#1089: Amalan Kebaikan Sebelum Memeluk Islam

Soalan

Orang bukan Islam yang buat amalan baik, kemudian dia masuk Islam. Maka, amalan semasa kufur, adakah dikira?

Jawapan

Dalam menjawab persoalan ini, kami merujuk kepada hadith Rasulullah SAW, sebagaimana Hakim bin Hizam pernah bertanya: “Perkara (kebaikan) yang aku lakukannya pada zaman jahiliyyah, adakah aku akan diberi pahala? Jawab Baginda SAW:

أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ

Maksudnya: “Engkau memeluk Islam bersama dengan pahala kebaikan yang lalu (yang telah engkau kerjakan sebelum ini).” 

Riwayat al-Bukhari (5992) dan Muslim (123)

Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari (9/209) menyebut: Dalam hadis ini, Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang masuk Islam dengan memberikannya pahala atas kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukannya ketika masa Jahiliah. Hal ini juga sesuai dengan hadis Nabi yang lainnya, iaitu: “Apabila seorang yang kafir masuk Islam dan berislam dengan baik, maka Allah akan mencatat semua amal kebaikan yang pernah ia lakukan (sebelum masuk Islam).”

Di tempat yang lain, Ibn Battal menyebut: Sebahagian ulama’ berkata: Maksud hadis di atas ialah bahawa setiap orang musyrik yang masuk Islam, akan dicatat semua pahala dari amal kebaikan yang pernah dia lakukan sebelum masuk Islam. Dan tidak dicatat semua kejahatannya. Kerana Islam telah menghapus segala bentuk kesyirikan sebelumnya dan mencatat semua kebaikannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/209)

Imam al-Nawawi berkata: Yang benar dan merupakan pendapat ahli tahqiq – bahkan telah dinukilkan oleh sebahagian mereka bahawa terdapat ijma’ padanya – adalah seorang kafir apabila dia melakukan perkara-perkara yang baik seperti bersedekah, menyambung silaturrahim, kemudian dia masuk Islam dan kemudian mati dalam keadaan Islam, pahala tersebut dicatatkan baginya… (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 1/141)

Saya katakan, ini menandakan rahmat Allah amat luas dan sifat Allah Maha Kaya kepada hamba-Nya yang beriman pasti dibalas. Semoga ia memberi keyakinan kepada kiita untuk terus beramal soleh dan berbakti.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *