Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah saf solat perlu dibentuk ketika iqamah sedang dilaungkan atau selepas iqamah selesai dilaungkan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, antara adab-adab berjemaah adalah dengan memastikan saf dilurus dan dirapikan. Disunatkan oleh imam untuk tidak memulakan solat sebelum saf diluruskan dan disunatkan juga mengarahkan makmum yang berada di belakangnya untuk meluruskan saf. Adapun, sekiranya masjid itu besar, maka disunatkan untuk melantik seseorang untuk memastikan agar saf-saf diluruskan dengan cara mengelilinginya atau dengan cara mengarahkan (dengan menggunakan suara).

Disunatkan juga, bagi setiap yang hadir (di dalam saf) meminta agar disempurnakan saf jika terlihat terdapat kecacatan pada saf tersebut. Ini kerana, ia termasuk di dalam amar makruf dan juga tolong-menolong di dalam kebaikan serta ketaqwaan yang mana menyempurnakan saf adalah termasuk di dalam kesempurnaan solat. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/439)

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ ‏

Maksudnya: “Rapikanlah barisan (saf) kamu, kerana merapikan saf termasuk dalam kesempurnaan solat.”[2]

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433)

Kelebihan Solat di Saf yang Pertama

Selain itu, solat di saf yang pertama mempunyai begitu banyak kelebihan seperti yang disebutkan oleh banyak riwayat. Antara kelebihan solat di saf yang pertama ialah Allah dan para malaikat berselawat kepada orang yang solat di saf pertama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.”

Riwayat Ibn Majah (999)

Imam al-Munawi apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada ahlinya (mereka yang bersolat di saf yang pertama) iaitu dengan beristighfar kepada mereka. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/341)

Selain itu, Rasulullah SAW turut menyebut tentang kelebihannya sehingga jika sekiranya perlu untuk dibuat undian, maka sudah tentu orang ramai akan membuatnya untuk mendapatkan perkara tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

‏ لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا

Maksudnya: “Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatkan ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.”

Riwayat al-Bukhari (615)

Berdasarkan hadis di atas, sekiranya manusia itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan terhadap besarnya ganjaran dan fadhilat solat di saf yang pertama, sudah pasti mereka akan berebut-rebut mengambil peluang bagi memenuhkan saf pertama. Sehingga jika tiada cara lain, pasti mereka akan menggunakan cara mencabut undi bagi menentukan siapakah yang dapat mengisi saf yang pertama.

 

Bilakah Saf Perlu Dibentuk?

Berbalik kepada persoalan di atas, saf mula dibentuk sebaik sahaja iqamah telah dikumandangkan. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata:

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَسَوَّى النَّاسُ صُفُوفَهُمْ ‏‏

Maksudnya: “Apabila telah dilaungkan iqamah maka orang ramai pun meluruskan saf mereka.”

Riwayat al-Bukhari (640)

Riwayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa saf diluruskan setelah iqamah dilaungkan. Kerana dalalah huruf ‘الفاء’ di antaranya menunjukkan kepada tertib (turutan). Pandangan ini dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa beliau berdiri untuk solat ketika muazzin mengucapkan:

قَدْ قَامَتِ الصَّلَاة

Maksudnya: “Telah tiba masa solat untuk didirikan.”

Sa’id Ibn al Musayyib berkata:

 ‎إِذَا قَالَ الْمُؤَذِّنُ الله أَكْبَرُ وَجَبَ الْقِيَامُ وَإِذَا قَالَ حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ عُدِّلَتِ الصُّفُوفُ وَإِذَا قَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ كَبَّرَ الْإِمَامُ

Maksudnya: “Apabila muazzin (tukang azan) mengatakan ‘الله أَكْبَرُ’ maka wajib (untuk makmum) berdiri dan apabila muazzin mengatakan ‘حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ’ maka saf diluruskan dan apabila muazzin mengatakan ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ’, maka Imam pun bertakbir.” (Lihat Fath al-Bari, 2/120)

Kesimpulan

Justeru, setiap makmum yang hadir menunaikan solat secara berjemaah hendaklah peka dan mengambil cakna sebaik sahaja iqamah dikumandangkan. Tatkala muazzin melaungkan iqamah hendaklah mereka terus bangun serta berdiri di dalam saf dengan kedudukan yang teratur lagi lurus.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply