Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami mempunyai banyak lembu dan juga kerbau. Boleh atau tidak, kami menggunakannya untuk membajak kerana kami mempunyai ladang yang luas. Adakah lembu-lembu dan kerbau-kerbau itu dikenakan zakat jika cukup nisab dan haul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).

Begitu juga di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”

(Surah al-Mukminun: 21)

Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing, kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).

Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Syarat keempat ialahbinatang ternakan tersebut tidak digunakan untuk bekerja seperti untuk membajak tanah, mengambil air, mengangkut barang-barang dan sebagainya. Syarat ini khusus untuk unta dan lembu sahaja.

Daripada Ali R.A, Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ فِي الْبَقَرِ الْعَوَامِلِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Lembu-lembu yang digunakan untuk bekerja tidak dikenakan zakat.”

Riwayat al-Daraqutni daripada ‘Ali dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma secara marfu’ dan juga secara mauquf daripada ‘Ali. Al-Tabarani juga meriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir (11/40). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (4/905)

Terdapat juga hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah menyatakan:

وَلَيْسَ عَلَى الْبَقَرِ الْحَرَّاثَةِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Lembu-lembu yang digunakan untuk membajak tanah tidak dikenakan zakat.”

Riwayat al-Daraqutni daripada Jabir bin Abdillah secara mauquf dengan lafaz: ‘لَا يُؤْخَذُ مِنَ الْبَقَرِ الَّتِي يُحْرَثُ عَلَيْهَا مِنَ الزَّكَاةِ شَيْءٌ’. Al-Baihaqi juga meriwayatkan dalam al-Sunan al-Kubra (4/116) dan mensahihkan sanadnya.

Abu Daud meriwayatkan dalam sunannya riwayat dari Zuhair; Abu Ishaq dari ‘Aşim bin Dhamrah dan Harith dari Sayidina Ali telah menceritakan pada kami, Zuhair berkata saya berpendapat bahawa hadis itu dari Nabi SAW, baginda bersabda:

 هَاتُوا رُبُعَ الْعُشُورِ، مِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ دِرْهَمًا دِرْهَمًا، فَذَكَرَ الْحَدِيْثَ وَقَالَ فِيْهِ : وَلَيْسَ عَلَى الْعَوَامِلِ شَيْءٌ.

Maksudnya: “Hendaklah kamu mengeluarkan 1/40 dari setiap 40 dirham satu dirham. Kemudian hadis itu disebutkan dan Nabi SAW bersabda padanya: Binatang ternakan yang digunakan untuk bekerja tidak dikenakan zakat.”

Riwayat Abu Dawud (1572) daripada ‘Ali bin Abi Talib. Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Abi Dawud (1390)

Hadis tersebut diriwayatkan pula oleh Ibn Abi Syaibah sebagai hadis marfu’, juga diriwayatkan oleh Abdul Razzaq dalam kitabnya, melalui Thauri dan Muammar hadis daripada Sayidina Ali sahaja. (Lihat Nasb al-Rayah, 2/360) Hadis tersebut datang pula dari Ibrahim, Mujahid, Zuhri, Umar bin Abdul Aziz dan dari golongan tabiin, iaitu pendapat Imam Abu Hanifah, Thauri, Syafie dan golongan Zaidiah serta pendapat Laith tentang zakat lembu. (Lihat al-Amwal, hlm. 308-382)

Dua perkara yang menyokong riwayat-riwayat dan pendapat tersebut iaitu:

Pertama: Prinsip asas bahawasanya harta yang digunakan untuk kegunaan dan perkhidmatan peribadi tidak dikenakan zakat. Begitu juga binatang ternakan yang digunakan untuk pertanian dan tunggangan peribadi juga tidak dikenakan zakat. Jelas bahawa binatang ternakan untuk kegunaan persendirian bukan sebahagian dari aset yang dilaburkan supaya berkembang, sepertimana yang dikehendaki oleh nas. (Lihat al-Raudh al-Nadir, 2/408) Perbezaan di antara binatang yang digunakan untuk kegunaan dengan khidmat peribadi adalah jelas. Ini kerana binatang-binatang ini tidak digunakan untuk pelaburan akan tetapi adalah untuk kegunaan dan khidmat peribadi. la sama seperti pakaian, rumah dan lain-lain.

Kedua: Hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Ubaid daripada Zuhri, katanya:

لَيْسَ فِي السَّوَانِي مِنَ الْإِبِلِ وَالْبَقَرِ، وَلَا فِي بَقَرِ الْحَرْثِ صَدَقَةٌ؛ مِنْ أَجْلِ أَنَّهَا سَوَانِي الزَّرْعِ، وَعَوَامِل الْحَرْثِ

Maksudnya: “Unta dan lembu yang digunakan untuk bekerja di tanah pertanian dan lembu yang digunakan untuk bekerja di ladang, tidak dikenakan zakat, kerana binatang ternakan tersebut sebagai pekerja-pekerja tanah pertanian dan ladang.” (Lihat al-Amwal, hlm. 382)

Dan hadis daripada Said bin Abdul Aziz al-Tanukhi berkata:

لَيْسَ فِي الْبَقَرِ الَّتِي تَحْرُثُ الْأَرْضَ صَدَقَةٌ؛ لِأَنَّ فِي الْقَمْحِ صَدَقَة، وَإِنَّمَا الْقَمْحُ بِالْبَقَرِ

Maksudnya: “Lembu-lembu pembajak tanah tidak dikenakan zakat, kerana gandum dikenakan zakat dan gandum dihasilkan dengan bantuan tenaga lembu.” (Lihat al-Amwal, hlm. 382)

Sekiranya binatang ternakan yang digunakan untuk membajak dikenakan zakat iaitu atas peralatan yang digunakan dan proses pertanian tersebut, ini akan menyebabkan berlakunya zakat yang berganda dalam pertanian, sebagaimana dikemukakan oleh Abu ‘Ubaid. Malik berbeza pendapat dengan majoriti. Beliau berpendapat bahawa lembu dan unta, sama ada yang digunakan untuk bekerja ataupun tidak, digembalakan secara bebas atau diberi makanan wajib dikenakan zakat. Apabila pendapat Malik ini dikemukakan kepada Thauri, beliau berkata: “Saya tidak sangka ada orang yang akan berpendapat sedemikian.”

Seperkara yang perlu diperakui, sebahagian ahli fiqh mazhab Maliki mentarjihkan pandangan jumhur. Ibn Naji menukilkan daripada Ibn Abd al-Salam, beliau berkata: “Dalam hal ini, pandangan majoriti adalah yang lebih selesa untuk diterima pakai.” Abu Umar bin Abd al-Bar mengkritik pandangan mazhab Malik mengenai binatang yang berkerja yang bertentangan dengan pandangan mereka mengenai kedudukan emas perhiasan yang tidak dikenakan zakat. (Lihat Syarh al-Risalah, 1/335) Justeru mewajibkan zakat pada suatu perkara namun tidak mewajibkan pada perkara yang lain seperti ada pertentangan. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/152 – 154)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

 

Leave a Reply