Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah memegang kemaluan ketika kencing dengan tangan kanan? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Surah al-Ahzab: 21)

Ulama tafsir menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud pada setiap perkataan, perbuatan, dan keadaan Nabi SAW adalah contoh teladan yang baik, agar mereka semua dapat mengikutinya. Oleh itu, berpeganglah dengan sunnah Baginda kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Menyentuh kemaluan dengan tangan kanan

Guru kami Syeikh Mustafa al-Khin juga ada menyatakan bahawa hendaklah beristinja’ dengan tangan kiri untuk membersihkan tempat keluar najis sama ada dengan air, batu atau seumpamanya, kerana cara ini lebih baik. Manakala beristinja’ dengan tangan kanan hukumnya adalah makruh sebagaimana juga dihukumkan makruh menyentuh zakar dengannya. Sekiranya perlu memegang zakar bagi membersihkannya dengan batu atau pepejal yang lain, maka hendaklah memegang batu tersebut dengan tangan kanan tanpa menggerakkannya, sementara tangan kiri memegang zakar dan menggerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat keluar najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/209)

Dalam hal ini terdapat sebuah hadith daripada Abu Qatadah, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ

Maksudnya:Apabila seseorang daripada kamu kencing maka janganlah sekali-kali dia memegang kemaluannya dengan tangan kanan. Janganlah juga beristinjak dengan tangan kanannya dan jangan bernafas didalam bekas minuman.”

Riwayat al-Bukhari (154); Muslim (267)

Mengenai perkara ini, al-Bukhari telah menamakan bab dalam kitabnya sebagai:

بَاب لَا يُمْسِكُ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ إِذَا بَالَ

Maksudnya:Bab jangan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan sekiranya sedang membuang air kecil.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/42)

Dapat difahami daripada penamaan al-Bukhari terhadap bab ini bahawa beliau mengisyaratkan mengenai larangan mutlak menyentuh kemaluan dengan tangan kanan hanya dalam keadaan membuang air kecil sahaja. Oleh itu, selain membuang air kecil, dibolehkan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan. (Lihat Fath al-Bari, 1/254)

Abdullah al-Bassam menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat mengenai larangan yang terdapat dalam hadith ini membawa maksud haram atau makruh. Ulama mazhab Zahiri berpendapat bahawa larangan itu hukumnya adalah haram berdasarkan kepada zahir hadis. Manakala jumhur ulama pula berpendapat hukumnya adalah makruh kerana larangan itu berbentuk bimbingan dan didikan, dan inilah pendapat yang kuat.

Sebaik-baiknya adalah kita mengikat setiap permasalahan yang bersifat tunggal dengan kaedah syarak yang umum. Di antara kaedah tersebut adalah bahawasanya syariah datang untuk meraikan kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Tidak kira sama ada maslahat itu bersifat menyeluruh ataupun dominan. Begitulah juga syariah datang bagi melarang atau menegah daripada sebarang mafsadah, tidak kira mafsadah yang dilarang itu adalah menyeluruh mahupun dominan. Apabila kita sudah aplikasikan atau laksanakan kaedah umum itu dengan caranya yang betul, maka hukumnya akan terang lagi nyata. Lalu jadilah sebagaimana yang disebutkan oleh jumhur ulama bahawa ia termasuk dalam perkara-perkara yang berbentuk didikan, bimbingan dan nasihat serta meninggalkannya pula termasuk dalam perkara meninggalkan makruh tanzih. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 1/342-343)

Selain itu, Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan bahawa hadith ini menunjukkan kepada larangan kepada orang yang kencing dalam keadaan memegang zakarnya dengan tangan kanan kerana perbuatan itu bertentangan dengan kemuliaan kanan. Jumhur ulama memahami larangan ini sebagai makruh sebagaimana yang disebutkan oleh al-Nawawi dan selainnya kerana ia termasuk dalam perkara-perkara adab, bimbingan dan nasihat. Begitu juga kerana ia hanyalah termasuk dalam perkara memuliakan yang kanan. Oleh sebab itu, larangan yang terdapat dalam hadith ini tidaklah sampai kepada haram.

Berbeza dengan Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm kerana kedua-duanya berpendapat hukumnya adalah haram, berdasarkan kepada hukum asal sesuatu yang dilarang atau ditegah itu adalah haram. Walau bagaimanapun, dalam isu ini, pendapat jumhur adalah lebih kuat kerana larangan tersebut adalah sebagai satu bentuk didikan dan bimbingan. Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Baginda SAW berkenaan zakar yang bermaksud: “Tidaklah ia melainkan satu bahagian daripada anggota kamu.” (Lihat Minhah al-‘Allam Syarh Bulugh al-Maram, 1/312)

Tambahan lagi, al-Khattabi juga ada menyatakan bahawa perbuatan memegang atau menyentuh zakar dihukumkan sebagai makruh adalah bertujuan untuk mensucikannya daripada bersentuhan secara langsung dengan anggota kemaluan kerana ia merupakan tempat berlakunya kotoran dan hadas. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 1/23)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa menyentuh kemaluan dengan tangan kanan hukumnya adalah makruh tanzih dan bukannya haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam perkara-perkara adab serta larangan dalam hadith itu adalah sebagai satu bentuk didikan dan bimbingan. Begitu juga kerana perbuatan memegang zakar atau kemaluan dengan tangan kanan dilihat seolah-olah bertentangan dengan kemuliaan yang kanan disebabkan oleh kemaluan merupakan anggota yang berlakunya kotoran dan hadas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply