#22 Imam Seorang Perokok

SOALAN

Imam kampung saya perokok. Bolehkah saya solat di belakangnya? Sah ke? Atau lebih baik saya solat seorang diri?

JAWAPAN

Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, Muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Antara kriteria imam adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا

Maksudnya: “Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah [al-Quran]. Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka [dahulukan]) yang paling berilmu tentang al-Sunnah [untuk menjadi imam]. Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.”

Riwayat Muslim (673)

Manakala dalam hadith riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi SAW bersabda:

فَأَكْبَرُهُمْ سِنًّا

Maksudnya: Yang paling tua umurnya.

Riwayat al-Tirmizi (235)

Individu yang paling mahir terhadap al-Qur’an juga bermaksud paling banyak menghafal al-Qur’an atau paling baik bacaan al-Qur’an. Dalil paling mahir itu bermaksud paling banyak menghafal adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:

لَمَّا قَدِمَ الْمُهَاجِرُونَ الْأَوَّلُونَ الْعُصْبَةَ -مَوْضِعٌ بِقُبَاءٍ – قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ، كَانَ يَؤُمُّهُمْ سَالِمٌ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ، وَكَانَ أَكْثَرَهُمْ قُرْآنًا

Maksudnya: Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di ‘Ushbah – iaitu sebuah kawasan di Quba’ – sebelum ketibaan Rasulullah SAW, yang menjadi Imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka.

Riwayat al-Bukhari (692)

Imam al-Nawawi dalam syarah beliau ke atas hadith Abu Mas’ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Beliau berkata:

وَلَنَا وَجْهٌ اخْتَارَهُ جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِنَا: أَنَّ الْأَوْرَعَ مُقَدَّمٌ عَلَى الْأَفْقَهِ وَالْأَقْرَأِ لِأَنَّ مَقْصُودَ الْإِمَامَةِ يَحْصُلُ مِنْ الْأَوْرَعِ أَكْثَرُ مِنْ غَيْرِهِ

Maksudnya: Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (ulama al-Syafi’iyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak diutamakan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 5/300).

Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat). Namun jika bertembung antara mana yang lebih afdhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal. (Lihat al-Taqrīrāt al-Sadīdah, hlm. 308).

Kesimpulannya, tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah. Berdasarkan fatwa Imam al-Ramli dalam hal berimamkan ahli bidaah atau orang fasiq, saya cenderung lebih afdhal solat berjemaah dengan imam perokok daripada solat berseorangan. Cuba usahakan untuk menasihatinya supaya berubah ke arah yang lebih baik. Wallahu a’lam. 

One thought on “#22 Imam Seorang Perokok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *