Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kalau seseorang itu menjalankan perniagaan jual rumah, kemudian hasil jualan itu dia mendapat duit sebanyak 230 ribu, dia kena keluar zakat pendapatan atau tidak? Ataupun dalam erti kata lain, dia kena bayar zakat tak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbab R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW ketika mengutusakan Mua’z Bin Jabal ke Yaman Baginda bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa mereka yang menjalankan perniagaan jualan rumah diwajibkan mengeluarkan zakat daripada hasil perniagaan mereka setelah mencukupi syarat haul (genap tempoh setahun) dan nisab (kadar yang diwajibkan dikeluarkan zakat). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”

(Surah al-Baqarah: 267)

Al-Alusi menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan (ما كَسَبْتُم) iaitu apa yang kamu perolehi atau hasil usaha kamu, yakni harta yang diperoleh daripada wang tunai, barang dagangan, dan ternakan. (Lihat Ruh al-Ma‘anni, 2/38).

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A bahawa:

كانَ رَسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يأمُرُنا أن نُخْرِجَ الزَّكاةَ مِمَّا نعدُّهُ للبَيعِ

Maksudnya: “Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.

Riwayat Abu Daud (1562). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai dha‘if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Imam al-Saharanfuri menyebut yang dimaksudkan dengan sedekah dalam hadith ini ialah zakat wajib daripada harta yang diniagakan. (Lihat Bazl al-Majhud, 6/317)

Bahkan para fuqaha’ juga telah bersepakat bahawa wajib menilai barangan perniagaan untuk tujuan pengeluaran zakat, dengan syarat-syaratnya dipenuhi, iaitu mencapai nisab dan genap setahun (haul). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/171).

Selain daripada itu, kewajiban berzakat ke atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:

  • Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.
  • Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/27)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada persoalan di atas, kami katakan bahawa hasil jualan rumah iaitu RM230,000 dikenakan zakat perniagaan jika rumah tersebut dijual sebagai sebahagian daripada perniagaan (seperti jual beli hartanah), maka hasil jualan tertakluk kepada zakat perniagaan sebanyak 2.5%, selepas ditolak perbelanjaan yang sah selepas cukup syarat nisab dan haul.

Namun, jika rumah itu dijual untuk kegunaan peribadi, seperti untuk pembelian rumah lain atau keperluan hidup, zakat perniagaan tidak dikenakan melainkan hasil jualan itu disimpan lalu cukup nisab dan haul, maka diwajibkan ke atasnya zakat simpanan sebanyak 2.5%.

Sebagai penutup kami turut mengingatkan di sini bahawa zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Betapa pentingnya zakat sehingga kebanyakan ayat digabungkan antara mendirikan solat dan menunaikan zakat. Ini bermaksud zakat hendaklah ditunaikan seupaya mungkin dan kesannya amat baik kepada seseorang yang benar-benar memahami tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT kerana kesan zakat adalah besar dalam mengubah kehidupan manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply