Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, sejauh mana pandangan syarak dalam menjaga hak privasi orang lain? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Seorang muslim hendaklah menjaga lidahnya dan juga anggota badannya dari menyakiti saudara muslimnya yang lain. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”

Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata : Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/62)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa setiap Muslim wajib menghormati hak privasi orang lain. Syariat melarang seorang Muslim daripada mengganggu atau mencerobohi privasi orang lain, kerana perbuatan ini boleh membawa kepada permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Menghormati privasi bukan sahaja menjaga keharmonian hubungan tetapi juga mencerminkan akhlak mulia yang diajarkan dalam Islam.

Hal ini jelas diterangkan dalam sebuah hadith yang telah diriwayatakan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Taufiq al-Rab al-Mun ‘im bi Syarh Sahih al-Imam Muslim (7/303) menunjukkan bahawa: Dia tidak dibenarkan untuk menumpahkan darah saudaranya yang muslim tanpa sebab yang sah, tidak mengambil hartanya tanpa hak, dan tidak mencemarkan maruahnya tanpa alasan yang benar. Hadith yang lain juga membawa maksud yang sama dengan sabda Baginda SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.”

Riwayat Muslim (3179)

Dalam isu ini Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Islam sangat menitikberatkan penghormatan terhadap privasi individu, yang termasuk dalam matlamat menjaga maruah, salah satu tujuan utama syariat. Allah SWT telah menetapkan pelbagai hukum dan peraturan untuk memastikan hak manusia terhadap privasi, sama ada dalam penampilan atau gambaran dirinya, terpelihara. Ini bukan sahaja merujuk kepada larangan menceroboh tirai yang tertutup atau melihat aurat, tetapi juga melarang sebarang bentuk pencerobohan terhadap privasi orang lain tanpa pengetahuan mereka dan tanpa keperluan yang sah.[1] Oleh yang demikian Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَجَسَّسُوا

Maksudnya: “janganlah kamu mengintip”

(Surah al-Hujurat:12)

Ibn Juzai ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: Iaitu, janganlah kamu mencari-cari apa yang disembunyikan oleh orang lain. (Lihat al-Tashil Li ‘Ulum al-Tanzil, 2/297)

Kesimpulannya

Islam sangat menekankan kepentingan menghormati hak privasi individu sebagai elemen utama dalam menjaga keharmonian dan kestabilan hubungan sesama Muslim. Larangan mencerobohi privasi orang lain tidak hanya untuk mengelakkan permusuhan dan perpecahan, tetapi juga bagi menegakkan akhlak mulia yang menjadi teras ajaran Islam. Yang demikian, ia menunjukkan bahawa privasi seseorang adalah hak yang wajib dihormati. Melanggar privasi individu tanpa sebab yang sah bukan sahaja dilarang tetapi juga bercanggah dengan matlamat utama syariat, iaitu memelihara maruah dan kehormatan setiap individu.

Ingatlah sabda Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (4946), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Ahmad (7427), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7285)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, sama ada melindungi tubuhnya atau menjaga rahsianya dengan tidak mendedahkan keaibannya dan melindungi maruahnya daripada celaan, maka Allah akan menutupi aibnya di akhirat.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/574)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua’lam.

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18346/%D8%AD%D8%AB-% Diakses pada 1/11/2024

Leave a Reply