#283: Bilal Terus Iqamah Selepas Azan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang bilal yang terus melaungkan iqamah selepas azan, kerana tidak ada orang yang melakukan solat sunat sebelum dilakukan solat berjemaah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Azan merupakan salah satu dari syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardhu. Demikian juga iqamah dilaungkan dengan tujuan untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan. Azan disyariatkan apabila masuk sahaja waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan.”

Riwayat al-Bukhari (628)

Di dalam mazhab Imam al-Syafi’e, hukum iqamah adalah sunat muakkad untuk solat fardhu lima waktu sama seperti hukum azan. Kata Imam al-Nawawi : Mazhab kami yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir bagi (solat) berjemaah dan juga solat bersendirian. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/88)

Pendapat ini juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha yang lain seperti mazhab Maliki. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Rushd berkenaan hukum iqamah: Sesungguhnya ia (iqamah) di sisi para fuqaha bagi hak mereka yang solat bersendirian dan juga berjemaah adalah sunat muakkad dan di sisi ahli zahir (zahiriah) ia hukumnya fardhu. Mengikut pendapat pertama, tidak batal solat apabila meninggalkannya (iqamah), manakala menurut pendapat yang kedua, menjadi batal. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, hlm. 109)

Selain itu, para fuqaha’ berpendapat bahawa disunatkan untuk memisahkan di antara waktu azan dan iqamah dengan tempoh yang tertentu supaya orang ramai sempat membuat persediaan untuk melakukan solat. Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal:

وَاجْعَلْ بَيْنَ أَذَانِكَ وَإِقَامَتِكَ قَدْرَ مَا يَفْرُغُ الآكِلُ مِنْ أَكْلِهِ وَالشَّارِبُ مِنْ شُرْبِهِ وَالْمُعْتَصِرُ إِذَا دَخَلَ لِقَضَاءِ حَاجَتِهِ وَلاَ تَقُومُوا حَتَّى تَرَوْنِي

Maksudnya: “Dan jadikalah di antara azan dan iqamah kamu satu tempoh masa, supaya seseorang yang sedang makan dapat menyelesaikan makanannya, dan seorang yang sedang minum dapat menghabiskan minumannya, dan seseorang yang memerlukan masa untuk menunaikan hajatnya, dan janganlah kamu berdiri sehingga kamu melihat aku.”

Riwayat al-Tirmizi (195)

Al-Khatib al-Syirbini menyebut: “Disunatkan bagi muazzin dan imam untuk memisahkan di antara waktu azan dan iqamah dengan kadar kesempatan waktu untuk manusia berhimpun di tempat melakukan solat dan dengan kadar menunaikan solat sunat yang dilakukan sebelum menunaikan solat fardhu.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/325)

Berbalik kepada persoalan di atas, boleh bagi bilal untuk terus iqamah. Namun, yang aula ialah bilal itu sendiri yang melakukan solat sunnah qabliah yang digalakkan, atau memberikan sedikit masa. Demikian itu, kerana Abdullah bin Mughaffal al-Muzani RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ: لِمَنْ شَاءَ

Maksudnya: “Di antara setiap dua azan (yakni azan dan iqamah) itu terdapat solat. Di antara setiap dua azan itu terdapat solat.” Kemudian baginda menyebut pada kali ketiga: “bagi siapa yang ingin melaksanakannya (menunjukkan hal itu sunat).”

Riwayat al-Bukhari (627) dan Muslim (838)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *