Soalan
Apakah hukum meceraikan isteri ketika hamil?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Para Ulama bersepakat tentang pensyariatan talak sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ
Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul)
(Surah al-Talaq: 1)
Talak merupakan jalan yang terakhir digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal akan tetapi perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 4/120)
Hal Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, Sabda Nabi SAW:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak
[Riwayat Abu Dawud (2178), dan Ibn Majah (2018). Al-Khattabi di dalam Ma’alim al-Sunan (3/199) menyatakan hadith ini masyhur dengan mursal]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/125) telah membahagikan talak kepada tiga bahagian:
- Talak Sunni: Bersih daripada haid dan nifas, dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh tersebut. Hukumnya adalah harus dan jatuh talaqnya. Talaq ini bertetapan dengan ajaran syara’ bagi suami yang terpaksa menjatuhkan talaq sama ada talaq satu atau talaq tiga serentak.
- Talaq Bid’i: Dalam keadaan haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci, tetapi telah disetubuhi oleh suaminya, talak dalam keadaan itu dinamakan talak bid’i. Hukumnya adalah haram dan berdosa dan jatuh talaknya kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:
أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ ثُمَّ تَحِيضَ، ثُمَّ تَطْهُرَ، ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِى أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ
Maksudnya: “Abdullah bin Umar RA yang menceraikan isterinya ketika haid pada zaman Rasulullah SAW. Umar bin al-Khattab bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Lalu, Baginda bersabda: “Suruhlah dia rujuk semula kepada isterinya. Janganlah ceraikannya sehingga dia suci, kemudian haid dan suci lagi. Kemudian, jika dia ingin bersama isterinya, teruskanlah. Dan jika dia ingin bercerai, ceraikanlah sebelum menyetubuhinya. Inilah ‘iddah yang diperintahkan oleh Allah dalam menceraikan isteri.”
Riwayat al-Bukhari (4953)
Sebab diharamkan talak Bid’i ini kerana memberi kemudharatan kepada isteri disebabkan panjangnya tempoh ‘iddah kerana waktu haid tidak termasuk di dalam ‘iddah. Begitu juga diharamkan menceraikan isteri yang disetubuhi ketika suci kerana berkemungkinan akan mengandung.
Talak yang tidak disifatkan dengan sunni dan bid’i ialah:
- Perempuan masih kecil yang belum datang haid.
- Putus haid.
- Mengandung yang nyata.
- Tidak pernah disetubuhi oleh suami.
- Meminta cerai secara khulu’.
Talak dalam keadaan ini bukan sunni ataupun bid’i. Hukumnya harus dan jatuh talaknya. Ia tidak haram kerana tidak menyebabkan kemudharatan kepada isteri. Isteri yang masih kecil dan perempuan yang putus haid, mereka beribadah dengan kiraan bulan. Oleh itu, mereka tidak menanggung tempoh `iddah yang lebih panjang. Isteri yang mengandung, `iddahnya selesai selepas melahirkan anak. Begitu juga, isteri yang bercerai dengan tebus talak kerana perbuatan menebus diri daripada suami dengan harta, menunjukkan keinginan untuk bercerai dan kerelaannya menunggu tempoh `iddah yang panjang.
Majoriti ulama mengharuskan talaq isteri sewaktu dia sedang hamil. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:
أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا
Maksudnya: Dari Ibnu Umar RA bahwa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khatthab RA menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khatthab RA, ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar RA) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil.
Riwayat Muslim (1471)
Hadith ini menjelaskan dua hukum, iaitu haramnya talak sewaktu isteri sedang haid, dan harusnya talak sewaktu isteri sedang hamil.
Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: Hadith ini menjadi dalil keharusan talak sewaktu isteri sedang hamil yang jelas kehamilannya, dan ia merupakan pandangan mazhab Syafi’e. Ibn al-Mundzir berkata: pandangan ini juga dipegang oleh majoriti ulama, antaranya Thawus, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Rabiah, Hammad bin Abi Sulaiman, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Tsur, dan Abu Ubaid. Namun Ibn al-Munzir turut menambah bahawa terdapat sebahagian ulama mazhab Maliki yang mengharamkannya, manakala al-Hasan al-Basri memakruhkannya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/65)
Talaq sewaktu isteri sedang hamil terletak di bawah kategori talaq syari’e, yang bukan sunniy, dan bukan bid’iyy. Justeru, hukum mejatuhkan talak ketika isteri hamil adalah harus. Hal ini kerana ‘iddahnya tertakluk kepada kelahiran kandungan, bukan kepada haid. (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/478)
Namun demikian jika dia sudah bersetubuh dan tidak terzahir pada isterinya tanda-tanda kehamilan, maka ia menjadi talaq bid’iy. (Lihat Hasyiyah Bujairimi ‘ala al-Khathib, 3/505)
Namun pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat majoriti ulama yang mengharuskan penalakan wanita yang sedang hamil. Dan iddah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ
Maksudnya: Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.
(Surah al-Talaq: 4)
Manakala dari sudut perundangan, sekiranya isteri diceraikan ketika dia sedang hamil maka dia juga layak mendapat kemudahan-kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie, iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan apa-apa perbelanjaan lain yang patut.
Sebagai penutup, kami berpegang kepada pendapat majoriti ulama, bahawa hukum menceraikan isteri sewaktu dalam keadaan hamil ialah harus, tidak haram dan tidak juga makruh.
Tapi kami juga ingin mengingatkan bahawa seseorang isteri yang mengandung akan menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian, ia akan menambahkan lagi penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung, sekaligus menjejaskan kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan semua ikhtiyar sebelum melafazkan cerai terhadap isteri.
Begitu juga kami tegaskan, sebarang urusan berkaitan perceraian hendaklah dirujuk kepada mahkamah Syariah sebagai pemegang kata putus dan selaku pihak yang berautoriti dalam urusan undang-undang keluarga Islam.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam agama ini dan menjauhkan kita daripada keruntuhan institusi rumah tangga serta menjadikan keluarga kita dalam keadaan mawaddah dan rahmah. Amin.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H