat ditanggung melalui sumber lain atau dana yang telah disediakan, membolehkan harta peninggalan disalurkan sepenuhnya kepada para ahli waris.

Kesimpulan

Kos pengurusan jenazah menurut syarak pada asalnya perlu diambil daripada harta peninggalan si mati sebelum pembahagian faraid dijalankan. Walau bagaimanapun, dalam memenuhi keperluan ini, pihak tertentu atau NGO boleh mengambil inisiatif untuk mengumpul dana sumbangan daripada masyarakat bagi menampung kos tersebut. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan bebanan terhadap harta si mati tetapi turut selari dengan anjuran Islam yang menggalakkan amalan bersedekah dan membantu sesama umat.

Walaupun begitu, kami nasihatkan agar NGO melihat dalam kerangka undang-undang di Malaysia supaya tidak disalahertikan dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply