Soalan

Adakah terdapat larangan untuk makan di rumah orang yang baru orang dan apakah pakah yang perlu kita lakukan kepada keluarganya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 & 51)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)

Perlu diingatkan bahawa segala larangan ataupun halangan yang bersifat agama perlulah mempunyai dalil bagi membenarkan kenyataan tersebut. Dalam permasalahan di atas, kami dapati tidak terdapatnya dalil baik dari al-Quran mahupun hadis berkenaan larangan untuk isi rumah yang kematian ahlinya untuk makan di dalam rumah.

Maka kami katakan di sini bahawa tiada masalah untuk ahli rumah makan di dalam rumah yang berlakunya kematian bahkan tiada masalah juga untuk bukan ahli keluarga si mati untuk makan di dalam rumah tetapi mestilah mendapatkan keizinan tuan rumah terlebih dahulu.

Pekara yang disunatkan bagi masyarakat sekeliling adalah dengan membantu keluarga si mati dalam menguruskan jenazah bagi meringankan beban keluarga si mati. Kaum kerabat si mati dan juga jirannya juga boleh membantu dalam menyediakan makanan kepada ahli si mati pada siang dan juga malamnya. Ini berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW mengarahkan agar dibuatkan makanan kepada keluarga Ja’far R.Anha:

اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya: Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.

Riwayat Abu Dawud (3132)

Imam al-Syafi’ie menyebutkan di dalam kitabnya al-Umm: “Aku suka sekiranya jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati, (iaitu makanan) yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu ialah sunnah dan ingatan yang mulia, dan ia adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Hal ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah SAW bersabda : “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang menyedihkan mereka”. (Lihat Kitab al-Umm, 1/278-279)

Begitu juga dengan mengucapkan takziah serta mendoakan bagi si mati agar mendapat keampunan serta rahmat daripada Allah SWT. Antara lafaz takziah yang diajar oleh Nabi SAW seperti yang disebutkan dalam riwayat dari Usamah bin Zaid R.A berikut bahawa baginda SAW bersabda:

أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Maksudnya:’Sesungguhnya bagi Allah S.W.T apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya ada ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya’. Perintahkan lah dia (perempuan tersebut) untuk bersabar nescaya kamu akan mendapat ganjaran’’.

Riwayat al-Bukhari (7377)

Secara umumnya, kaifiat atau tatacara mengucapkan takziah ini terdapat padanya keluasan. Seseorang itu boleh sahaja mengucapkan takziah di hadapan mereka yang ditimpa musibah itu. Demikian juga boleh bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain bagi menyampaikan takziah kepada orang yang ditimpa musibah bagi pihaknya seperti yang berlaku dalam hadis Usamah di atas apabila Rasulullah SAW menghantar wakil untuk mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa.

Sebagai pengakhiran, kami simpulkan bahawa:

  • Tiada larangan untuk makan di rumah orang yang baru meninggal dunia, namun harus meminta izin kepada ahli keluarga rumah tersebut
  • Mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang baru kehilangan orang yang mereka sayang
  • Menyegerakan pengurusan jenazah sehingga dikebumikan.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam agama ini. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

0 thoughts on “#206 Makan Dalam Rumah Yang Kematian Ahlinya

Leave a Reply