Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah makna hadith Qudsi di mana Allah SWT berfirman “…….. kecuali puasa, dan Aku yang akan membalasnya.” : Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

(Surah al-Baqarah: 183)

Nabi SAW telah bersabda:

بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan”

 Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)

Pengertian puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada melalukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam AS:

إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bernaza diam membisu kerana (Allah) al-Rahman.”

(Surah Maryam: 26)

Manakala, puasa dari sudut Syarak pula adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Lihatal-Fiqh al-Manhaji, 1/69)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa  puasa adalah ibadah yang tersembunyi dan sukar dinilai secara zahir oleh orang lain. Ini mengajar seseorang untuk ikhlas dalam beramal semata-mata kerana Allah.  Oleh yang demikian, Allah SWT secara langsung memberi ganjaran kepada orang yang berpuasa, menunjukkan nilai istimewa dan kedudukan tinggi amalan puasa berbanding amalan lain.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda (dengan hadith Qudsi):

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ

Maksudnya: “Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, dan Aku yang akan membalasnya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada aroma kasturi.”

Riwayat al-Bukhari (5927) dan Muslim (1151)

Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/250)

Selain itu, Ibn Mulaqqin ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan: Yang dimaksudkan ialah bahawa puasa adalah amalan yang tersembunyi daripada makhluk dan hanya Allah SWT yang mengetahuinya dengan sebenar-benarnya dan memberi ganjaran atasnya. Ini kerana para malaikat penjaga hanya melihat seseorang menahan diri daripada makan dan minum, tetapi niat dalam ibadah puasa itu diserahkan sepenuhnya kepada Allah SWT, dan melalui niat itulah seseorang dianggap sebagai berpuasa. (Lihat al-Taudih li Syarh Jami’ al-Sahih, 28/166)

Kesimpulan

Puasa adalah ibadah yang istimewa dan memiliki nilai yang tinggi di sisi Allah SWT kerana ia dilakukan secara tersembunyi, tanpa diketahui secara zahir oleh orang lain. Sifat puasa yang terselindung ini mendidik seseorang untuk bersikap ikhlas dalam beribadah, hanya kerana Allah SWT. Oleh itu, Allah sendiri yang memberi ganjaran langsung kepada orang yang berpuasa, menunjukkan penghargaan khusus untuk amalan ini berbanding ibadah-ibadah lain.

Sebagaimana disebut dalam hadith Qudsi, Allah berfirman bahawa setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya, kecuali puasa, yang balasannya disediakan oleh Allah secara khusus. Pendapat ulama seperti Imam al-Munawi dan Ibn Mulaqqin turut menguatkan hal ini dengan menjelaskan bahawa puasa adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Melalui niat yang ikhlas dan penahanan diri dari nafsu, seseorang diiktiraf sebagai berpuasa dan mendapat ganjaran langsung daripada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply