#388: Baca Surah al-Mulk kepada Arwah Ibu Bapa

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seorang anak membaca surah al-Mulk dan kemudian menyedekahkan pahalanya untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia? Adakah arwah akan turut memperoleh fadhilat-fadhilat surah al-Mulk? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sebelum kita masuk pada perbincangan yang khusus berkaitan bacaan surah al-Mulk ini, suka bagi kami untuk menjelaskan terlebih dahulu adakah orang yang telah meninggal dunia akan mendapat pahala yang dilakukan oleh orang yang masih hidup untuknya.

Hal ini pernah diulas oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya bahawa telah berlaku ijma dalam kalangan para ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih duhulu daripada kami.”[1]

Juga ada diriwayatkan daripada hadith yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” Hadith ini sahih Riwayat Muslim. Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami.” Hadith riwayat Abu Daud dan lainnya.

Adapun berkaitan pembacaan al-Qur’an, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab Syafie bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi, terdapat sekumpulan daripada ashab Imam al-Syafie sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama yang lainnya dengan mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya bagi orang yang membaca al-Qur’an sejurus selepas selesai membacanya, hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan,” dan disunatkan juga untuk memuji dan menyebut akan kebaikannya.[2]

Melihat kepada pendapat Imam al-Nawawi ini, orang yang telah meninggal dunia akan mendapat pahala yang dilakukan oleh orang yang masih hidup untuknya.

Bacaan Surah al-Mulk kepada Si Mati

Berbalik kepada persoalan di atas, memang surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Maksudnya: “Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.”[3]

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

Maksudnya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.”[4]

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Maksud al-mani’ah (المانعة) adalah menegah dan menyelamatkan daripda azab kubur atau sebarang maksiat yang mewajibkan hukuman azab kubur. Sedangkan yang menyelamatkan pula boleh jadi sebagai penguat kepada ucapan mani’ah (المانعة) atau ia juga sebagai menafsirkan. Dengan sebab itu ucapan selepas itu Rasulullah SAW menyebut sebagai penyelamat daripada azab kubur.[5]

Berdasarkan perbahasan di atas, kelebihan untuk penyelamatan dari azab kubur adalah khusus kepada pembacanya. Walaupun begitu, berkenaan dengan pertanyaan saudara, kelebihan membaca al-Quran dan secara umumnya apabila diniatkan kepada si mati, maka kami lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan sampai pahala tersebut.

Kami juga cadangkan agar disertai dengan doa kepada si mati yang mana ia sudah pasti akan diperolehi oleh si mati. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya“Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”[6]

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Dengan membaca Yasin daripada anak dan lainnya berdasarkan hadis, “Bacalah Yasin di kalangan orang mati daripada kamu,” beliau berkata, dan dengan doa daripada anak dan lainnya seperti hadis di atas (atau anak yang soleh berdoa untuknya) dan hadis ‘hendaklah kamu beristighfar kepada saudara kamu (Abi Salamah) dan mintalah supaya diberi thabat dan lain lagi daripada hadis dan semua yang dilakukan oleh anak untuk kedua ibubapanya dari amalan yang soleh kerana hadis ‘anak manusia adalah dari usahanya’. Ada yang berkata dikiaskan semua tempat ini yang menunjukkan datangnya dalil-dalil, maka dihubungkan kepada si mati setiap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain. Inilah ringkasan daripada apa yang dikemukakan oleh al-Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar.[7]

Jumhur ulama’ mazhab berpendapat bahawa do’a dapat memberi manfaat kepada si mati.  Imam al-Nawawi berkata, ijma’ ulama’ berpendapat bahawa do’a ke atas si mati dapat memberi manfaat dan sampai pahala kepadanya.[8]

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

MaksudnyaDan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”[9]

Semoga orang tua kita atau arwah yang telah meninggal dunia tatkala kita berbakti kepada Tuhan dan melakukan ibadat maka mereka akan memperolehi pahala hasil didikan mereka kepada kita yang termasuk dalam anak dan zuriat yang soleh.

Kami akhiri dengan berdoa kepada mereka yang telah mendahului kita:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهم، وارْحمْهم ، وعافهم ، واعْفُ عنْهم ، وَأَكرِمْ نزُلَهم ، وَوسِّعْ مُدْخَلَهم واغْسِلْهم بِالماءِ والثَّلْجِ والْبرَدِ ، ونَقِّهم منَ الخَـطَايَا، كما نَقَّيْتَ الثَّوب الأبْيَضَ منَ الدَّنَس ، وَأَبْدِلْهم دارا خيراً مِنْ دَارِهم ، وَأَهْلاً خَيراً منْ أهْلِهم، وأدْخِلْهم الجنَّةَ.

 Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Surah al-Hasyr: 10

[2] Lihat al-Azkar min Kalam Sayyid al-Abrar, hlm. 164

[3] Riwayat Ibn Majah (3786)

[4] Riwayat al-Tirmizi (2890)

[5] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/200

[6] Riwayat Muslim (4310), Abu Daud (2882), al-Nasa’ie (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)

[7] Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 3/276

[8] Lihat al-Azkar, hlm. 150

[9] Surah al-Hasyr: 10

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *