Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya berumur 17 tahun masih bersekolah,mengalami rasa was-was yang berlebihan dan takut apa yang saya kerjakan tidak sah. Saya ada satu lagi masalah yang saya kurang pasti itu perlu disertu atau tidak.Waktu saya balik daripada kelas tambahan ada seokor anjing yang melanggar saya, selepas saya balik daripada rumah saya membasuh kaki dan terus pergi mandi dan menyabun badan dan tempat yang anjing itu langar. Persoalannya adakah ketika daya sudah menggosokkan tangan saya yang ada sabun untuk membersihkan anggota badan saya terkena sertu dan selepas mandi saya mengeringkan badan dan saya memegang telefon saya dan saya makan minum,adakah itu semua perlu disertu saya harap soalan saya boleh dijawab supaya saya dapat menyelesaikan perkara ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Menurut mazhab Syafi‘ie, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘ie, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).

Ibn Qudamah pula menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘ie. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Dawud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — iaitu semata-mata mematuhi perintah Allah. (Lihat al-Majmu‘Syarh al-Muhazzab, 2/567-568)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya kedua-duanya (anda dan anjing tersebut) dalam keadaan yang kering, maka tidak perlu untuk anda sertu kaki/seluar anda kerana najis itu tidak berpindah. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebut:

النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا، وَهُمَا جَافَّانِ، لَا يُنَجِّسُهُ

Maksudnya: “Najis yang bersentuhan dengan sesuatu yang suci, dalam keadaan kedua-duanya kering, ia (najis) tidak menyebabkan sesuatu itu menjadi najis.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 432)

Namun, sekiranya salah satu atau kedua-duanya basah, maka anda perlu sertu bahagian kaki dan seluar yang terkena anjing tersebut. Maka, dalam isu anda, kami katakan tidak perlu sehingga anda mandi air tanah dan menyertu semua barang anda. Hal ini kerana mengambil hukum zahir sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Justeru, jika jelas kedua-duanya tidak dalam keadaan basah, maka tidak perlu untuk anda sertu kaki/seluar anda. Namun, jika sekiranya jelas salah satunya dalam keadaan basah, maka cukup untuk anda sertu bahagian kaki yang dirasakan terkena badan anjing tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”