Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah syarat-syarat pusaka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat empat syarat pusaka:
Syarat-syarat Pusaka
Pertama: Kematiannya telah disahkan atau seseorang itu telah dianggap sebagai telah meninggal dunia.
Contohnya, janin yang keluar dalam keadaan tidak bernyawa ketika ibunya masih hidup, atau janin yang keluar dalam keadaan tidak bernyawa setelah kematian ibunya disebabkan jenayah yang dilakukan ke atas ibunya.
Penyebab kepada kematian janin ini wajib dikenakan ghurrah (iaitu diyat atau denda yang dikenakan apabila janin mati keguguran. Kadarnya ialah seorang hamba lelaki atau seorang hamba perempuan, atau 5% daripada diyat bunuh biasa secara tidak sengaja).
Oleh itu, janin dianggap masih hidup sebelum berlakunya peristiwa tersebut dan kematiannya dianggap sebagai penthabitan jenayah yang dilakukan ke atas ibunya, maka ibunya berhak untuk mewarisi ghurrah tersebut. Atau seseorang dianggap mati secara hukmi (secara hukumnya dia dianggap mati). Contohnya, bagi seseorang hakim, berdasarkan kepada penilaian (ijtihad) bahawa beliau mengesahkan kematian seseorang yang hilang.
Kedua: Waris disahkan masih hidup ketika kematian si mati sekalipun hanya seketika.
Ketiga: Hubungan waris dengan si mati diketahui sama ada melalui hubungan kekeluargaan, pernikahan mahupun wala’ iaitu pembebasan hamba.
Keempat: Hubungan yang melayakkan waris mewarisi harta dihuraikan secara terperinci. Syarat ini dilaksanakan oleh hakim. Oleh itu, hakim tidak boleh menerima pengakuan waris dengan sewenang-wenangnya, seperti melalui pengakuan seorang saksi kepada hakim: “Orang ini adalah waris si mati.”
Malah, dalam pengakuannya, saksi hendaklah menjelaskan sebab yang melayakkan waris ini menerima pusaka. Pengakuan saksi juga tidak cukup sekadar berkata: “Ini adalah sepupu si mati.” Oleh itu, hendaklah mengetahui hubungan di antara mereka berdua secara terperinci. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/74)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahu‘Alam