Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah doa perjanjian Nabi Sulaiman dengan jin boleh diamalkan? Lafaz doa tersebut begini:

أُنَاشِدُكُمْ بِالْعَهْدِ الَّذِي أَخَذَهُ عَلَيْكُمْ سُلَيْمَانُ أَنْ تَخْرُجُوا أَوْ تَرْحَلُوا مِنْ بَيْتِنَا، أُنَاشِدُكُمُ اللهَ أَنْ تَخْرُجُوا وَلَا تُؤْذُوا أَحَدًا

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Sebelum menjawab persoalan utama yang diajukan saudara ini, suka untuk kami bincangkan terlebih dahulu berkenaan kekuatan sandaran doa ini kepada Nabi Allah Sulaiman A.S dalam menentukan status kesahihannya atau tidak. Hal ini merupakan perkara pokok yang perlu dibawakan kerana suatu amalan tersebut tidak boleh disandarkan kepada sesiapa melainkan diiringi dengan bukti serta hujjah yang kukuh.

Status Doa Nabi Sulaiman A.S

Sekadar dapatan kami, lafaz doa yang hampir serupa ada diriwayatkan dalam sebuah riwayat Abu Laila al-Ansari R.A. Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan isu ular masuk ke dalam rumah, lalu Baginda SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهُنَّ شَيْئًا فِي مَسَاكِنِكُمْ فَقُولُوا: أَنْشُدُكُنَّ الْعَهْدَ الَّذِي أَخَذَ عَلَيْكُنَّ نُوحٌ، أَنْشُدُكُنَّ الْعَهْدَ الَّذِي أَخَذَ عَلَيْكُنَّ سُلَيْمَانُ، أَنْ لَا تُؤْذُونَا. فَإِنْ عُدْنَ فَاقْتُلُوهُنَّ

Maksudnya: “Jika kalian melihat dari jenisnya di tempat tinggal kalian, maka katakanlah: ‘Aku memohon perjanjian yang telah diambil oleh Nuh ke atas engkau, dan aku memohon perjanjian yang telah diambil oleh Sulaiman ke atas engkau, supaya engkau tidak mengganggu kami.’ Jika mereka kembali (mengganggu), maka bunuhlah mereka.”

Riwayat Abu Daud (5260), al-Tirmizi (1485), al-Tabarani (6429), Ibn Abi Syaibah (19914) dan al-Baihaqi (364) dalam al-Adab.

Apabila diteliti jalur-jalur sanad yang dibawakan oleh ulama hadith, mereka akan melalui seorang perawi bernama Abu ‘Abd al-Rahman Muhammad bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila  al-Ansari, atau disebutkan sebagai Ibn Abi Laila, dan ini menjadikan sanad hadith di atas dha‘if seperti dinilai oleh Syeikh al-Albani. Beliau dikritik oleh ramai Ahli Hadith kerana mempunyai hafalan yang lemah. Antara kritikan tersebut, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Hatim al-Razi: “Dia seorang yang lemah ingatan, sibuk dengan tugas kehakiman sehingga ingatannya menjadi teruk. Dia tidak dituduh berbohong dalam apa-apa, tetapi hanya banyak membuat kesilapan. Hadithnya boleh ditulis, tetapi tidak dijadikan hujah.” (Lihat al-Silsilah al-Dha‘ifah, 4/17; Tahzib al-Kamal, 25/622)

Imam Ibn ‘Adi pula mengatakan sebagaimana yang disebutkan oleh al-Syu‘bah: “Dia mempunyai ingatan yang lemah, dan aku tidak menemui hadith daripadanya kecuali sedikit. Hadith-hadithnya sering digunakan untuk menyokong lebih banyak riwayatnya, namun aku tidak menyebutkannya kerana panjang. Walaupun dengan ingatannya yang lemah, hadithnya masih ditulis.” (Lihat al-Kamil fi al-Dhu‘afa’, 7/388)

Kata Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani tentang Ibn Abi Laila, beliau seorang yang lemah ingatan, dan kekeliruan dalam riwayatnya datang daripadanya. (Lihat al-Matalib al-‘Aliyah, 5/359)

Imam Ibn Hibban antara yang cukup lantang mengkritik Ibn Abi Laila dalam masalah periwayatan hadith. Katanya: “Dia lemah ingatan, banyak waham sangkaan, teruk kesalahannya. Dia meriwayatkan sesuatu dengan bersangka-sangka, menyebutkan hadith dengan jangkaannya, maka banyak munkar dalam riwayatnya dan selayaknya ditinggalkan. Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma‘in juga meninggalkan riwayatnya.” (Lihat al-Majruhin, 2/244)

Melihat kepada kritikan-kritikan ini, tanpa menafikan kredibiliti beliau suatu ketika dahulu yang memegang kerusi kehakiman, tetapi hadith ini adalah lemah dan tidak dapat dijadikan hujjah kebenaran doa yang dibawakan itu dari Nabi Sulaiman A.S. Meskipun begitu, fiqh berdoa itu amatlah luas selagimana ia tidak menyalahi disiplin ibadah itu sendiri. Oleh itu, selagimana kita membacakan sesuatu doa tanpa dinisbahkan atau disandarkan kepada sesiapa, dan tidak juga menetapkan bahawa ia sebahagian dari sunnah, maka diharapkan agar doa tersebut diterima Allah SWT.

Begini juga yang difahami dari nukilan Syeikh ‘Abd al-Razzaq bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, katanya: “Zikir dan doa adalah antara ibadah yang terbaik, dan asas ibadah adalah mengikuti sunnah. Tiada sesiapa pun yang berhak menetapkan zikir atau doa selain yang disyari‘atkan serta menjadikannya sebagai amalan rutin yang diamalkan oleh orang ramai. Ini dianggap sebagai menambah-nambah dalam agama yang tidak diizinkan oleh Allah, berbeza dengan doa spontan yang diucapkan seseorang sesekali tanpa menetapkannya sebagai sunnah, maka itu tidak menjadi masalah.” (Lihat Fiqh al-Ad‘iyah wa al-Azkar, 2/49)

Doa dan Zikir Terbaik agar Dijauhkan dari Gangguan Jin

Meskipun dalam berdoa itu mempunyai keluasan, akan tetapi doa yang warid dari sunnah Rasulullah SAW juga adalah sebaik-baik amalan. Sekiranya kehendak saudara mengamalkan doa di atas bagi menjauhkan diri dari musibah atau gangguan jin, maka beramallah dengan doa yang diriwayatkan daripada Khaulah binti Hakim al-Salmiyyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَزَلَ مَنْزِلًا، ثُمَّ قَالَ: “أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ،”‏ لَمْ يَضُرُّهُ شَىْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang singgah pada suatu tempat, kemudian mengucapkan:

  أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ ماَ خَلَقَ

(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta), segala sesuatu tidak akan memberi mudharat padanya, sehinggalah dia meninggalkan tempat tersebut.”

Riwayat Muslim (2708)

Bahkan, terdapat kisah dalam sebuah hadith yang thabit bahawa Abu Hurairah R.A pernah diamanahkan untuk menjaga zakat Ramadhan, lalu datang syaitan yang menyamar menjadi seorang lelaki dan menyelongkar makanan zakat tersebut. Lelaki itu berdusta dengan mengatakan bahawa dia memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya. Perkara ini berlaku sebanyak 3 kali, dan ketika ditangkap buat kali ketiga, dia berkata: “Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah.”

Abu Hurairah menjawab: “Apakah kalimah itu?” Dia berkata: “Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi:

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ

Maksudnya: ‘Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya).’ [Surah al-Baqarah: 225]… sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.”

Abu Hurairah R.A menceritakan tentang doa ini kepada Rasulullah SAW, dan Baginda seraya bersabda:

أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ

Maksudnya: “Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia (syaitan) adalah pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (2311)

Pengakuan Rasulullah SAW akan kebenaran fadhilat zikir ini disebutkan sebagai sunnah taqririyyah, iaitu pengiktirafan dari Baginda akan kebenarannya. Maka tidak menjadi masalah untuk diamalkan dan menyandarkannya kepada sunnah.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami katakan bahawa lafaz doa yang diajukan saudara itu tidak boleh disandarkan kepada Nabi Sulaiman A.S selagi tidak disertakan bukti yang menyokongnya. Adapun beramal dengan doa tersebut untuk melindungi diri dari gangguan jin atau syaitan, ia berbalik kepada kehendak Allah SWT yang mengabulkan doa kita.

Oleh itu, kami cadangkan agar digantikan doa tersebut kepada doa dan zikir yang warid dari Rasulullah SAW dan terbukti kebenaran fadhilat yang disebutkan. Semoga Allah SWT melimpahkan kepada kita ganjaran pahala di samping memberikan kita perlindungan dari  gangguan makhluk halus dengan mengamalkan doa serta zikir tersebut. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

 

Leave a Reply