#239: Amalan Sunat Ketika Peristiwa Gerhana

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika berlakunya peristiwa gerhana, apakah amalan lain yang sunat dilakukan selain daripada melakukan solat sunat gerhana?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA di mana beliau berkata:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: “Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi SAW. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat sehingga baginda tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, ruku’nya dan sujudnya yang pernah aku lihat Baginda lakukan di dalam solat. Kemudian Baginda berkata: Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunan-Nya.”

Riwayat Muslim (912)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan bahawa gerhana berlaku bukanlah sebagai tanda hari akan kiamat, kerana tanda-tanda kiamat yang lain telah diketahui melalui hadith-hadith lain yang sahih seperti terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya al-Daabbah dan juga dajjal. Namun, bangunnya Rasulullah SAW dalam keadaan takut dan mengerjakan solat yang panjang bacaan dan ruku’nya itu kerana takut ianya dari jenis hukuman yang Allah SWT turunkan sepertimana yang berlaku ketika mana bertiupnya angin dan jelas nampak di wajah Rasulullah SAW yang Baginda tidak menyukainya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/215-216)

Dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuf. Dinamakan al-Kusuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234)

Solat sunat gerhana adalah sunat sunat yang dilakukan kerana bersebab, iaitu berlakunya fenomena gerhana. Maka umat Islam keluar untuk menunaikan solat dan berdoa untuk menolak bala secara umumnya dan solatnya juga berlainan sedikit daripada solat-solat yang lain.

Pensyariatan solat sunat gerhana berlaku pada tahun kedua selepas hijrah yang mana bertepatan ketika meninggalnya Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Ketika zaman jahiliyyah, gerhana matahari ataupun bulan dikaitkan dengan kepercayaan khurafat di mana kematian seseorang ada kaitannya dengan gerhana. Inilah yang dipercayai oleh golongan jahiliyyah di mana matinya putera Rasulullah SAW, Ibrahim adalah disebabkan oleh gerhana.

Asal pensyariatannya berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيۡلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُۚ لَا تَسۡجُدُواْ لِلشَّمۡسِ وَلَا لِلۡقَمَرِ وَٱسۡجُدُواْۤ لِلَّهِۤ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.”

(Surah Fussilat: 37)

Larangan sujud kepada matahari dan bulan terdapat di dalam ayat di atas manakala suruhan untuk sujud kepada Allah sebagai penciptanya dijelaskan melalui hadith yang menceritakan tentang fenomena gerhana yang disebutkan sebelum ini.

Hukum menunaikan solat sunat gerhana ini adalah sunat mu’akkad (sunat yang sangat dituntut) dan ianya disunatkan ke atas lelaki, wanita dan orang yang sedang bermusafir. Disunatkan juga untuk dilakukan bersendirian dan berjemaah sepertimana sabit di dalam sunnah Nabi SAW. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/568)

Berbalik kepada persoalan di atas, selain melakukan solat sunat gerhana, antara amalan lain yang boleh dilakukan ketika berlakunya peristiwa gerhana ialah:

  • Melakukan dua kali khutbah selepas melaksanakan solat sunat gerhana,
  • Memperbanyakkan doa kepada Allah memohon keselamatan dan menolak bala bencana
  • Beristighfar
  • Bersedekah
  • Banyakkan bermunajat
  • Bertakbir dan berzikir
  • Mengelakkan diri daripada mempercayai sebarang khurafat, tahyul dan iktikad yang salah mengenai kejadian gerhana. Rasulullah SAW membantah kepercayaan ini sewaktu berlakunya gerhana berbetulan dengan wafatnya putera Baginda SAW, Ibrahim:

 إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu ialah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidaklah keduanya bergerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya, jika kalian melihat gerhana, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, laksanakanlah solat dan bersedekahlah.”

Riwayat al-Bukhari (1044)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *