Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah sifat dan rupa paras Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kamu (Rasulullah SAW) mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam: 4)

Syeikh Tahir Ibn Asyur dalam tafsirnya, berkata: “Sebagaimana Allah SWT menjadikan Rasul-Nya SAW berada di atas akhlak yang agung, Dia juga menjadikan syariat-Nya bagi membawa manusia untuk berakhlak dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Oleh yang demikian, bertambah jelaslah makna tamakkun yang ditunjukkan oleh huruf isti‘la’ dalam firman-Nya, “وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ” iaitu Baginda benar-benar mampu untuk berakhlak dengan akhlak yang agung dalam dirinya sendiri, dan juga mampu untuk berakhlak dengan akhlak yang agung dalam menyampaikan dakwah agamanya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/64).

Sifat Baginda

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata: Sekiranya Abu Bakar al-Siddiq R.A datang, beliau akan berkata:

أَمِينٌ مُصْطَفَى بِالخَيْرِ يَدْعُو … كَضَوْءِ البَدْرِ زَايَلَهُ الظَّلامُ

“Yang jujur, yang terpilih, dengan kebaikan Baginda menyeru;

Laksana cahaya purnama yang memisahkan gelita.”

(Lihat Tarikh Dimasyq, 3/358; Subul al-Huda wa al-Rasyad, 12/277)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Acapkali ‘Umar bin al-Khattab R.A mengulang-ulang bait puisi Zuhayr bin Abu Salma tentang Hiram ibn Sinan:

لَوْ كُنْتَ مِنْ شَيْءٍ سِوَى بَشَرٍ … كُنْتَ الْمُضِيءَ لِلَيْلَةِ الْبَدْرِ

Jika dirimu daripada sesuatu selain manusia;

Mungkin sahaja dikau bersinar bak rembulan purnama.”

(Lihat Diwan Zuhair bin Abu Salma, hlm. 95; Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 1/301)

Kata ‘Umar kepada sahabat-sahabatnya, “Begitulah Rasulullah SAW dan tiada yang lain seperti itu.”

Daripada ‘Ali bin Abu Talib R.A, beliau berkata: “Rasulullah SAW putih warna kulit, kemerah-merahan, sepasang mata bundar yang hitam pekat anak matanya dan putih bebolanya, rambut yang lurus, janggut yang lebat, rambut yang mencecah telinga, sedikit bulu halus daripada dada ke perut, berseri lehernya seakan-akan perak, daripada bahagian atas dada sehingga ke pusat terdapat bulu halus, tiada bulu lain di dada dan perutnya, kedua tapak tangan dan tapak kaki yang tebal.

Jika Baginda berjalan, seolah-olah turun daripada tempat yang tinggi. Jika Baginda berjalan, seolah-olah keluar daripada tempat berbatu. Bila Baginda berpusing, Baginda akan memusingkan keseluruhan badannya, seumpama peluhnya seperti permata, bau peluhnya lebih wangi daripada kasturi yang semerbak. Baginda tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, tidak bersikap keji dan menjengkelkan. Tidak aku temui individu sepertinya, samada sebelum atau selepasnya.”

Dalam satu lafaz, “Antara dua bahunya terdapat tanda kenabian. Baginda adalah penutup bagi sekalian para nabi. Paling dermawan dalam kalangan manusia. Paling berlapang dada dalam kalangan manusia. Paling jujur tutur katanya. Paling menepati janji. Paling lembut sifatnya. Paling mulia pergaulannya. Barangsiapa yang melihatnya pasti akan segan dengannya. Sesiapa yang bergaul dengannya, pasti akan mengasihinya. Orang yang pernah melihatnya akan menyatakan: Tidak pernah kutemui individu sepertinya.” (Lihat Dala’il al-Nubuwreah oleh al-Baihaqi, 1/226)

Al-Bara’ bin ‘Azib berkata: “Tubuh Rasulullah SAW bersifat sederhana, bidang dadanya. Baginda mempunyai rambut yang panjang sehingga ke cuping telinga. Aku melihatnya memakai hullah berwarna merah. Tidak pernah aku lihat sesuatu yang lebih elok daripadanya SAW.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3551 dan Muslim, no. 2337)

Ummu Ma’bad al-Khuza’i berkata: “Aku telah melihat seorang lelaki yang tampan, bersinar wajahnya, baik akhlaknya, perutnya tidak buncit, tidak kecil kepalanya. Pada kedua matanya, anak mata yang sangat hitam dan bebola mata yang putih bersih, bulu matanya lebat dan melentik, suaranya garau dan serak, lehernya bersinar, janggutnya lebat, keningnya tipis berbentuk dan bersambung. Jika diam, tampak berwibawa, jika berbicara, Baginda mengangkat kepala dan terzahir ketampanannya.

Manusia yang sedap mata memandang; amat tampan daripada jauh, lebih indah dan elok daripada dekat. Manis tutur katanya, tidak terlalu pendek sehingga sukar difahami dan tidak terlalu banyak sehingga melewah. Patah perkataanya lancar bak mutiara yang tersusun di rantaian. Tubuhnya sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah sehingga diperleceh mata yang memandang, ranting antara dua ranting. Baginda adalah paling elok dipandang antara ketiga-tiganya. Terbaik antara semuanya. Baginda ada para Sahabat yang sentiasa bersamanya. Sekiranya Baginda berbicara, mereka diam kerana sabdanya. Jika diperintah, bersegera mereka melakukannya. Tidak pernah masam mencuka, tidak pula kelihatan bodoh.

Anas bin Malik al-Ansari R.A menyebutkan sifat Rasulullah SAW dengan katanya: “Baginda mempunyai tubuh yang sedang. Tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah, Wajahnya bercahaya, tidak terlalu putih atau terlalu coklat. Rambutnya tidak keriting, dan tidak lurus tetapi sederhana.” [Riwayat al-Bukhari, no. 3551 dan Muslim, no. 2337]

Hind bin Abu Halah berkata: “Baginda mempunyai sifat yang sangat mulia pada dirinya dan juga sangat mulia pada pandangan orang lain. Wajahnya bercahaya seperti bulan purnama. Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana tetapi lebih rendah daripada orang yang sangat tinggi. Kepalanya besar, rambutnya sedikit berombak lurus. Jika disikat rambutnya akan terbelah cantik. Jika dibiarkan, rambutnya tidak melebihi cuping telinganya. Wajah baginda berseri-seri dan luas dahinya. keningnya tipis berbentuk dan dan tidak bertemu. Di antara keningnya, terdapat satu urat yang akan timbul apabila Baginda marah.

Hidungnya mancung dan bercahaya. Bagi yang tidak menelitinya akan menganggap ia tinggi. Janggutnya lebat. Sepasang mata bundar yang hitam pekat anak matanya dan putih bebolanya. Kedua-dua pipinya rata, mulutnya luas, giginya jarang. Ada satu garis bulu halus daripada dada ke pusat. Lehernya seumpama besi yang dicanai dengan warna cerah seperti perak. Sedang tubuhnya, tegap badannya. Perut dan dadanya rata. Dadanya bidang, lebar antara kedua-dua bahunya. Sendinya besar. Bercahaya badannya. Terdapat satu garis bulu antara dadanya hingga perutnya. Selain itu, tidak mempunyai bulu tetapi bulu-bulu terdapat pada kedua-dua lengan, dan bahu. Lengannya panjang dan tapak tangannya lebar. Kedua-dua kakinya berisi. Jari jemari tangan dan kakinya panjang. Lekukan tapak kakinya dalam dan bahagian atas tapak kakinya rata. Kakinya yang berkeadaan licin, menjadikan air berlalu.

Apabila Baginda berjalan, baginda akan menapak ke hadapan dengan tegap. Baginda berjalan agak membongkok ke hadapan sambil meletakkan kakinya ke tanah dengan lembut. Baginda berjalan seolah- olah menuruni bukit. Apabila berpaling, Baginda akan memalingkan seluruh tubuhnya. Selalu menundukkan pandangan. Pandangannya ke bumi lebih lama dari pandangannya ke langit. Acapkali memandang sekali lalu sahaja. Baginda berjalan mendahului para Sahabatnya, dan memulakan salam kepada sesiapa yang bertemu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah, hlm. 18-26; al- Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 22/155 dan Abu Nu’aim dalam Dala’il al-Nubuwwah, 227; Ibn Sa’d dalam al-Tabaqat, 1/422)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

Wallahua’lam

Leave a Reply