Beralih Tempat Solat Sunat Rawatib

SOALAN

Adakah perlu beralih tempat daripada tempat solat fardu untuk melakukan solat sunat rawatib?

JAWAPAN

Sunat hukumnya mengubah tempat solat sunat rawatib agar berbeza dengan tempat solat fardhu. Hal ini berdasarkan pesanan Muawiyah radhiyallahu ‘anhu kepada al-Sa’ib Ibn Yazid:

إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ، فَلَا تَصِلْهَا بِصَلَاةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِذَلِكَ، أَنْ لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ

Maksudnya: “Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat [lain] sehingga engkau bercakap atau engkau keluar, kerana Rasulullah SAW telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga kami bercakap atau keluar.”[1]

Imam al-Nawawi berkata: “Ini adalah dalil yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih daripada tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain. Paling afdhal ialah beralih menunaikan solat di rumah. Jika tidak, hendaklah dilakukan di tempat yang lain di dalam masjid atau di tempat yang lain dengan tujuan diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana untuk memisahkan antara pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat. Sabda baginda ‘hingga kami bercakap’ merupakan dalil bahawa pemisahan antara solat fardhu dan sunat terhasil juga dengan bercakap-cakap. Akan tetapi beralih tempat itu lebih afdhal sebagaimana yang telah kami sebutkan”[2]

Memperbanyakkan tempat sujud itu dengan harapan, tempat ibadah itu akan menjadi saksi bagi orang yang bersujud sebagaimana firman Allah SWT:

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

Maksudnya: “Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya.”[3]

Wallahu a’lam.

[1] Riwayat Muslim, no. 883

[2] Sharḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 6/171

[3] Surah al-Zalzalah: 4

One thought on “Beralih Tempat Solat Sunat Rawatib

  1. Faizul ismail says:

    Salam Datuk nak tanya saya ada dgr kalau kita solat xcukup rakaat dah bg salam,lepas jer salam kita ditegur oleh org, kita angkat takbir sambung solat dan cukupkan bilangan rakaat itu sahaja tanpa perlu ulang solat..betul ke cmtu dan tlg ajar khafiatnya.jzkkj

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *