Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah Malaysia sebuah negara Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Surah al-A’raf (96)
Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para Rasul, lalu mereka mengikuti Rasul dan bertakwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan, ” لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi). Maksudnya, hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/420)
Kami terlebih dahulu menerangkan definisi negara Islam menurut ulama’:
Istilah Darul Islam dan Darul Kufr adalah merupakan perkara ijtihadiyyah yang diperselisihkan oleh para ulama. Berpegang kepada satu-satu pendapat tentang definisi negara Islam tidak sesekali boleh menyebabkan orang lain menjadi kafir berdasarkan definisi yang diijtihadkan olehnya. Syeikh ‘Athiyyah Saqr menukilkan fatwa daripada kitab Bayan li al-Nas min al-Azhar al-Syarif seperti berikut:
“أن تقسيم البلاد إلى دار كفر وإسلام أمر اجتهادى من واقع الحال فى زمان الأئمة المجتهدين ، وليس هناك نص فيه من قرآن أو سنة . والمحققون من العلماء قالوا : إن مدار الحكم على بلد بأنه بلد إسلام أو بلد حرب هو الأمن على الدين . حتى لو عاش المسلم فى بلد ليس له دين أو دينه غير دين الإسلام ، ومارس شعائر دينه بحرية فهو فى دار إسلام ، بمعنى أنه لا تجب عليه الهجرة منها . وذكر المرحوم الشيخ محمد أبو زهرة فى رسالة عن نظرية الحرب فى الإسلام ” ص 38″ رأيين للفقهاء فى دار الإسلام ودار الحرب . ثم اختار رأى أبى حنيفة وهو: أن مدار الحكم هو أمن المسلم ، فإن كان اَمنا بوصف كونه مسلما فالدار دار إسلام وإلا فهى دار حرب . وقال : إنه الأقرب إلى معنى الإسلام ، ويوافق الأصل فى فكرة الحروب الإسلامية وأنها لدفع الاعتداء”.
Maksudnya: “Sesungguhnya pembahagian negara kepada kufur dan Islam adalah perkara ijtihadi berdasarkan realiti semasa pada zaman para imam mujtahid tersebut berijtihad. Dan tiada di sana sebarang nas sama ada daripada al-Quran mahupun al-Sunnah.
Para ulama muhaqqiqin mengatakan: Sesungguhnya, asas kepada menghukum sesebuah negara itu negara Islam atau negara perang adalah keamanan untuk mengamalkan agama. Sehinggakan jika seseorang muslim itu tinggal di dalam sebuah negara yang tiada agama atau agamanya selain Islam, namun dia dapat mengamalkan syiar agamanya dengan bebas maka ia adalah negara Islam, bermakna dia tidak wajib untuk berhijrah keluar darinya.
Al-Marhum Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyebutkan, terdapat dua pandangan di sisi fuqaha berkenaan Darul Islam dan Darul Kufr. Lalu beliau memilih pandangan Abu Hanifah yang mengatakan asas hukum adalah keamanan seseorang muslim. Sekiranya dia aman dengan sifatnya sebagai seorang muslim, maka negara tersebut adalah Dar Islam, jika tidak maka ia Dar Harb. Beliau (Abu Zahrah) berkata: Ia lebih dekat kepada makna Islam dan menepati asas kepada falsafah peperangan dalam Islam iaitu untuk mengelakkan serangan.” (Lihat Fatawa al-Azhar, 10/119)
Menurut fuqaha empat mazhab, Darul Islam ialah setiap kawasan yang didirikan di dalamnya hukum-hakam Islam secara terang-terangan atau secara zahir. (Lihat Badai’ al-Sanai’, 7/130–131; Ibn Abidin, 3/253; Al-Mabsut, 10/114; Kasysyaf Al-Qina’, 3/34; Al-Insaf , 4/121; Al-Mudawwanah,2/22)
Mazhab Syafie berpendapat bahawa Darul Islam merupakan setiap tanah atau kawasan yang terzahir di dalamnya hukum syariat Islam. Manakala, yang dimaksudkan dengan “terzahir di dalamnya hukum syariat Islam” ialah sebagai berikut:
- Kawasan yang mana hukum di dalam sesebuah kawasan tersebut merupakan hukum berdasarkan syariat Islam selain ibadah seperti hukum mengharamkan zina dan hukum pencuri.
- Kawasan yang didiami orang-orang Muslim walaupun di dalamnya terdapat penduduk kafir zimmi.
- Kawasan yang dimerdekakan oleh orang Islam itu sendiri dan diiktiraf oleh orang kafir.
- Kawasan orang kafir yang dihuni oleh orang Islam dan terus menawarkan sekuriti jangka panjang ke atas mereka. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi, 4/220; Nihayat al-Muhtaj, 8/81)
Umumnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai pelbagai bangsa, agama dan adat. Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Namun, pada tahun 1511 sehingga 1956, Malaysia telah dijajah oleh beberapa buah negara seperti Portugis, Belanda, Jepun dan British. Walaubagaimanapun, setelah penderitaan yang begitu panjang, akhirnya dengan perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India, ia telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 dan hal ini telah memberi petanda bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Sekembalinya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari London, Tunku telah membuat pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah. Maka pada 16 September 1963, hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan ‘Malaysia’ telah tercapai. (Lihat MyGoverment)[1]
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan Malaysia adalah negara Islam sebagaimana yang disebutkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan:
“Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
Begitu juga, dalam Perkara 11 (Kebebasan Agama) ia telah dinyatakan:
“ Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”
Hal ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama persekutuan, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan seperti cina dan india, bebas untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kebebasan ini membentuk perpaduan yang kukuh antara kaum dan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia selama ini.
Justeru, jika kita katakan Malaysia sebagai negara Islam, tidaklah salah berdasarkan takrifan yang dibuat oleh para ulama’ sebagaimana dibincangkan di atas, tetapi kesempurnaan sebuah negara Islam mestilah mengikut segala titah perintah Allah, berhukum dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana firman Allah SWT:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(Surah al-Nisa’: 65)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT bersumpah dengan menyebut diri-Nya Yang Maha Mulia lagi Maha Suci. Tidaklah beriman seseorang sebelum dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim dalam semua urusannya. Semua yang diputuskan oleh Rasulullah SAW adalah perkara yang benar dan wajib diikuti secara zahir dan batin. Apabila mereka meminta keputusan hukum darimu, maka mereka hendaklah mentaatinya dengan tulus ikhlas sepenuh hati. Dalam hati mereka, tidak boleh terdapat suatu keberatan pun. Mereka hendaklah tunduk zahir batin serta menerima dengan sepenuhnya, tanpa ada rasa kesempitan, tanpa penolakan, dan tanpa ada sedikit pun rasa menentang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/331)
Kita mengharapkan satu masa nanti, Malaysia benar-benar dapat merealisasikan untuk menjadi negara Islam yang sempurna dari segi mentaati segala titah perintah Allah dan menjarakkan dari segala larangan-Nya. Dengan diisi dengan keimanan dan ketakwaan, maka sudah pasti kita semua akan meraih keberkatan dari Yang Maha Esa. Benarlah firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Surah al-A’raf (96)
Akhir kalam, kami katakan dengan memahami sejarah, kita tidak hanya melihat masa lalu, tetapi juga membina asas untuk masa hadapan.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahu a’lam
[1] Lihat MyGoverment: https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30120?language=my
Diakses pada 13.12.2024