#23 Derma Organ dan Tisu

SOALAN

Apakah hukum menderma organ dan tisu? Tidakkah ia dikira menyeksa mayat?

JAWAPAN

Sebahagian para ulama’ berpandangan hukum menderma organ adalah haram. Antara mereka yang berpandangan sebegini adalah Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi[1], Syeikh Ahmad bin Ahmad al-Khalili[2], Syeikh ‘Abd al-Salam Rahim al-Sukkari[3], Sayyid Muhammad Qutbuddin[4] dan Syeikh Sharif Muhammad ‘Abd al-Qadir. (Lihat Zar’ al-A’dha’ wa Hukmuhu fi al-Syariah al-Islamiyyah, hlm. 2). Manakala sebahagian ulama’ dan institusi-institusi fatwa seluruh dunia seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Ulama Besar Arab Saudi,  Majlis Fatwa Kuwait, Majma’ al-Fiqh al-Islami, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Hind, The Islamic Shariah Council UK termasuk Malaysia[5] menghukumkan ia harus.[6]

Antara sarjana yang mengharuskannya adalah Syeikh Hasanain Makhlouf, Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq[7], Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di, Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi[8], Dr. Ahmad Sharafuddin dalam al-Ahkam al-Syar’iyyah li al-A’mal al-Tibbiyyah (hlm.128), Dr. Rauf al-Shalabi (beliau mengharuskannya dengan syarat organ/anggota tubuh tersebut daripada penderma yang masih hidup)[10], Dr. Abd al-Jalil Shalabi (beliau berpandangan ia wajib)[11], Dr. Mahmud ‘Ali al-Sartawi[12], Dr. Hashim Jamil Abdullah.[13]

Mengikut rekod, fatwa keharusan pemindahan dan pendermaan organ telah dikeluarkan oleh Perlis (1965), Sarawak (1996), Selangor (2000), Johor (2001) dan Pulau Pinang (2010). Manakala semasa saya menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, saya sudah pun mengeluarkan pandangan hukum berkenaan hal ini dalam Bayan Linnas “Pendermaan Organ (2015), Al-Kafi Li Al-Fatawi Ke- 528: Hukum Menerima Darah Dan Organ Daripada Non-Muslim (2017) dan Bayan Linnas Siri Ke-176: Pembaharuan Pandangan Hukum Berkenaan Pendermaan Organ Dan Tisu (2019).

Sebagaimana pandangan saya semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan dahulu, saya tetap berpegang dengan pandangan tersebut iaitu hukum pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan. Dengan perkembangan semasa dan penemuan perubatan masa kini, maka kami berpendapat perlunya diperluaskan organ-organ yang boleh didermakan dalam fatwa semasa seperti buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas serta tisu-tisu yang boleh didermakan seperti mata, tulang, kulit dan injap jantung. Akan tetapi, haram mendermakan atau melakukan pemindahan testis dan rahim kerana ia berkait rapat dengan nasab keturunan. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Sekiranya, kita mengambil kaedah “مَا أُبِينَ مِنْ حَيٍّ؛ فَهُوَ كَميْتَتِه” yang bermaksud “Semua yang terpisah/terpotong dari yang hidup maka hukumnya sebagaimana bangkainya”, dan menganggap organ dan tersebut adalah najis, maka hukum rawatan dengan najis adalah dimaafkan dan sah solat dengannya sebagaimana pandangan Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 3/145). Dalam masa yang sama, jumhur fuqaha’ berpandangan bahawa anak Adam adalah suci samada hidup atau mati. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 2/57). Imam al-Suyuti mengeluarkan satu kaedah:

الْإِيثَارُ فِي الْقُرْبِ مَكْرُوهٌ وَفِي غَيْرِهَا مَحْبُوبٌ

Maksudnya: “Mengutamakan orang lain dalam hal ibadah adalah makruh dan dalam urusan lain adalah perkara yang terpuji.” (Lihat al-Asbāh wa al-Naẓā’ir, hlm. 116)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “…sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.”

(Surah al-Hasyr: 9)

Maka, boleh disimpulkan berdasarkan kaedah di atas, pendermaan organ termasuk dalam perkara yang terpuji. Sumber keharusan pendermaan organ juga berasaskan kepada beberapa kaedah-kaedah fiqh iaitu:

  1. Al-Umur bi maqasidiha (الأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا) – Segala urusan itu mengikut tujuannya
  2. Al-Darar yuzal (الضَّرَرُ يُزَال) – Kemudaratan perlu dihilangkan
  3. Al-Mashaqqah tajlib al-taysir (المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْر) – Kesukaran mendatangkan kepada kemudahan

Berkenaan pembedahan organ orang yang telah meninggal dunia yang disifatkan sebagai menyeksa mayat, ada yang berdalilkan hadis:

إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمَيِّتِ مَيْتًا، كَمِثْلِ كَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan mematahkan tulang si mati samalah seperti mematahkan tulangnya semasa ia hidup.”

Riwayat Ahmad (25645)

Perlu difahami bahawa pemindahan organ bukan dilakukan atas tujuan yang tiada manfaat. Sebaliknya, ia dilakukan sebagai pilihan terakhir bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ tersebut. Tambahan pula, memelihara nyawa ialah salah satu daripada maqasid syariah. Larangan yang dinyatakan tidak dikira dalam konteks ini apabila wujud keperluan yang lebih utama iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia. Pemindahan organ dilakukan apabila tiada alternatif lain bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Dalam masa yang sama, dengan perkembangan sains dan teknologi hari ini, mungkin sudah sampai masanya untuk dikaji alternatif seperti organ-organ tiruan atau pengambilan daripada organ haiwan kerana ia adalah jauh lebih baik daripada mengambil hak seseorang manusia. Hal ini kerana keluar daripada khilaf adalah sunat dan digalakkan. Wallahu a’lam.

[1] Akhbar al-Siyasah (Kuwait) pada 15 Mei 1989

[2] Akhbar ‘Amman pada 25 Ogos 1989

[3] Lihat Naql wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami, hlm. 16.

[4] Ucaptama dalam Seminar Antarabangsa Pertama Perubatan Islam di Kuwait pada taun 1981 bertajuk Qawa’id wa Adab al-Tibb al-Islami, hlm. 429

[5] Lihat Pemindahan Organ dari Perspektif Islam, m. 24-26. Muat turun di https://www.ummc.edu.my/files/HealthPhamplet/Pemindahan_Organ_IslamBM.pdf

[6] Rujuk keputusan al-Majma’ al-Fiqhi, Rabitah al-‘Alam al-Islami di Mekah pada persidangan ke-8, tahun 1408 Hijrah; Al-Majma’ al-Fiqh, Munazzamah al-Mu’tamar al-Islami di Jeddah pada tahun 1408 Hijrah; Hai’ah Kibar al-‘Ulama’ di Riyadh dalam fatwa ke-99, pada tahun 1402 Hijrah, Lajnah al-Ifta’, Majlis al-Islami al-A’la di Algeria pada 1392 Hijrah. Lihat Majalah al-Buhuth al-Islamiyyah edisi 22 (1408 Hijrah).

[7] Lihat Naql al-A’dha’ min Insan li Akhar dalam dalam Jurnal al-Azhar, bil. 9, Ramadhan 1403H

[8] Lihat Syifa’ al-Tabarih wa al-Adawat fi Hukm al-Tasyrih wa Naql al-A’dha’.

[10] Lihat Akhbar al-Syarq al-Awsat, no. 3725, Rabu (8 Februari 1989)

[11] Lihat Akhbar al-Syarq al-Awsat, no. 3725, Rabu (8 Februari 1989)

[12] Lihat Jurnal Dirasat, jil. 12, no. 3, Jamadil Akhir 1405H dengan tajuk Zar’ al-A’dha’ fi al-Syari’ah al-Islamiyyah

[13] Lihat Jurnal al-Risalah al-Islamiyyah, bil. 212, hlm. 69.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *