Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja sebagai pemandu ehailing. Saya mendapat satu dari seorang penumpang untuk menghantar ke tempat kerja dan menjemputnya dari tempat kerja. Individu tersebut bekerja di kilang memproses daging babi. Persoalannya, apakah kesan yang akan berlaku terhadap saya dan juga kepada penumpang lain menurut agama Islam jika saya menerima tawaran tersebut. Jika terdapat kesan yang memudaratkan saya dan juga penumpang lain mohon perjelaskan cara penyelesaiannya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menuntut penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

(Surah al-Baqarah: 168)

Syeikh al-Sa‘di mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala ‘tayyiban’ pula adalah bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Dalam aspek muamalat, prinsip asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya pula hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam. Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti syarikat arak, kedai judi, menolong kepada perkara maksiat atau seumpamanya.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa hukum asal e-hailing adalah diharuskan selagi mana tidak melibatkan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Keduanya, seperti mana yang diketahui, sekalipun suatu pekerjaan itu asalnya adalah diharuskan, namun dalam beberapa keadaan atau kes, hukum asal itu boleh berubah daripada hukum harus menjadi haram disebabkan elemen yang dilarang syarak padanya seperti membantu dalam perkara maksiat dan dosa. Contohnya, menghantar penumpang ke kelab malam atau pusat hiburan adalah dilarang dan tidak dibolehkan dalam agama kerana kelab malam sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan arak, dan lain-lain seumpamanya. Maka, tidak syak lagi bahawa hal tersebut termasuk dalam perbuatan dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat dan dosa. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk menghantar penumpang tersebut ke rumahnya dengan syarat jelas penumpang tersebut bersih dari najis khinzir. Hal ini kerana lazimnya, apabila bekerja di kilang, ia telah memakai pakaian khusus untuk bekerja. Maka, cukup sekadar kita mengambil hukum zahir sebagaimana kaedah menyebut:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Kami juga ingin menasihatkan agar janganlah terlalu memikirkan akan sesuatu benda sehingga tercetusnya perasaan was-was. Penyakit was-was ini bahaya kerana ia boleh mengganggu kehidupan seharian kita. Ingatlah was-was itu datangnya dari syaitan agar menggoyahkan keyakinan kita.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Leave a Reply